0

Traveloka MY

07 Apr 2017 - 5 min read

Tip Mencari Makanan Halal untuk Pelancong Muslim di Korea

Semakin ramai rakyat Malaysia mengembara ke Korea Selatan sejak akhir-akhir ini. Negara kimchi ini bukan saja terkenal dengan K-Pop dan K-Drama, malah makanannya yang sedap-sedap! Jadi, tak hairanlah kalau kita ke Seoul terutama Itaewon, pasti akan jumpa ramai pengunjung Malaysia Muslim sebab di situlah port makanan halal Korea yang paling terkenal.

Sotong kurita pedas, salah satu hidang paling popular di Korea.

Tapi, Seoul bukannya kecil. Macam mana kalau kita menginap jauh dari Itaewon? Setiap hari kena nak naik subway lebih setengah jam semata-mata nak pergi makan? Sudahlah itu, kena panjat bukit lagi!

Itu baru di Seoul. Macam mana pula kalau kita ke daerah yang restoran halal tidak semeriah di Itaewon seperti Pulau Jeju, Busan, Masan, Daegu, Daejeon, Jeolla, Gapyeong, Gangneung, dan lain-lain? Mudah saja. Sebenarnya, ada banyak makanan termasuklah makanan yang di jual penjaja jalanan tapi Muslim boleh makan di Korea Selatan. Kalau kita rujuk hukum Islam pun, sebenarnya sangat senang untuk bertahan di tempat minoriti Muslim. Apatah lagi, mengembara ini disuruh oleh Allah S.W.T. Tak mungkin Dia suruh buat sesuatu tetapi disusah-susahkan pula kita. Betul kan?

Makanan laut yang bersalut adunan tepung rangup.

Pertama sekali, mari kita pelajari beberapa perkataan penting untuk menyenangkan anda mencari makanan di Korea Selatan.

1.
Khinzir = dweji gogi
2.
Daging = gogi
3.
Ayam = chikin / dak
4.
Arak / alkohol = soju / wain (wine)

Cara penggunaannya pula begini. Kita tunjuk makanan yang anda mahu beli/pesan dan tanya:

1.
Dweji gogi issoyo? = Ada daging khinzir ke?
2.
Gogi issoyo? = Ada daging ke?
3.
Soju / wain issoyo? = Ada soju / wine ke?

Kalau penjaja tu jawab, “Yae”, ataupun, “Issoyo”, maknanya ada dicampur dalam makanan itu.

Kalau dia jawab, “Opsoyo”, pula, maksudnya tiada. Jadi kita boleh makan. Jika anda betul-betul tidak mahu ada apa-apa protein, anda boleh cakap yang anda ialah seorang vegetarian.

Hotteok, manisan yang diminati oleh rakyat Korea.

Biasanya, kita suka siasat betul-betul. Bukanlah sesuatu yang salah untuk menyelidik, sebab kita memang perlu jaga apa yang kita makan. Tetapi perkara pertama yang perlu kita tahu ialah mereka tidak menggoreng guna minyak/lemak khinzir ataupun minyak haiwan. Sebaliknya hanya minyak sayuran atau minyak kekacang.

Kalau anda suka tonton drama Korea, pasti anda tahu apa itu ppopgi.

Yang kedua, berkenaan alatan memasak yang digunakan pula, para ulama sependapat mengatakan kita tidak perlu siasat sampai ke dapur rumah orang yang menjual itu untuk mengetahui adakah dia masak daging lain dengan alatan yang sama ataupun tidak. Memadai kita nampak dia tidak gunakan untuk memasak daging lain di situ. Melainkan kalau kita betul-betul nampak dengan jelas yang dia memang memasak makanan yang haram dimakan, jadi itu perlu dijauhi.

Bunggeoppang, roti berbentuk ikan yang diisi dengan pelbagai inti enak.

Satu lagi, sekiranya satu gerai tu menjual beberapa jenis makanan. Contohnya, satu dulang tteokbokki (kek beras pedas) dan dulang satu lagi makanan bercampur daging, janganlah beli di situ. Takut anda tersalah makan pula. Cari gerai lain yang khusus menjual tteokbokki sahaja, ataupun yang menjual tteokbokki dengan makanan laut seperti udang, udang kara, ataupun sotong.

Belut panggang patut dicuba kalau ke Korea.

Bagi umat Islam, amat bagus kita amalkan membaca doa ini sebelum makan apa-apapun:

"Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syai-un fil ardhi wala fissama-i wahuwassami’ul alim."

Maksudnya: Dengan nama Allah yang tidak ada mudarat apapun padanya segala yang di bumi dan di langit, dan Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Doa ini ajaran Nabi Muhammad SAW, supaya Allah membantu melindungi tubuh kita daripada keburukan yang datang daripada makanan.

Udang kara keju yang enak!

Di sini pula saya senaraikan antara makanan yang dijual penjaja yang boleh kita makan:

1.
Jus buah-buahan segar
2.
Gyeranppang (roti ban telur)
3.
Sotong kurita panggang
4.
Belut panggang/ikan bakar
5.
Udang galah dengan keju panggang
6.
Udang/sotong/ketam lembut goreng tepung
7.
Scallop (sejenis tiram) dengan keju panggang
8.
Tteokbokki kosong (tanpa sosej/ham/daging)
9.
Kek ikan (tanpa soju)
10.
Bunggeoppang/taiyaki (kuih bentuk ikan, inti kacang merah dan lain-lain)
11.
Hotteok (seperti roti garing berinti gula, kacang, dan lain-lain)
12.
Ppopgi (gula-gula karamel tradisional)
13.
Lempeng pisang
14.
Kkultarae (gula-gula tarik)
15.
Makanan laut di pasar-pasar seperti Noryangjin Fish Market (Seoul)/Jagalchi Fish Market (Busan)

Makanan yang jalanan ini paling mudah didapati di pasar malam Myeongdong, Seoul, ataupun di mana-mana pojangmacha iaitu khemah tepi jalan di seluruh Korea Selatan.

Jus buah-buahan segar yang pastinya halal.

Tentang restoran halal pula, ada yang memang mendapat status Halal dengan logo halal KMF, manakala ada pula yang berstatus mesra-Muslim. Biasanya yang ada status Halal tidak menjual alkohol, tetapi yang mesra-Muslim ada yang menjual alkohol. Sebaiknya kita tidak menilai restoran mesra-Muslim ini, kerana makanan yang disediakan sememangnya halal dan mereka mengasingkan dapur penyediaan makanan. Jangan bimbang, walaupun mereka turut menghidangkan alkohol, namun segala urusan berkaitan alkohol (menyediakan, menjual, menghidang) langsung tidak melibatkan kita sebagai pelanggan.

Udang goreng tepung yang lazat dimakan panas-panas.

Kita perlu faham betul-betul bab status Halal. Di Malaysia, kita ada JAKIM sebagai panel penilai. Di Korea Selatan, badan rasmi yang menentukan status halal makanan ialah Korean Muslim Federation (KMF). KMF pula salah satu badan Islam yang diiktiraf oleh JAKIM di seluruh dunia. Namun, disebabkan Korea Selatan bukan negara majoriti Muslim, maka logiklah amat sedikit makanan dan restoran yang mempunyai status dan logo halal KMF. Tetapi, tidak bermaksud makanan yang tiada logo halal KMF itu kita tidak boleh makan.

Jadi, sebagai Muslim yang beriman, dalam kita menjaga kehalalan makanan, kita juga perlu menjaga akal, hati, dan lidah ketika mengembara ke negara orang. Sesungguhnya, dalam konsep pengembaraan patuh syariah sebenar, ada lebih banyak perkara yang boleh kita lakukan berbanding yang dilarang.

Tip-tip ini juga sesuai untuk mana-mana negara minoriti Muslim. Cuma, tukarlah dialog di atas dengan bahasa mereka. Jangan pula tanya “dwejigogi” di Perancis, tercengang mereka nanti.

Jadi jomlah kita terbang ke Korea Selatan!

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka. All rights reserved