Dekati alam semula jadi di Sandakan

Celestine Foo
22 Jun 2020 - Bacaan 3 minit

Sandakan yang dahulunya dikenali sebagai Elopura, adalah bekas ibu kota Borneo Utara Britain. Pusat untuk hidupan liar, alam semula jadi dan sejarah menawarkan banyak aktiviti untuk dilihat dan dilakukan oleh pelawat dari pelbagai lapisan umur. Sejarah bandar menawan ini juga agak menarik kerana telah wujud sejak awal tahun 1870. Secara keseluruhannya tempat yang penuh dengan permata tersembunyi ini menawarkan kepelbagaian menarik yang sesuai untuk dijadikan destinasi percutian. Dari taman-taman dan pulau-pulau, banyak yang boleh anda terokai untuk lebih dekat dengan alam semula jadi!

Taman Hutan Hujan Sandakan

Taman Hutan Hujan Sandakan, juga dikenali sebagai Kebun Cina, adalah tempat di mana eksperimen botanikal mula-mula dijalankan. Taman seluas 148.6 hektar ini dulunya jauh lebih besar, tetapi hingga kini masih hidup dan penuh dengan hidupan liar tropika. Terdapat sekitar 110 spesis berbeza yang dapat dijumpai di sini, menjadikan ia lokasi utama bagi pencinta alam. Pengunjung boleh singgah untuk melihat burung dan serangga yang unik atau tanaman kendi karnivor sambil mengembara di sepanjang laluan yang indah. Sekiranya anda mahu lakukan aktiviti lain, luangkan masa untuk mengagumi pemandangan hutan hujan yang indah dari jambatan gantung di taman atau menambah pengetahuan anda dengan lawatan di bangunan pameran. Terletak kira-kira 9 km dari pusat bandar Sandakan, cara terbaik untuk sampai ke sini adalah dengan menaiki kereta.

Alamat:
Unnamed Rd, 90000 Sandakan, Sabah

Waktu operasi:
Setiap hari, 7 pagi - 6 petang

Pusat Rehabilitasi Sepilok

Terletak kira-kira 25 kilometer dari kota Sandakan, pusat ini telah ada sejak tahun 1964 dan didirikan dengan tujuan untuk pemuliharaan orangutan tanpa ibu dan yang dirampas. Kini terdapat 60-80 orangutan liar yang tinggal di pusat ini, dengan 25 orangutan yatim lain yang dijaga oleh kakitangan terlatih di pusat asuhan di sini. Pengunjung boleh mempelajari tentang bagaimana haiwan pintar ini menyesuaikan diri dengan habitat asalnya dan juga melihat sesi memberi makan setiap hari. Mereka yang bernasib baik juga berpeluang melihat haiwan lain seperti beruang matahari, siamang, dan badak kerana pusat itu kadangkala memberikan rawatan untuk haiwan-haiwan ini juga. Matlamat utama pusat ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai proses pemulihan, jadi anda pasti akan memperoleh pengalaman yang baru dan membuka mata - terutamanya untuk golongan muda! Anda boleh mendapatkan tiket di sini.

Alamat:
Jabatan Hidupan Liar Sabah, W.D.T 200, Sandakan, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan, Sabah

Waktu operasi:
Jumaat - Rabu, 9 pagi - 11 pagi dan 2 petang - 3 petang; Khamis, 9 pagi - 11 pagi dan 2 petang - 4 petang

Sandakan Heritage Trail

Anda tidak perlu menjadi penggemar sejarah untuk menikmati Sandakan Heritage Trail. Anda hanya perlu menikmati pemandangannya yang indah. Jejak Warisan Sandakan atau Sandakan Heritage Trail menghubungkan beberapa tempat bersejarah di bandar Sandakan. Jejak yang mudah dijumpai ini ditandakan dengan ‘tapak kaki berwarna merah’ pada jubin konkrit putih yang menunjukkan perkataan "Heritage Trail". Terdapat sebelas stesen pada jejak ini, termasuk Masjid Jamek Sandakan, tangga 100 langkah, Rumah Agnes Keith, dan Kuil Sam Sing Kung. Selain pengalaman belajar yang menyeronokkan, anda dapat menikmati keadaan sekeliling anda mengikut kelajuan anda sendiri! Tidak perlu risau untuk mengikuti kumpulan atau bimbang sesat jalan.

Pulau Penyu Selingan

Taman Pulau Penyu terdiri daripada tiga pulau kecil. Dan salah satunya adalah Pulau Penyu Selingan yang menjadi pulau utama tarikan pelancong.

Kawasan pemuliharaan ini berdekatan pantai Sandakan dan dikhaskan untuk menjaga penyu dan melepaskannya ke hidupan asalnya. Kunjungi pulau ini pada bulan Mac-Julai jika anda ingin melihat anak penyu menetas dan menuju ke laut untuk memulakan kehidupan baru mereka atau pada bulan Julai-Oktober untuk melihat penyu datang ke darat untuk bertelur. Mereka yang suka melihat anak-anak haiwan yang kecil dan comel pasti akan menyukai tempat penetasan penyu kerana anda dapat melihat sendiri telur penyu menetas! Sekiranya anda merasa lawatan singkat ini tidak mencukupi, terdapat juga penginapan yang tersedia di sini supaya anda boleh berada dekat dengan makhluk istimewa ini. Seperti pusat pemulihan yang lain, pengunjung akan dapat belajar dan memahami lebih banyak mengenai aktiviti pemuliharaan, menjadikan ini pengalaman belajar yang memuaskan.

Alamat:
Pulau Selingan, Sabah

Waktu operasi:
Setiap hari, 8 pagi - 6 petang

Gua Gomantong

Sebagai salah satu gua terbesar di Sabah, Gua Gomantong terkenal dengan populasi kelawarnya yang besar. Ia juga didakwa mempunyai jutaan kelawar, dan ruang utama gua ini penuh dengan burung walit pada waktu malam. Sarang burung walit yang ditinggalkan ini cukup istimewa - inilah yang kita gunakan untuk membuat sup sarang burung! Pengunjung harus tahu bahawa terdapat dua ruang utama di sini, salah satunya dibuka untuk umum, sementara yang lain sukar untuk dilalui. Di luar, terdapat ribuan ekar hutan hujan dara dengan pelbagai hidupan liar di sekitarnya.

Alamat:
Gomantong Hill, Sandakan, Sabah

Waktu operasi:
Sabtu - Khamis, 8 pagi - 1 tengah hari dan 2 petang - 5 petang; Jumaat, 8 pagi - 11.30 pagi dan 2 petang - 5 petang

_________________________________________________________________________

Berminat untuk berkunjung ke Sandakan? Lihat Traveloka untuk mencari inspirasi untuk percutian anda.

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Hotel
Tiket Penerbangan
Things to Do
Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2025 Traveloka. All rights reserved