Kinarut merupakan sebuah bandar di dalam Negeri Sabah. Ia terletak lebih kurang 20km ke selatan pusat bandar, Kota Kinabalu. Kinarut berada di bawah pentadbiran Daerah Papar. Pada tahun 2010, dianggarkan terdapat 18,029 orang penduduk yang mendiami bandar tersebut. Penduduk di sini terdiri dari kaum Bajau, Melayu Brunei, Kadazan dan Cina. Terdapat juga penempatan pelarian Filipina di Kinarut yang telah menimbulkan ketegangan kaum dikalangan penduduk tempatan. Stesen keretapi Kinarut merupakan salah satu hentian di dalam laluan keretapi Negeri Sabah. Kinarut pada asalnya dibawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Pada lewat abad ke-17, apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin melarikan diri dari Pulau Chermin semasa Perang Saudara Brunei, dia telah membina kubunya di Kinarut kerana kedudukannya yang strategik dilindungi oleh dua batang sungai. Dia telah menetap di situ selama sepuluh tahun sebagai Sultan Kinarut sehingga penguasaan lanun di kawasan perairan situ berkurangan.
Anda boleh menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari mana-mana lapangan terbang. Terdapat penerbangan terus ke Kota Kinabalu yang disediakan oleh Malaysia Airlines, Air Asia dan Malindo Air. Dari lapangan terbang anda boleh menaiki teksi ke Kinarut yang hanya mengambil masa perjalanan selama 15 minit.
Anda juga boleh menaiki bas mini di stesen bas Kota Kinabalu ke Kinarut yang terletak bersebelahan dengan Plaza Wawasan di penghujung Jalan Tun Fuad Stephen.
Tamu Kinarut merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di Kinarut dan ianya dikenali sebagai tempat yang terbaik untuk mendapatkan makanan tempatan, barangan tempatan dan juga cenderamata. Kinarut terkenal dengan pasar mingguannya iaitu pasar terbuka yang terdiri dari peniaga tempatan dan diadakan pada setiap hari Sabtu. Ianya juga berhampiran dengan Pulau Dinawan, Pusat Hidupan Liar Lok Kawi dan Istana tinggal Kinarut.
Kinarut Mansion atau Rumah Besar Kinarut pada suatu ketika dahulu merupakan rumah kepada pengurus pertama Kinarut Rubber Estate. Istana ala Greco-Roman ini telah dibina pada tahun 1910 sehingga 1914 yang merupakan antara bangunan terawal yang dibina menggunakan batu di Sabah. Terdapat tangga yang menuju ke tapak istana tersebut dan masih terdapat tinggalan tiang besar serta tangga di situ.
Taman Hidupan Liar Lok Kawi telah dibuka pada 17 Febuari 2007. Ianya hanya mengambil masa perjalanan selama 8 minit dari Kinarut. Taman ini terbahagi kepada dua komponen iaitu zoo dan taman botani. Anda boleh melihat Gajah Borneo Pygmy, Monyet Proboscis, Harimau Malayan dan juga beberapa spesis rusa yang terdapat di sini.
Kindawan merupakan pusat menunggang kuda yang utama di Sabah dan menawarkan sessi pelajaran menunggang kuda dengan menunggang kuda secara santai di pantai Kinarut, trek hutan dan kampung berhampiran. Kesemua sesi tersebut akan dikendalikan oleh penunggang yang berpengalaman untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para pengunjung.
Sekiranya anda ingin berehat di tempat yang menarik di Kinarut, Pulau Dinawan merupakan tempat yang sesuai untuk anda kunjungi. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pengunjung seperti aktiviti snorkel, berjalan di dasar laut, aktiviti menyelam dan lain-lain aktiviti sukan laut. Anda juga boleh menyertai aktiviti memancing malam dan siang serta permainan di kolam renang.
Soluxe Hotel Kota Kinabalu merupakan sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di Kota Kinabalu iaitu 6km dari Kinarut. Hotel ini terletak berhampiran dengan Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu iaitu 5km. Dengan segala kemudahan yang ditawarkan dan lokasi yang berhampiran telah menjadikan hotel ini sebagai tapak yang terbaik buat para pelancong yang berkunjung ke Kinarut.
Magellan Sutera ialah sebuah resort mewah bertaraf 5 bintang yang terletak di Kota Kinabalu iaitu 15km dari Kinarut. Hotel ini merupakan pilihan terbaik buat anda yang mengimpikan percutian yang tenang dengan pemandangan yang indah dan jauh dari hiruk pikuk bandar. Ianya terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu iaitu 0.5km. Nikmati layanan serba mewah dan anda pasti akan teruja dengan pengalaman bermalam di Magellan Sutera.