Ubud adalah satu lagi kawasan di Bali yang terkenal di kalangan pelancong. Ini kerana lokasinya yang terletak hanya satu jam dari Lapangan Terbang Ngurah Rai. Kawasan ini sesuai untuk mereka yang sukakan suasana damai dan terkenal di kalangan pengamal yoga serta penggemar makanan sihat. Dikelilingi sawah padi yang menghijau, Ubud pasti akan membuatkan sesiapa saja berasa tenang. Di sekelilingnya, terdapat perkampungan yang terkenal dengan hasil kerja ukiran kayu serta kraftangan. Barangan ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah turut diniagakan di pasaran antarabangsa. Di sini anda akan menemui deretan kedai-kedai antik, lukisan, ukiran kayu dan barangan kemas. Selain terkenal dengan hasil seni, Ubud turut menempatkan tiga kuil Hindu, Pura Dalem Agung Padangtegal, Pura Beji, dan Pura Prajapati yang terletak di kompleks Monkey Forest. Kawasan ini terkenal di kalangan pelancong dari serata dunia. Selain itu, kawasan ini turut menjadi pusat perlindungan haiwan dan tumbuhan unik yang digunakan dalam upacara Hindu, selain untuk mengekalkan keseimbangan alam semulajadi.
Kenali Ubud