0

Traveloka MY

11 Jun 2019 - 2 min read

Pembukaan zon bertema Star Wars: Galaxy’s Edge di Disneyland Park, Anaheim

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

Kredit: Unsplash / Agnieszka Kowalczyk

Berita baik untuk peminat Star Wars! Zon bertema Star Wars: Galaxy’s Edge yang pertama di dunia telah dibuka pada 31 Mei lalu di Disneyland Park yang terletak di dalam Disneyland Resort Anaheim, California. Dengan berkeluasan 14 ekar, zon terbaharu dalam taman tema gergasi ini berlatarkan perkampungan Black Spire Outpost di Planet Batuu, dan ia merupakan kawasan bertema terbesar dan termahal yang pernah dibina dalam Disneyland setakat ini.

Kredit: Facebook Star Wars

Mesti anda tidak asing lagi dengan kapal angkasa Millenium Falcon yang dipandu oleh Han Solo. Kali ini, anda berpeluang untuk mengendalikannya bersama pasukan anda sendiri demi memperjuangkan misi anda! Buat masa ini, kawasan tersebut menampilkan beberapa tarikan yang luar biasa termasuklah permainan simulator Millenium Falcon: Smuggler’s Run, Savi’s Workshop untuk anda membuat lightsaber anda sendiri, kawasan pasar Black Spire Marketplace, serta kedai cenderahati unik seperti Dok-Ondar’s Den of Antiquities.

Kredit: Facebook Star Wars

Kawasan ini turut menampilkan Oga’s Cantina, sebuah bar yang lengkap dengan karakter robot DJ R-3X yang memainkan lagu-lagu di situ dan menawarkan pelbagai pilihan minuman bertemakan Star Wars yang sangat on point. Walaupun ia menyediakan pilihan minuman beralkohol, minuman tanpa alkohol dan mesra kanak-kanak seperti campuran jus buah-buahan juga boleh didapati di bar ini.

Di bahagian luar pula terdapat gerai Milk Stand, di mana peminat tegar filem sci-fi ini boleh mencuba Blue Milk, susu ikonik berwarna biru yang diminum oleh Luke Skywalker ketika berada di rumah Aunt Beru dan Uncle Owen dalam filem Star Wars: Episode IV – A New Hope. Susu ini diperbuat sepenuhnya berasaskan tumbuh-tumbuhan, tidak mempunyai laktosa, mesra gluten dan mesra vegan. Selain itu, makanan bertema Star Wars juga ditawarkan.

Kredit: Facebook Star Wars

Pembinaan kawasan bertema Star Wars yang diumumkan pada tahun 2015 ini amat dinanti-nantikan oleh peminat filem tersebut. Sistem tempahan untuk kemasukan ke Galaxy’s Edge telah dibuka seawal 3 Mei, dan semua tiket habis dijual dalam hanya beberapa jam sahaja. Malah, ramai yang sanggup menempah hotel-hotel dalam Disneyland Resort Anaheim dengan harga ribuan ringgit untuk mendapatkan slot tempahan bagi kemasukan ke kawasan ini. Sekarang, pelawat hanya dibenarkan meneroka kawasan ini dengan had masa 4 jam untuk mengelakkan kapasiti penuh.

Tempahan awal untuk tiket kemasukan ke kawasan bertema Star Wars: Galaxy’s Edge hanya perlu dilakukan sekiranya anda ingin ke sini sebelum 23 Jun 2019. Jika anda akan membuat lawatan selepas tarikh tersebut, kemasukan akan diberi berdasarkan siapa cepat dia dapat, sehinggalah kawasan tersebut mencecah had kemasukan maksimum.

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka. All rights reserved