amaran

Hotel Mewah di Inanam, Kota Kinabalu

Tentang

Inanam merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Kota Kinabalu Sabah, Malaysia. Ianya terletak pada jarak 10 km dari bandar Kota Kinabalu. Inanam mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan bertanah subur serta rata. Menurut sejarah sepanjang perang dunia kedua, Inanam merupakan pengkalan untuk tentera Gerila Kinabalu yang diketuai oleh Albert Kwok untuk menentang Jepun. Salah seorang yang terkenal bagi pembangunan Inanam ialah OKK Majimbun Majangkin. Inanam merupakan salah satu kawasan perindustrian dan juga terkenal dengan penjualan hasil-hasil pertanian ataupun perniagaan tani dengan menjual pelbagai barangan tani seperti sayur-sayuran, ikan dan banyak lagi. Populasi Inanam terdiri dari pelbagai kaum iaitu kaum Dusun dan Cina. Bahasa pertuturan Sabahan di Inanam sebahagian besarnya dipengaruhi oleh bahasa Kadazan asli terutamanya di kalangan orang Kadazandusun. Di kalangan penduduk China, mereka menuturkan bahasa jenis Hakka dan Mandarin serta Bahasa Inggeris juga banyak dituturkan di Inanam.

Bagaimana untuk ke Destinasi

Menggunakan Kapal Terbang

Anda boleh menaiki kapal terbang dari mana-mana lapangan terbang di Malaysia mahupun luar negara untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Terdapat penerbangan tanpa henti untuk ke Kota Kinabalu yang disediakan oleh penerbangan Malaysia Airlines, Air Asia dan Malindo Air. Dari lapangan terbang anda boleh menaiki teksi untuk ke Inanam di mana ianya mengambil masa perjalanan hanya 24 minit memandu dari lapangan terbang ke Inanam.

Menggunakan Teksi atau Bas

Dari bandar Kota Kinabalu anda boleh menaiki teksi atau bas dalam bandar untuk ke Terminal Bas Inanam.

Menggunakan Feri

Pengunjung dari Labuan, Indonesia, Filipina boleh menuju ke Sabah dengan menggunakan jalan laut. Dari Terminal Feri Kota Kinabalu anda boleh menaiki teksi ke Inanam.

Tarikan Pelancongan

Sabah State Museum & Heritage Village

Kepada pengunjung yang meminati pelancongan warisan dan kebudayaan anda boleh la mengunjungi Sabah State Museum & Heritage Village yang merupakan salah satu tarikan pelancongan yang mesti anda kunjungi ketika berada di Inanam. Muzium ini terletak pada jarak 7 km dari bandar Inanam. Muzium ini telah dibina pada tahun 1985 yang terdiri dari Bangunan Utama, Pusat Sains dan Pendidikan, Perkampungan Warisan, Galeri Seni Sabah dan Muzium Tamadun Islam. Terdapat perkampungan warisan yang terletak di bawah muzium ini di mana anda dibenarkan masuk dan ianya memberi pengalaman kepada anda tentang kepelbagaian rumah tradisional pelbagai etnik Sabah. Persembahan kebudayaan juga turut terdapat di muzium ini yang diadakan dari masa ke semasa.

Ulu Kionsom Waterfall

Anda boleh membawa keluarga dan anak-anak untuk menikmati percutian bermandi di air yang sejuk dengan udara yang segar dan nyaman. Terdapat kemudahan di sini seperti kedai makanan dan minuman, tandas, tempat untuk mandi dan kawasan berkelah yang berbumbung. Jarak di antara bandar Inanam dengan Air Terjun Kionsom adalah 9 km dengan 18 minit pemanduan. Air terjun ini terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing dan kadangkala dipenuhi dengan orang awam yang datang pada waktu hujung minggu dan cuti awam untuk berkelah di kawasan ini.

Gaya Street (Sunday Market)

Dengan dihiasi pelbagai warna Gaya Street (Sunday Market) merupakan salah satu destinasi pelancongan yang perlu anda kunjungi sekiranya anda berada di Inanam. Ianya megambil masa selama 15 minit (8km) pemanduan dari bandar Inanam. Anda boleh membeli belah di sini yang terdapat barangan seperti pakaian, perhiasan, kopi Borneo yang segar, cake, snek Sabah, herba, batik sarong, buah-buahan dan bunga, barang seni dan barang hasil buatan tangan, barang-barang lama serta barang-barang cenderahati.

Filipino Market Sabah

Filipino Market Sabah merupakan salah satu tarikan utama yang terdapat di Kota Kinabalu dan ianya turut dikenali sebagai tempat untuk membeli barang-barang cenderahati. Anda hanya perlu memandu selama 17 minit dari bandar Inanam untuk sampai ke pasar ini. Terdapat lebih dari ratusan deretan kedai-kedai kecil di sini. Anda boleh membeli pelbagai jenis barang yang terdapat di sini seperti buah-buahan yang segar, makanan laut, hasil buatan tangan,ikan masin, dan sayuran segar. Terdapat juga gerai yang menjual masakan segar yang di masak di gerai tersebut dengan aroma yang menyelerakan. Pelbagai jenis barang dan makanan terdapat di sini yang memberikan anda harga yang boleh dirunding serta berpatutan.

Taman Marin Tunku Abdul Rahman

Taman Marin Tunku Abdul Rahman merupakan sebuah taman yang terletak di pantai pulau Borneo Malaysia yang terdiri dari 5 pulau iaitu Pulau Gaya, Manukan, Sapi, Sulug dan Mamutik. Kesemua pulau ini terkenal dengan pelancong yang datang dari Kota Kinabalu kerana lokasinya berada berdekatan dengan bandar Kota Kinabalu. Setiap pulau mempunyai flora dan fauna yang tersendiri manakala Pulau Gaya merupakan pulau yang terbesar dan tercantik di antara 5 pulau. Jarak di antara bandar Inanam dengan Tunku Abdul Rahman Park ialah 14 km di mana anda boleh menaiki teksi untuk sampai ke Jeti.

Hotel

Grand Borneo Hotel

Grand Borneo Hotel merupakan hotel bertaraf 3 bintang yang terletak di dalam bangunan membeli belah 1Borneo yang merupakan pusat membeli belah yang terbesar di Sabah. Hotel ini terletak hanya 4km dari bandar Inanam yang menyediakan kemudahan berprestij dengan kolam renang dalam yang hebat, 2 pemilihan tempat makan serta bilik yang moden berserta kemudahan internet percuma. Dengan semua kemudahan seperti membeli belah, tempat makan serta hiburan yang berada semuanya dalam satu kawasan menjadikan Grand Borneo Hotel sebagai penginapan yang terbaik sekiranya anda berada di Inanam.

Century Hotel Inanam

Menginap di Century Hotel Inanam merupakan pemilihan yang sangat baik sekiranya anda berada di Inanam. Hotel bertaraf 2 bintang ini sangat mudah untuk ditemui kerana lokasinya terletak berdekatan dengan semua kemudahan awam. Hotel ini terletak bersebelahan dengan Terminal Bas Inanam dan pada jarak 9.7 km dari bandar Kota Kinabalu serta 15 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kepada pengembara yang ingin bercuti dengan penginapan yang murah serta selesa, Century Hotel Inanam amat sesuai untuk anda tinggal yang menyediakan kemudahan serta perkhidmatan yang sangat bagus.

evtbvsrwfq