Aktiviti Dating di KL - Meluangkan masa bersama pasangan adalah perkara bermakna untuk melakar memori terindah sepanjang perkenalan.
Untuk pasangan yang sudah lama menjalin kasih, berjalan-jalan di pusat membeli belah mahupun makan di restoran adalah aktiviti biasa dan sudah pasti sering dilakukan bersama. Lama-lama pasti rasa bosan juga. Manakala, untuk pasangan baru pula, sudah pasti anda bingung dan tercari-cari tempat yang betul-betul menarik untuk dating bersama si dia.
Nak bawa ke mana-mana tempat menarik, sudah pasti ramai yang berfikir ia akan memerlukan wang ringgit sebagai modal. Namun, tahukah anda seandainya anda bijak merancang dan rajin membaca, banyak sebenarnya aktiviti atau idea dating yang menarik dan tidak memerlukan kos yang tinggi bahkan percuma lebih-lebih di sekitar Kuala Lumpur.
Jom teruskan membaca untuk mengetahui idea dan tempat dating secara percuma di Kuala Lumpur agar anda boleh berjimat namun tetap seronok meluangkan masa bersama pasangan!
Pasar seni atau juga dikenali sebagai Pasar Budaya merupakan salah satu bangunan bersejarah yang ada di Kuala Lumpur. Ia menjadi tempat tarikan ramai pengunjung terutamanya pada hujung minggu. Pasar Seni ini dijadikan sebagai pusat sehenti tradisi untuk produk seni dari Malaysia dan negara ASEAN.
Anda tidak perlu menggunakan kereta untuk mengunjungi kawasan ini. Cukup dengan hanya menaiki LRT laluan Putra Height-Gombak, kemudian turun di Stesen LRT Pasar Seni. Stesen LRT Pasar Seni hanya berhadapan dengan Pasar Seni dan sejauh 5 minit berjalan kaki.
Di pasar ini, anda boleh membeli belah atau mencuci mata melihat pelbagai jenis cenderamata dan kraftangan yang dijual di sini. Barang pewter, songket, ukiran kayu dan batik merupakan contoh kraftangan yang anda boleh dapati. Pastikan anda gunakan kemahiran tawar-menawar anda untuk dapatkan harga yang rendah okay!
Selain itu, anda juga boleh duduk menonton tarian tradisional secara percuma di pentas luar Pasar Seni sekiranya sudah puas mencuci mata melihat pelbagai barangan yang dijual. Cuma, anda kena datang pada masa yang sesuai.
Jika anda datang ke sini dengan perut kosong, anda boleh menikmati makanan tempatan di food court yang terletak di tingkat atas. Sebelum balik, jangan lupa juga bawa kekasih anda singgah membeli bunga di kedai bunga berhampiran pasar ini. Barulah lengkap aktiviti dating anda!
5 minit berjalan kaki dari Pasar Seni ini anda boleh sampai ke Jalan Petaling. Jalan Petaling ataupun Chinatown Malaysia merupakan pasar yang terkenal dengan pelbagai barang tiruan seperti jam tangan, kaca mata, minyak wangi dan cakera padat cetak rompak. Sekiranya anda ingin mencari barang dengan harga yang murah, inilah tempatnya.
Anda boleh mengambil gambar bersama pasangan anda di hadapan lukisan mural bersejarah yang terdapat di kawasan ini. Ia menempatkan 6 mural bertemakan kehidupan kaum cina pada masa lalu. Sekiranya anda mempunyai masa lebih, anda boleh mengunjungi RexKL, iaitu sebuah hub komuniti seni.
Bangunan asal RexKL merupakan pusat teater pertama yang dibina di Kuala Lumpur pada 1945. Kini, bangunan tersebut diberikan nafas baru dan menempatkan pelbagai acara dan persembahan seni. Jika anda bernasib baik, anda boleh menyaksikan pelbagai acara dan persembahan seni secara percuma!
Dataran Merdeka sebenarnya hanya terletak bersebelahan Pasar Seni. Walaubagaimanapun, jika anda terasa malas untuk berjalan, anda bolehlah menaiki LRT dan hanya turun di LRT Masjid Jamek. Setibanya anda di sana, anda perlu berjalan ke arah Dataran Merdeka selama lebih kurang 5 minit.
Jika anda meminati pastri, singgahlah sebentar di KLCG Confectionery & Bakery @Dataran dan rasai sendiri pastri mereka seperti croissant. Selain itu, terdapat juga pameran di dalam Kuala Lumpur City Gallery The Arch yang berada di dalam KLCG Confectionery & Bakery. Pastinya anda akan teruja membaca sejarah Kuala Lumpur yang diabadikan di sana.
Setelah itu, anda boleh mengunjungi KL City Library yang terletak betul-betul bersebelahan Dataran Merdeka. KL City Library tersenarai sebagai perpustakaan yang mempunyai interior yang lawa dan menakjubkan. Selain meminjam buku dan membaca buku secara percuma, anda dapat abadikan kenangan anda bersama pasangan anda di ruangan-ruangan di dalam perpustakaan berkenaan yang sangat “instagrammable”.
Kebiasaannya, pada hari Sabtu dan Ahad, jalan utama di Dataran Merdeka akan ditutup bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk bersantai di sana. Kadang-kadang ada yang datang membawa tikar serta makanan untuk berkelah.
Tentu menarik jika anda ingin merancang minum petang yang romantik dan membawa makanan anda sendiri sambil menikmati pemandangan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Kota Raya Kuala Lumpur. Sudah tentu si dia pasti menghargai kesungguhan anda!
Kawasan riadah seluas 46.13 hektar ini terletak di Titiwangsa dan berada di Timur Laut Kuala Lumpur. Suasana di sekitar tasik ini sangat tenang dan segar kerana dikelilingi oleh pokok-pokok yang redup dan bunga yang mekar. Kawasan ini mempunyai sebuah taman di tepi tasik buatan.
Selain itu, ia juga mempunyai pelbagai kemudahan dan rekreasi seperti mengayuh sampan, kayak, taman permainan kanak-kanak dan kawasan menunggang kuda. Terdapat banyak aktiviti luar atau riadah yang boleh dilakukan di sini termasuklah berbasikal, berjogging, berkelah dan banyak lagi.
Apa yang menariknya, Taman Tasik Titiwangsa adalah merupakan satu-satunya lokasi strategi untuk menikmati pemandangan matahari terbenam berbanding tasik-tasik lain yang ada di sekitar Lembah Klang. Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan langit jingga bersama pasangan anda. Si dia pasti suka!
Jika anda memilih untuk berkunjung kesana pada waktu pagi, anda mungkin berpeluang untuk melihat kabus yang keluar daripada bahagian bawah taman yang dingin dan menakjubkan. Selain itu, terdapat juga laluan pejalan kaki di laman kerawang atau dikenali sebagai Taman Mazeyang yang dihiasi dengan haruman dari bunga kemuning. Bunga tersebut ditanam dan membentuk sebuah puzzle di taman berkenaan.
Walaupun anda hanya duduk-duduk saja bersama pasangan anda sambil menikmati panorama kawasan tersebut yang dihiasi dengan pemandangan KLCC dan Menara Kuala Lumpur, ia sudah cukup menarik untuk meluangkan masa bersama pasangan anda.
Ramai tidak tahu adanya Taman KLCC yang terletak betul-betul di luar KLCC. Taman KLCC ini merupakan laluan luar bagi pertemuan banyak tempat menarik di segitiga emas Kuala lumpur seperti Suria KLCC, SuperPark bahkan Pavillion (jika anda berjalan kaki dari sana).
Terdapat trek getah sepanjang 1.3 km yang menjadi tarikan warga kota yang tinggal berhampiran untuk beriadah bersama-sama keluarga dan rakan. Selain itu, terdapat taman buatan manusia seluas 20 hektar yang menjadi tumpuan pelbagai spesies burung untuk singgah berehat.
Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai jenis tumbuhan dan pokok ditanam di sekitar taman berkenaan. Jika anda ingin membaca lebih lanjut mengenai spesies pokok atau tumbuhan yang ditanam, anda boleh scan QR Code yang terletak di papan tanda berhampiran.
Taman KLCC ini sangat sesuai jika anda ingin meluangkan masa bersama pasanagn kerana ia sangat selesa dan berdekatan dengan kemudahan awam (Stesen LRT KLCC). Jika anda memilih untuk datang pada waktu malam pula, anda dapat menghiburkan diri dengan melayan keindahan malam di Taman KLCC dengan pancuran air berirama atau lebih dikenali sebagai KLCC Lake Symphony.
Air pancutan dari kolam tersebut berwarna-warni dan akan menari-nari mengikut rentak dan irama dari muzik yang dimainkan. Sudah tentu si dia akan gembira dan bolehlah anda mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar berdua bersama.
Setelah itu, anda boleh luangkan masa untuk mengunjungi Kampung Baru yang terletak hanya 1 stesen jauhnya dari Taman KLCC ini. Di Kampung Baru ini, anda boleh menjamu selera dan menikmati pelbagai jenis juadah yang dijual oleh penjual tempatan. Nasi lemak, makanan panas, lok ching dan sebagainya, semuanya ada di sini!
Salah satu tarikan menarik yang berdekatan Kampung Baru adalah Jambatan Saloma. Jambatan sepanjang 370 meter ini adalah inspirasi dari binaan jambatan Bridger of Peace di Tbilisi, Georgia. Tetapi, rekaannya diubah sedikit dengan memasukkan elemen sirih junjung yang melambangkan identiti masyarakat Melayu.
Hiasan lampu LED di jambatan tersebut ketika waktu malam sudah pasti memberikan suasana yang romantik bagi anda yang mahu mengabdikan kenangan dengan mengambil gambar bersama pasangan anda di sini.
Benar apa orang kata, Kuala lumpur ini adalah kota yang tidak tidur. Waktu pagi dan senja di Bukit Bintang sama sahaja. Jika anda ingin keluar bersama pasangan anda pada waktu malam atau mungkin selepas kerja, Bukit Bintang adalah tempat yang sesuai.
Anda boleh menaiki MRT dan turun di Stesen MRT Bukit Bintang, ataupun menggunakan monorel dan turun di Stesen Monorel Bukit Bintang/Sg Wang. Namun, jika anda gemar untuk berjalan dan menikmati angin malam, anda boleh menggunakan laluan pejalan kaki berhawa dingin dari KLCC terus ke Pavilion.
Di Bukit Bintang, terdapat beberapa pusat membeli belah yang mempunyai pelbagai pilihan makanan atau kedai-kedai, seperti Pavillion, Sg Way dan Lot 10. Selain itu, anda boleh mengambil peluang untuk merasa shawarma atau kunafa yang kini viral dan boleh didapati di kedai-kedai yang ada di sekitar.
Selain itu, anda juga boleh duduk-duduk dan bersantai melihat persembahan busking yang biasanya ada di hadapan McDonalds yang ikonik iaitu McDOnalds Bukit Bintang. Suasana busking dan lampu-lampu neon di waktu malam pastu membangkitkan keseronokan bagi anda dan pasangan.
Tahukah anda, anda juga boleh tempah pakej KL Hop on Hop Off Sightseeing Tourmelalui aplikasi Traveloka untuk pengalaman bersiar-siar bersama pasangan anda ke lebih kurang 18 tempat dengan ulasan kru secara langsung di atas bas dan menikmati pemandangan sekitar Kuala Lumpur dari dek terbuka!
Hah, amacam anda sudah dapat idea untuk meluangkan masa bersama pasangan anda?
Sekiranya sudah berkahwin, jangan lupa buat tempahan hotel di Traveloka sekiranya anda ingin meluangkan masa bermalam di bandaraya Kuala Lumpur bersama pasangan anda. Semoga perkongsian di atas menjadi sumber inspirasi untuk anda meluangkan masa bersama insan yang tersayang.