Jalan-jalan Cari Makan: 15 Makanan Halal Terbaik di Singapura

Traveloka MY
17 Apr 2017 - Bacaan 19 minit

Di Singapura, makan menggambarkan minat. Minat yang begitu mendalam.

Untuk negara yang sangat kecil, pelbagai makanan di Singapura benar-benar mengejutkan. Di sini, makan ialah topik yang penting. Google mungkin akan beritahu anda makanan popular di Singapura ialah nasi ayam atau ketam berlada, tapi cuba tanya beberapa orang Singapura dan tentu sekali jawapannya kurang tepat.

Di sini, kami nak memperkenalkan makanan kegemaran sepanjang hari, bermula daripada sarapan sehinggalah makan lewat malam. Teringin nak rasa 15 makanan terbaik ini? Tepuk dada tanya selera!

SARAPAN

1. ROTI BAKAR KAYA, TELUR SEPARUH MASAK & KOPI

Teramat enak

Sarapan klasik orang Singapura. Roti yang disapu dengan kaya yang manis dan berkrim. Dua biji telur separuh masak. Dan keperluan untuk memulakan hari, kopi.

Kebanyakan orang tempatan ada cara tersendiri untuk menikmati hidangan ini. Ada yang percaya telur akan menjadi lebih enak apabila digaul dan dihirup seperti minuman. Ada pula yang mahu minum kopi dengan sudu, seperti sup. Dan ada yang suka mencelup roti mereka ke dalam telur separuh masak yang enak. Kedai kopi pula ada di mana-mana: pesan saja dari kedai minuman. Klasik dan sentiasa tersedia, pilih saja yang sesuai dengan selera anda.

Cuba di:

Chin Mee Chin: 204 East Coast Rd. Dibuka setiap Selasa-Ahad, 8.30 pagi-4 petang.

Ya Kun Kaya Toast: Banyak cawangan, termasuk di Bugis Junction, #B1-11. Dibuka setiap hari, 7.30 pagi–10 malam.

2. CHWEE KUEH

Kuih yang dapat menceriakan pagi anda.

Kenyal, lembut dan seputih porselin. Itulah chwee kueh, atau ‘kek air’, nama yang diberi kerana chwee kueh yang baru dimasak selalunya terdapat sedikit air di bahagian tengah-tengahnya.

Ironiknya, rasa sebenar kuih ini bukan pada keknya tetapi pada intinya. Rasa kuih tradisi ini bertukar serta-merta dengan kehadiran rasa jeruk (chai poh). Masin, manis, rangup dan membuka selera.

Cuba di:

Jian Bo Shui Kweh: Tiong Bahru Market, #02-05. Dibuka pada 6.30 pagi–10.30 malam setiap hari.

Bedok Chwee Kueh: 208 New Upper Changi Road, #01-19. Dibuka pada 7 pagi-11 malam setiap hari.

Ghim Moh Chwee Kueh: Ghim Moh Market, #01-31. Dibuka pada 6.15 pagi-7 malam setiap hari.

3. LEMPENG KACANG

Makanan zaman kanak-kanak bagi pekerja pejabat di The Pantree (Photo by m__2)

Lempeng ini pasti mengingatkan zaman kanak-kanak anda. Makanan ini begitu simbolik dengan orang tempatan kerana kuih ini sudah lama wujud.

Juga dikenali sebagai Mee Chiang Kueh, lempeng kacang tradisional ini tebal dan gebu, tapi ada juga sesetengah penjaja yang membuatnya lebih nipis dan rangup. Apa saja cara yang anda suka, nikmati sepuasnya di:

Tanglin Halt Original Peanut Pancake: Tanglin Halt Market, Kedai 16. Dibuka setiap Selasa–Khamis & Sabtu–Ahad, 4.30 pagi–11 malam.

Tiong Bahru Mian Jian Kueh: Tiong Bahru Market, #02-34. 30 Seng Poh Road. Dibuka setiap Selasa-Ahad, 6 pagi–2 petang.

The Pantree: CT Hub 2, 114 Lavender Street. Dibuka pada Isnin-Jumaat, 8.30 pagi–5 petang; Sabtu, 9 pagi–3 petang.

MAKAN TENGAH HARI

4. NASI LEMAK

Rasa seenak baunya.

Aromanya saja boleh membangkitkan selera, mencabar deria bau dan rasa anda. Itulah magis memasak nasi dengan santan.

Nasi lemak dihidangkan bersama ikan bilis goreng rangup, kacang tanah goreng, telur, timun, dan pelengkapnya, sambal manis pedas. Anda boleh juga menambah lauk lain seperti ikan goreng atau kepak ayam goreng dan pelbagai lagi. Ya, sangat menggiurkan. Jangan fikir makan saja. Anda kan sedang bercuti!

Cuba di:

Selera Rasa Nasi Lemak: Adam Road Food Centre, #01-02. Dibuka setiap Sabtu-Khamis, 7 pagi-5 petang. (Diiktiraf Halal)

Pandan Leaf Nasi Lemak: Tanjong Pagar Plaza Market & Food Centre, #02-25. Dibuka setiap Isnin-Sabtu, 6.30 pagi-1 petang.

Ponggol Nasi Lemak: Pelbagai cawangan, termasuk di 371 Jalan Besar. Dibuka pada setiap Jumaat-Rabu, 12 tengah hari-11 malam.

5. ROTI PRATA

Makan dengan tangan.

Roti prata ialah sejenis roti yang dicanai dan merupakan roti tradisi orang India, namun ia begitu diminati oleh pelbagai bangsa. Cirinya yang rangup dan berlemak itulah yang membuatkannya digemari ramai. Untuk memaksimumkan keseronokan, makanlah menggunakan tangan. Mengoyak roti prata, mencelup ke dalam kari dan memakannya ialah pengalaman yang cukup sinonim dengan penggemar roti canai.

Kebanyakan kedai yang menyediakan roti ini menghidangkannya secara kosong atau bersama telur (roti telur), tapi banyak kedai moden sekarang menawarkan pelbagai seleksi terbaru termasuklah keju, pisang, cendawan dan banyak lagi. Di mana pun anda menikmati roti popular ini, nikmatinya berdekatan dengan penebar roti untuk melihat bermacam-macam aksi mereka menebar roti.

Cuba di:

Mr and Mrs Mohgan’s Super Crispy Roti Prata: 7 Crane Road, Poh Ho Restaurant. Dibuka pada 6.30 pagi-1.30 petang setiap hari, kecuali minggu ketiga hari Selasa dan Rabu setiap bulan (Diiktiraf Halal).

Casuarina Curry: 138 Casuarina Road. Dibuka pada 7 pagi-12 pagi setiap hari (Diiktiraf Halal).

Sin Ming Roti Prata: 24 Sin Ming Road, Jin Fa Kopitiam. Dibuka pada 6 pagi-7 malam setiap hari (Diiktiraf Halal).

6. KEK LOBAK MERAH

Bukan kek lobak merah seperti yang anda fikirkan.

Sebenarnya tiada langsung lobak merah dalam kek ini. Lobak merah bermaksud lobak putih untuk hidangan ini. Selalunya anda boleh memilih sama ada mahukan yang berwarna putih atau hitam; ditambah dengan perisa manis, kicap pekat.

Kebanyakan orang ada pilihan mereka tersendiri. Hitam untuk mereka yang sukakan rasa manis dan putih untuk yang sukakan rasa yang biasa. Pilihlah mengikut cita rasa anda.

Cuba di:

Bukit Merah View Carrot Cake: Blk 115 Bukit Merah View Food Centre, #01-37. Dibuka setiap hari 7 pagi-2 petang; 6 petang-1 pagi.

Lau Goh Teochew Chye Thow Kway: Zion Riverside Food Centre, Stall 26. Dibuka setiap Rabu-Isnin, 12 tengah hari-2.30 petang; 6 petang-11 malam.

Song Zhou Luo Bo Gao: 207 New Upper Changi Road, Bedok Interchange Food Centre, #01-18. Dibuka setiap Isnin-Sabtu, 6.30 pagi-8 malam.

MAKAN TENGAH HARI

7. CHAR KWAY TEOW

Rasa yang lebih enak daripada penampilannya.

Menu makanan di Singapura ialah cabaran besar untuk yang berdiet. Hampir semua makanan yang popular dihasilkan daripada karbohidrat. Seperti char kway teow.

Menggunakan dua jenis mi, dimasak dalam kuali yang panas dan ditambah dengan sosej, tauge, dan kerang. Rasanya yang sederhana namun mempersona ini akan membuatkan anda lupa sebentar segala keraguan anda tentang hidangan ini. Satu contoh utama adalah bagaimana chef menggunakan bahan-bahan terbaik mereka untuk menghasilkan sepinggan char kway teow.

Cuba di:

Hill Street Fried Kway Teow: Bedok South Road Market & Food Centre, #01-41. Dibuka setiap Selasa-Ahad, 10.30 pagi–7.30 malam.

Green Sky Fried Kway Teow: Bedok Food Centre, #01-14. Dibuka setiap Rabu-Isnin, 11 pagi-9.30 malam.

No. 18 Zion Road Fried Kway Teow: Zion Riverside Food Centre, Stall 17. Dibuka pada 12.30 tengah hari–2.30 petang; 6.30 petang–10 malam setiap hari.

8. MI HOKKIEN

Jika Char kway teow ialah yin, mi hokkien ialah yang.

Seperti juga char kway teow, mi hokkien juga hidangan mi yang digoreng. Tapi, kedua-dua hidangan ini berlainan sekali. Char kway teow berwarna coklat pekat, sementara mi hokkien kurang menyerlah warnanya - mi kuning dan putih digoreng bersama tauge, sotong dan udang.

Mi hokkien dihidangkan dengan cukup rasa, tidak kering dan tidak basah - sempurna untuk dihirup. Mi hokkien selalunya mengunakan intipati tulang khinzir dan kepala udang untuk menambahkan rasa, jadi pastikan anda mencari yang halal dan hanya menggunakan makanan laut.

Cuba di:

New Hawa Restaurant: Selegie Road. Dibuka setiap hari, 12 tengah hari-11.30malam.

Puncak Best Noodles & Halal Muslim Food: Far East Plaza. Dibuka setiap hari, 10 pagi-10 malam.

Cahaya Restaurant: Far East Plaza II. Dibuka setiap hari, 11.30 pagi-9 malam.

9. NASI BRIYANI

Berwarna-warni dan penuh rasa.

Nasi basmati dengan warna jingga gelap, jingga terang, kuning, sedikit kuning...mungkin menjadi sepinggan nasi paling berwarna-warni yang pernah anda makan.

Inilah briyani, bukan seperti makanan moden sekarang, warna yang ada pada nasi briyani tidak dicampur dengan pewarna tiruan. Warna-warna yang cantik ini datangnya daripada 14 jenis rempah berlainan yang dicampur ketika memasak beras basmati ini.

Cuba di:

Geylang Briyani Stall aka Hamid’s Briyani: Geylang Serai Market, #01-327. Dibuka setiap Selasa-Ahad, 9 pagi-5 petang. (Diiktiraf Halal)

Zam Zam: 697/699 North Bridge Road. Dibuka pada 8 pagi - 11 malam setiap hari. (Diiktiraf Halal)

Allauddin’s Briyani: Tekka Centre, #01-297. 665 Buffalo Road. Dibuka pada 8 pagi - 3 petang. (Diiktiraf Halal)

10. LAKSA

Laksa Sungei Road: sangat memikat selera.

Merasa semangkuk laksa seperti pengalaman pertama kali jatuh cinta. Ia tidak dijangka, tapi anda berasa ingin tahu dan terpesona. “Kenapa ia berwarna jingga?”, “Uhh...tak ada chopstick?”; “Apa yang saya sedang rasa ini?” Apa yang anda sedang rasa ialah semangkuk mi sup bersantan yang pedas dengan perasa ikan dan udang.

Yang terbaiknya tentang laksa, ia didatangkan dalam pelbagai cara masakan, bergantung pada kedai yang anda kunjungi. Ada yang lebih pedas daripada yang lain. Atau lebih berlemak. Ada juga yang kurang ‘berat’ dan supnya lebih enak dihirup. Ternyata, ia hidangan yang tidak boleh anda lupakan.

Cuba di:

Sungei Road Laksa: 27 Jalan Berseh, #01-100. Dibuka setiap Khamis-Selasa, 9.30 pagi-5.30 petang.

328 Katong Laksa: 53 East Coast Road. Dibuka pada 8 pagi-10 malam setiap hari.

Wei Yi Laksa & Prawn Noodle: Tanglin Halt Market, #01-20. Dibuka setiap Selasa-Ahad, 5.30 pagi-2 petang.

11. TELUR DADAR TIRAM

Hidangan yang akan membuat anda ketagih.

Telur dadar tiram atau “orh luak” tidak nampak menyelerakan, tapi sekali anda rasa, pasti nak lagi. Ini bukan telur dadar biasa yang hanya ditambah dengan tiram. Ramuan istimewa hidangan ini yang membuatkannya kegemaran orang tempatan. Tepung dicampur dengan telur untuk lebih kerangupan, dan sos ikan menambahkan rasa ingin memesan sepinggan lagi telur dadar tiram.

Tanya saja pengkritik makanan New York Times, Pete Wells; beliau menamakannya sebagai hidangan paling popular tahun 2015.

Cuba di:

Simon Road Oyster Omelette: Mee Sek Food Court, 965 Upper Serangoon Road. Dibuka setiap Rabu-Isnin, 4 petang-2 pagi.

Ah Chuan Fried Oyster Omelette: Kim Keat Palm Market and Food Centre, Stall 25. Blk 22 Toa Payoh Lorong 7. Dibuka setiap Rabu-Isnin, 3 petang-9 malam.

Lim’s Fried Oyster: Berseh Food Centre, #01-32. 166 Jalan Besar. Dibuka pada 6 petang-12 pagi setiap hari.

MAKAN MALAM

12. NASI AYAM

Jika anda fikir ayam berasa tawar, ini akan mengubah tanggapan anda.

Tidak seperti daging lembu, ramai yang gemar makan ayam. Tapi sebut saja nasi ayam, lain pula ceritanya. Ada yang percaya hidangan ini patut dijadikan makanan kebangsaan Singapura. Hidangan ini cukup popular membuatkan banyak cawangan dan francais tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Makanan yang Gordon Ramsay percaya tidak boleh diperlekehkan.

Siapa tahu hidangan yang cukup sederhana ini begitu menyelerakan.

Cuba di:

TFF Boneless Chicken Rice: Bedok Food Centre, #01-28. Dibuka setiap Khamis-Selasa (Tutup pada setiap Rabu), 11.00 pagi-9 malam.

89.7 Supper Club: Blk 5 Changi Village Road, #01-2735. Dibuka 24 jam bermula dari 10 pagi.

Evertop Family Restaurant: 89/91 Joo Chiat Road. Dibuka setiap hari pada 11.30 pagi-11 malam.

13. KETAM BERLADA

Sedap sehingga menjilat jari.

Ketam berlada masih lagi menjadi makanan paling popular di Singapura. Walaupun namanya agak menakutkan bagi orang yang tidak suka makanan pedas, sos yang bersalut dengan ketam ini sebenarnya lebih manis berbanding pedas kerana dicampur dengan pes tomato. Berita baiknya, ini tidak mengurangkan langsung rasa sedap hidangan ini!

Cuma jangan lupa untuk memesan mantou (roti bun) untuk dimakan bersama sos ketam berlada ini.

Cuba di:

Kampong Chai Chee Restaurant: 303 Changi Road. Dibuka setiap hari pada 11.30 pagi-12 malam.

Sinaran Seafood Restaurant: Block 26 Teck Whye lane, #01-170.

Melben Seafood: 232 Ang Mo Kio Avenue 3, #01,1222. Dibuka pada 4.30 petang-11.30 malam setiap hari.

14. STIMBOAT

Sedapnya!

Sup ialah faktor penting bagi hidangan stimboat. Ada sesuatu yang istimewa tentang sup itu yang membuatkan anda berasa selesa selepas menikmatinya. Ada yang didatangkan dengan perasa ayam, ikan dan makanan laut.

Banyak tempat makan yang telah menghidangkan stimboat sejak berdekad lalu. Enak dinikmati bila-bila masa, terutama sekali pada waktu hujan.

Cuba di:

House of Steamboat: 7 Tan Quee Lan Street. Dibuka pada 11 pagi-12 pagi.

Makan-Makan: Puggol Road End. Dibuka setiap Selasa-Jumaat, 3 petang-11 malam & Sabtu-Ahad, 12 tengah hari-12 pagi.

Farah Diana Steamboat & Grill: Sembawang Road. Dibuka setiap hari, 1 tengah hari-10.30 malam.

MAKAN LEWAT MALAM

15. DURIAN

Rasa yang lebih sedap daripada bau. Atau rupa. (Gambar oleh smelliemellie12)

Raja Buah ini bukan calang-calang. Penampilan yang menyerlah dengan duri-duri serta bau yang menyelerakan, anda mungkin akan menyukai atau membenci buah ini. Durian jenis Mao Shan Wang ialah durian yang paling popular di kalangan penduduk tempatan kerana kualiti premium dan rasanya yang manis dan berlemak.

Dua tip penting apabila memilih durian. Pertama, makan di kedai yang betul. Anda tidak mahu membayar mahal untuk durian dengan berkualiti rendah. Kedua ialah tiba awal di kedai menjual durian, atau buat tempahan. Kedai menjual durian yang sedap dan berkualiti selalunya diserbu dulu. Ya, orang Singapura memang suka makan durian.

Cuba di:

Combat Durian: 249 Balestier Road, Dibuka pada 12 tengah hari-10 malam setiap hari. 9278 9928.

Sindy Durian: 89 Whampoa Drive, #01-835. Dibuka pada 10 pagi-10 malam setiap hari. 9710 2427.

Ah Seng Durian: Ghim Moh Market, #01-119 to #01-122. Dibuka setiap Isnin-Jumat, 12.30 tengah hari-8.30 malam; Sabtu-Ahad, 12.30 tengah hari-8.30 malam. 9465 6160.

Sejujurnya, 15 makanan hebat ini tidak cukup untuk menggambarkan keenakan makanan yang ditawarkan oleh negara Singapura.

Namun, makanan inilah yang begitu dekat dengan jiwa rakyat Singapura dan sesuai jika anda sememangnya bersedia untuk percutian yang sangat tinggi kalori!

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Hotel
Tiket Penerbangan
Things to Do
Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2025 Traveloka. All rights reserved