amaran

Hotel Mewah di Bandar Mentakab, Temerloh

Tentang

Mentakab adalah sebuah bandar serta sub-daerah atau "mukim" yang terletak di daerah Temerloh, negeri Pahang, Malaysia. Ia juga merupakan kerusi dewan undangan negeri Pahang, terletak berhampiran dengan kawasan Temerloh, Lanchang, Kampung Tualang, Kampung Gantok, Mengkarak dan Kerdau. Dahulunya dikenali sebagai Pasir Rawa, Mentakab pernah dipertimbangkan oleh kerajaan negeri untuk dijadikan sebagai ibu negeri yang baru pada tahun 1901. Walau bagaimanapun, disebabkan keadaan tanah di Mentakab yang tidak rata, keputusan itu berubah dan Kuala Lipis pula yang dipilih sebagai ibu negeri sebelum beralih ke Kuantan pada tahun 1955 sebagai ibu negeri sehingga hari ini.


Walau bagaimanapun, Mentakab turut menjadi bandar yang penting dengan kewujudan stesen keretapinya sendiri. Dengan adanya jalan darat dari Kuala Lumpur ke Kuantan turut juga menjadikan Mentakab sebagai salah satu perhentiannya yang utama. Mentakab juga merupakan tempat di mana kegiatan penternakan burung walit urban sedang berjalan dengan begitu pesat, dengan sekian banyak kedai-kedai dan rumah kedai diubahsuai di bahagian bumbung untuk menyediakan ruang bagi tujuan tersebut. Ini boleh memberi ganjaran yang lumayan kepada para pengusaha kerana setiap kilogram sarang burung walit boleh mencecah sehingga dua ribu dollar. Walau bagaimanapun, isu-isu lain juga telah berkembang pada masa yang sama seperti penyebaran selesema burung dan penghasilan tahi-tahi burung yang berlebihan.


Dari sudut industri, terdapat beberapa pengeluar di sini yang memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan seperti Robin Resources yang menghasilkan fiberboard berskala sederhana, Malaysian Newsprint Industries (MNI) dengan kilang kertas terbesar di Asia Tenggara dan Mentakab Veneer & Plywood (MVP) yang sepertimana namanya, menghasilkan papan lapis “plywood”.


Bagaimana untuk ke Destinasi

Menggunakan Kapal Terbang

Mentakab boleh diakses dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan. Terdapat penerbangan ke Kuantan yang disediakan oleh Malaysia Airlines dan Air Asia. Dari lapangan terbang, para pengunjung boleh menaiki teksi atau sebarang jenis pengangkutan awam lain untuk sampai ke Mentakab.


Menggunakan Kereta

Mereka yang memandu dari Kuala Lumpur boleh memandu melalui laluan E8 untuk akses secara langsung ke bandar Mentakab. Perjalanan boleh mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada keadaan trafik semasa.


Menggunakan Bas

Tidak ada terminal bas ekspres utama di sini, malahan terminal yang terdekat adalah di ibu negeri Kuantan, Kuantan Sentral. Ambil perjalanan terus ke Kuantan dari terminal Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menggunakan perkhidmatan bas ekspres seperti Etika Express, Transnasional Express atau Mayang Sari Express sebelum memilih untuk menaiki bas-bas laluan tempatan untuk pergi ke Mentakab.


Tarikan Pelancongan

Mentakab Iron Railway Bridge

Mentakab Iron Railway Bridge adalah jambatan keretapi lama yang terletak di Stesen Keretapi Mentakab. Walaupun terdapat ciri jambatan lama, ia adalah bergaya vintaj klasik yang menjadi tempat yang baik untuk mengambil gambar dan menikmati masa berkualiti bersama rakan-rakan dan keluarga. Ianya kaya dengan sejarah, berikutan digunakan sejak hari-hari awal bandar ini dibuka, dan masih digunakan sebagai salah satu landasan keretapi utama untuk koc pantai timur KTM. Terdapat suatu peristiwa pada tahun 1970-an apabila komunis masih aktif bergiat di kawasan Mentakab, di mana mereka cuba meletupkan jambatan keretapi ini sebagai sebahagian daripada usaha menentang pihak berkuasa tempatan. Walau bagaimanapun percubaan itu telah digagalkan dan kemudiannya, pengaruh komunis semakin merosot sehingga ke titik lenyap dari negara ini. Adalah dicadangkan untuk melawat jambatan ini pada waktu pagi dari 8 pagi hingga 11 pagi, dan ketika lapar, terdapat juga gerai makanan yang berdekatan untuk memenuhi perut yang kosong.


Taman Rimba Tasik Chatin Mentakab

Satu lagi tempat menarik untuk dikunjungi apabila pengunjung berada di bandar Mentakab ialah Taman Rimba Tasik Chatin Mentakab. Sememangnya taman rimba ini telah dibangunkan dengan baik untuk aktiviti rekreasi dengan kawan-kawan dan keluarga di kawasan seluas sepuluh hektar. Ia juga merupakan tempat yang baik untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti “jogging” dan berlari, di mana trek jogging sebesar tiga kilometer dibina di sekitar kawasan tasik dengan suasana hijau yang mendamaikan. Di samping itu, terdapat banyak kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung seperti gerai makanan, tempat letak kereta, pondok rehat, taman permainan dan sebagainya yang tersebar di kawasan tersebut. Terdapat juga rancangan untuk menaik taraf kawasan itu untuk dapat menampung sukan jet ski pada masa hadapan.