Ramai pengembara terlepas peluang untuk menjelajah Singapura kerana reputasinya sebagai pusat sehenti untuk berehat dan bukannya destinasi percutian. Ramai yang berada di sana hanya untuk beberapa jam kerana pertukaran penerbangan tapi tidak keluar dari lapangan terbang dan mengenali negara itu dengan lebih dekat.
Ini ialah jadual perjalanan yang dicadangkan kepada anda jika anda ada masa lapang.
Sumber: DavidNNP / Shutterstock.com
Perjalanan anda ke Singapura tidak lengkap jika anda tidak mencuba set kopi walaupun sekali. Digemari oleh orang dari dalam dan luar negara, set kopi ini ialah sarapan klasik Singapura yang mengandungi sepinggan roti bakar berinti kaya, dua biji telur separuh masak, dan secawan kopi pekat yang dilengkapi susu pekat. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk makan telur separuh masak yang enak itu, lihat saja orang di sekeliling anda. Ada yang menambah kicap dan lada sulah ke dalam telur. Tapi anda ada pilihan untuk mencelup roti bakar rangup itu ke dalam telur untuk rasa yang lebih umph!
Set kopi berharga tidak lebih daripada SGD 1.50 di kebanyakan tempat, melainkan anda pergi ke kafe atau kedai kopi moden. Kunjungi kedai makan pada sebelah pagi, terutama sekali di pasar basah, dan anda akan dihidangkan dengan hidangan menarik ini. Penduduk tempatan menggemari set kopi di Tong Ah Eating House di 35 Keong Saik Road.
Tapi, jika anda sudah biasa dengan set kopi dan lebih suka sesuatu dengan rasa yang berlainan, moden dan hipster, kunjungi kawasan Kampong Glam, Chinatown atau Tiong Bahru untuk sarapan lewat pagi.
Sumber: Shutterstock.com
Kedai kegemaran saya, Symmetry Cafe di 9, Jalan Kubor, menawarkan makanan lewat pagi popular seperti telur Benedict, telur Spanish dan Bircher Muesli, serta pelbagai pilihan kopi Australia. Tapi, jika anda dalam bajet, mungkin tempat makan lain lebih sesuai untuk anda.
Sumber: 2p2play / Shutterstock.com
Salah satu tempat tumpuan untuk membeli-belah dan destinasi bersantai ialah Bugis dan Kampong Glam. Pernah menjadi tempat hiburan untuk kelasi dan askar, tempat ini kini telah berubah dengan pantas menjadi alternatif membeli-belah bagi tumpuan pelancong di Orchard Road.
Sekitar Kampong Glam dan Bugis, anda akan dapat melihat jalan-jalan yang meriah dengan orang-orang muda, penggemar kafe, penggemar tawar-menawar, peminat koleksi vintaj, penggemar kedai artisanal dan banyak lagi.
Bugis Street menarik bagi mereka yang ingin tawar-menawar tanpa mengorbankan stail, pilihan dan kualiti. Berbaris-baris kedai kecil memenuhi tempat ini. Orang ramai berjalan-jalan, melihat-lihat, berbincang, pilihan makanan dengan aroma menggoda ada di mana-mana.
Sumber: gracethang2 / Shutterstock.com
Bersiar-siar jauh sedikit dan anda akan menjumpai Haji Lane di Kampong Glam. Dibina di lorong-lorong yang sempit, kawasan ini menawarkan gabungan butik indie yang unik. Jika anda mencari sesuatu yang luar biasa, maka anda perlu meluangkan sedikit masa untuk menerokai jalan ini.
Sumber: Shutterstock.com
Tapi, jika membeli-belah bukan keutamaan anda, jangan terlepas untuk melawat tempat ini. Peminat seni warisan pasti mahu mengenali dengan lebih dekat Pusat Warisan Melayu yang dihiasi rumah kedai cantik dan berwarna-warni.
Sumber: Shutterstock.com
Berjalan dan membeli-belah seharian pasti akan membuat anda lapar. Pada ketika ini, sudah tentu anda sudah bersedia untuk makan tengah hari. Naik MRT ke Stesen Little India dan cuba salah satu keistimewaan di Race Course Rd: kari kepala ikan. Mungkin kelihatan pelik sedikit melihat seketul kepala ikan di dalam kari anda tapi rasanya cukup lazat.
Tapi, jika anda mahu lebih kepelbagaian, pergi ke Tekka Market. Anda pasti rambang mata di sini kerana terdapat banyak kedai menjual barangan yang istimewa dari Utara dan Selatan India, termasuklah gula-gula India dan snek lain. Jika anda tidak tahu mana nak mula, Jamal Restaurant dan Sky Lab Cooked Food ialah tempat yang baik untuk anda. Anda akan tergoda untuk mencuba apa saja. Dosai, Nan, Vadai Udang - oh, kecur lidah dibuatnya!
Sumber: Shutterstock.com
Selepas makan tengah hari, jangan lupa untuk melawat dan mengamati keunikan seni bina masjid unik di tengah-tengah Little India, Masjid Abdul Gafoor. Masjid yang dibangunkan oleh kaum Muslim India Selatan ini telah berdiri megah sejak tahun 1907. Seni bina masjid luar biasa ini masih lagi dihiasi dengan ukiran kayu yang berseni tinggi. Sekilas pandang, akan terlihat sentuhan gaya masyarakat India.
Sumber: Shutterstock.com
Dan kemudian, kunjungi House of Tan Teng Niah. Bangunan dua tingkat berwarna-warni yang masih terpelihara sejak zaman penjajahan China. Rumah itu diwarnakan dengan warna menyerlah menjadikannya sebuah bangunan paling berwarna-warni di Singapura!
Sumber: Shutterstock.com
Untuk melihat Hotel Marina Bay Sands dengan lebih jelas, cara terbaik adalah dengan turun di MRT Raffles dan melihatnya dari seberang teluk. Anda akan dapat melihatnya dari sudut foto panorama yang indah.
Kemudian berjalan ke Taman Merlion dan lihat sendiri arca separa singa dan ikan yang ikonik di Singapura. Ketika siang mula melabuhkan tirainya, mercu tanda ikonik lain di situ mulai bercahaya.
Makan sandwich ais krim di Taman Merlion dan terus berjalan ke Esplanade Theatres. Di sini anda akan melihat dengan lebih dekat struktur berbentuk seakan-akan durian yang dibina sebesar 60,000 meter persegi untuk persembahan pentas dalam dan luar negara. Jika anda bertuah, anda akan dapat lihat acara percuma atau buskers di luar.
Sumber: Shutterstock.com
Dari Esplanade, berjalan menerusi Helix Bridge yang bercahaya ke Marina Bay Hotel dan kedai-kedai di situ. Suasana malam di sana mungkin menjadi antara perkara romantik yang boleh anda buat. Jika anda berseorangan, jangan risau. Cari kerusi, duduk dan rehatkan kaki anda sebentar. Nikmati pemandangan sekeliling dan biarkan diri anda tenggelam dengan keindahannya.
Sumber: Elena Ernakova / Shutterstock.com
Ini mungkin masa paling sesak untuk melawat Gardens By The Bay yang penuh magis, tapi dapat melihat persembahan lampu percuma oleh OCBC Garden Rhapsody pada pukul 7.45 malam sememangnya berbaloi. Lihat hutan pokok besi bercahaya dan berkelip-kelip mengikuti alunan muzik. Kami janji, ini ialah pengalaman penuh keajaiban yang anda tidak mungkin dapat lupakan.
Apabila perasaan lapar sudah menjengah, jangan panik; kami sudah bersedia. Jalan saja menerusi taman itu dan cari medan selera Satay By The Bay. Di sini anda akan dapat menikmati makanan tempatan dan hidangan serantau tanpa perlu berbelanja banyak. Pilihan banyak, rasa pun sedap!
Ce La Vi
Hari sudah pun sampai ke penghujungnya dan anda mungkin mahu berehat sambil melihat pemandangan di sini tapi dari sisi yang berbeza. Jadi pergi ke tingkat 57 di atas Marina Bay Sands.
Salah satu tempat paling popular di Singapura ini menawarkan pemandangan bandar yang mengasyikkan. Kenapa bayar lebih di dek pemerhati Marina Bay Sand apabila anda boleh menikmati pemandangan yang sama sambil menikmati minuman anda?
Pintu masuk Ce La Vi boleh didapati di bawah menara 3.
Jadual perjalanan yang kami cadangkan telah berakhir, tapi jika anda masih ada tenaga untuk menjelajah kota metropolitan ini, jangan teragak-agak untuk teruskan. Anda boleh menikmati makanan lewat malam di Geylang, atau lepak-lepak di Chinatown dan Tanjong Pagar.
Jadi, waktu anda taklah membosankan di Singapura, kan?
Diterjemahkan oleh: Lina Khazali