Kalau nak dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Pulau Pinang agak kecil, tapi kalau cerita bab makan, negeri ini memang mewah dengan pelbagai jenis makanan. Semuanya ada; kopitiam, makanan jalanan...segalanya! Selalunya tempat makan sedap sememangnya jadi tumpuan, jadi jangan pelik kalau tempat yang anda nak pergi nanti dipenuhi orang ramai.
Jom lihat makanan jalanan terbaik yang patut anda tambah dalam senarai mesti cuba anda (seperti yang disyorkan oleh Aina dan Abam Bocey):
Char Kuey Teow memang sinonim dengan Pulau Pinang - anda boleh cari di banyak gerai tempatan dan tempat makan. Tapi selalunya Bee Hwa Cafe yang paling digemari orang ramai begitu juga Aina yang menggelarkan hidangan ini “Char Kuey Teow Halal Terbaik dalam Bandar”. Jadi anda memang kena cuba Char Kuey Teow di sini.
Pilih CKT spesial dan anda akan mendapat tambahan crabsticks dan bebola ikan. Sedap!
Teringin nak makan snek? Berdekatan saja dengan Bee Hwa Cafe di Jalan Penang ialah A1 Buah Berangan. Pemilik gerai ini telah membuka perniagaan kecil-keciannya sejak 15 tahun yang lalu. Jadi anda boleh bayangkan betapa enaknya rasa buah berangan yang dijual di sini. Mesti cuba!
Terletak di Medan Selera Fort Cornwallis di Esplanade Park, Mee Sotong Hameed Pata menawarkan sepinggan mee sotong yang hangat dan pedas, mee yang enak ini ditaburi dengan sambal sotong. Jika anda hanya sekadar mahu mencuba, pesan hidangan yang lebih kecil berharga RM5 sepinggan atau kalau mahu lagi dan lagi, pesan saja yang besar berharga RM7.
Terletak di hadapan pejabat pos Lebuh Downing, gerai bergerak yang popular ini menjual pelbagai apam balik yang menjadi snek jalanan kegemaran yang sedap dimakan panas-panas.
Gerai ini dibuka pada 12 tengah hari hingga 6 petang setiap hari, yang mana anda boleh memilih inti tambahan yang unik seperti mentega kacang atau coklat.
Peminat keju dan daging seluruh Pulau dan di merata tempat memang tertarik dengan gerai di Jalan Sungai Pinang ini. Gerai ini menjual burger bakar yang dibuat sendiri dan ditambah dengan keju mozzarella yang cair di atas daging dan sos istimewa.
Rasanya? Aduhai, tentulah sangat sedap sampaikan pelanggan sanggup beratur panjang hanya untuk membeli burger ini. Mereka juga menjual burger ayam. Gerai ini dibuka pada 6.30 petang hingga 12 malam, tapi kami sarankan anda datang awal untuk mengelak daripada beratur panjang.
Anda tak boleh kata anda sudah rasa makanan terbaik di Pulau Pinang kalau anda masih belum mencuba nasi kandar. Jom ke kedai terbaik di Jalan Gurdwara, Deen Maju, nasi kandar terbaik di pulau ini.
Pilih pelbagai lauk pauk untuk dimakan dengan nasi hangat. Cuba kari telur ikan dan ayam goreng yang perap dengan 15 rempah ratus; yang menjadi keistimewaan di Deen Maju.
Telah beroperasi sejak tahun 1955, Argyll Road Roti Canai adalah restoran paling lama di George Town. Restoran ini bertambah maju dari gerai kecil menjadi restoran yang besar dipenuhi pelanggan setiap hari.
Roti canai di sini dibanjiri dengan kuah kari pilihan anda seperti ayam, daging kambing atau daging lembu. Anda juga boleh menambah telur mata di atas roti canai anda. Jadi mulakan pagi anda dengan sarapan enak di Argyll Road.
8. Nasi Melayu Lidiana
Terletak di Medan Selera Tanjung Bungah, kedai makan ini memberikan selera sebenar makanan melayu. Gerai yang telah beroprasi selama 40 tahun ini mempunyai pelbagai pilihan lauk pauk yang enak-enak belaka untuk dimakan dengan nasi putih yang hangat.
Ayam masak kicap dan ikan terubuk bakar adalah antara pilihan pelanggan di sini. Begitu juga Aina dan Abam Bocey.
Terletak di hujung Hilir Paya Terubong di Relau, Kambing Bakaq Tuk Hang yang sangat lembut dan enak. Cicah kambing yang disalut dengan madu ini dengan sos BBQ buatan sendiri yang akan buat anda mahu menambah hidangan yang lebih besar.
Setiap hidangan berharga RM12 (kecil), RM15 (sederhana) dan RM20 (besar).
Jika anda lebih suka ayam, anda boleh mencuba makanan di e’Corner, restoran yang terletak bersebelahan dengan Kambing Bakaq Tuk Hang. Mereka juga menjual pecel ayam yang enak.
Selepas berjalan seharian di sekitar George Town dibawah matahari yang panas, tiada yang lebih baik daripada semangkuk cendol yang sejuk dan manis. Jadi pilihan terbaik ialah Penang Road Famous Teochew Chendul, yang terletak di Jalan Keng Kwee.
Sudah beroperasi sejak tahun 1937, perniagaan turun temurun keluarga ini telah bertahan sejak tiga generasi, yang juga masih mengikut resepi tradisional nenek moyang dan mengunakan bahan-bahan sebar seperti santan, kacang merah dan gula melaka. Ia sangat sedap, sampaikan satu mangkuk tidak cukup!
Anda dah selalu makan nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang disertakan dengan sambal dan telur rebus, pasti mahu mencuba hidangan nasional yang diberi nafas baru di Project Nasi Lemak Box.
Terletak di Padang Kota Lama, ia adalah kedai makan yang masih baru kalau nak dibandingkan dengan tempat makan lain dalam senarai ini. Yang uniknya di sini, nasi lemaknya berwarna biru kerana warna daripada bunga telang yang asli. Pilihan lauk sampingan di sini termasuklah ayam goreng, ikan goren dan udang asam, atau anda juga boleh memesan mi goreng.
Kalau nak lebih ‘terangkat’ anda boleh memesan nasi lemak udang kara (RM79), yang disalut dengan keju dan dibakar sedikit untuk memberikan sentuhan yang sempurna.
Perut anda dah berbunyi-bunyi dan selera anda semakin membuak? Jom ke Pulau Pinang atau ikut Aina dan Rhys Williams ke Langkawi dalam episod seterusnya
_________________________________________________________________
Sejauh manakah anda mengenali Malaysia? Uji pengetahuan anda dan ketahui sisi lain negara ini dalam siri video Traveloka Travel Guide. Dalam setiap episod, kami akan menyenaraikan perkara yang boleh dilakukan dan dilawati di destinasi-destinasi popular di Malaysia.
Diterjemahkan oleh: Lina Khazali