India, sebuah negara yang bukan sahaja kaya dengan budaya dan tradisi, malah ada banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Ini antara sebab-sebab ia menjadi destinasi impian para backpacker di seluruh dunia. Jika anda ingin ke negara yang kaya dengan lagu-lagu Hindustan ini buat kali pertama, tiga kota ‘Segitiga Emas’ iaitu Jaipur, Agra dan Delhi harus menjadi lokasi pengembaraan utama untuk melihat tarikan popular yang ada!
Jaipur terletak dalam kawasan Rajasthan (negeri terbesar di India) dan terbahagi kepada 2 bahagian - kota lama dan kota baru. ‘Pink City’ yang terkenal dengan bangunan yang hampir semuanya berwarna merah jambu berada di bahagian kota baru Jaipur. Di sini, penduduknya masih mengekalkan gaya hidup sederhana tetapi penuh dengan tradisi.
Kenderaan seperti tuk-tuk, teksi, motor, bas dan kereta kuda merupakan antara pengangkutan am yang sering diguna di sini. Jadi, tidak hairanlah jika setiap hari anda dapat melihat jalan rayanya sangat sibuk dengan kenderaan dan haiwan ternakan seperti keldai dan lembu.
Hawa Mahal atau lebih dikenali sebagai ‘Palace of the Winds’ merupakan salah satu monumen terkenal yang wajib dikunjungi jika anda berada di kota Jaipur. Monumen ini terletak di Hawa Mahal Road dan dibina pada tahun 1799 oleh Maharaja Sawai Pratap Singh semasa pemerintahan baginda.Yang uniknya, Hawa Mahal dibina menggunakan batu kapur berwarna merah dan merah jambu. Hawa Mahal mempunyai 953 buah tingkap yang pernah berfungsi sebagai tempat untuk kaum wanita diraja memerhati kehidupan seharian masyarakat tempatan.
Bayaran masuk untuk pelancong hanya sebanyak 50 rupee (RM3) untuk mengakses bahagian dalam istana. Murah kan? Jadi, gunakan peluang peluang ini untuk masuk dan melihat lebih dekat struktur dan seni bina dari dalam! Jangan lupa, beli cenderahati yang dijual di sepanjang Hawa Mahal Roaduntuk dibawa pulang ke Malaysia.
Antara monumen bersejarah yang lain di Jaipur adalah City Palace, yang juga terletak dalam kawasan ‘Pink City’. City Palace dibuka pada tahun 1729 sebagai kompleks istana dan masih digunakan oleh kerabat diraja Jaipur sehingga kini. Istana yang strukturnya masih gah ini masih mengekalkan seni bina Mughal kebanyakkannya dapat dilihat pada seni bina bangunan-bangunan di kawasan Rajasthan seperti di Udaipur dan Jodhpur.
Dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, pelancong dikenakan bayaran sebanyak 500 rupee (RM30). Manakala, hanya 300 rupee (RM18) sahaja untuk pelajar asing.
Buat penggemar sejarah dan artifak pula, Muzium Albert Hall perlu ditambah dalam senarai tempat wajib anda pergi di Jaipur. Muzium tertua di Rajasthan ini dibuka seawal jam 9 pagi hingga 10 malam. Selain barangan lama, Muzium Albert Hall juga turut mempamerkan mumia dari Mesir di bahagian bawah tanah muzium! Tiket masuk untuk pelancong asing hanya 300 rupee (RM18), manakala 150 rupee (RM9) untuk pelajar asing.
Jangan lepaskan peluang untuk bergambar bersama ribuan burung merpati di hadapan pagar muzium ini!
Perjalanan di India tidak sah kalau anda tidak singgah ke Taj Mahal. Monumen tersohor ini terletak di Agra (kawasan Uttar Pradesh), kira-kira 5 jam dari Jaipur dan 3 jam dari Delhi. Monumen yang dibina pada tahun 1631 ini, telah pun diiktiraf sebagai salah satu daripada 7 Keajaiban Dunia oleh UNESCO pada tahun 2007.
Bukan hanya sekadar bangunan yang cantik, Taj Mahal turut terkenal sebagai bukti pengabadian cinta Shah Jahan kepada isterinya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka yang ke-14. Jasad mereka berdua dimakamkan bersama di bahagian dalam Taj Mahal.
Tips untuk ke Taj Mahal? Bangun seawal jam 4 pagi kerana anda perlu berjalan masuk kira-kira 500 meter dari pintu pagar utama untuk ke kaunter tiket. Harga tiket masuk ke Taj Mahal adalah 1000 rupee (RM60) dan setiap pelawat akan dibekalkan dengan sebotol air mineral dan sarung kasut yang akan digunakan di bahagian dalam kawasan monumen. Untuk menjimatkan masa ketika beratur, anda disarankan membuat pembayaran mengunakan kad.
Untuk yang ingin melanjutkan perjalanan di Agra, ada banyak tempat penginapan yang berpatutan berdekatan Taj Mahal. Bermalam dan lawati tarikan lain keesokan harinya. Terdapat banyak tempat menarik di Agra seperti Kubu Agra, Fatehpur Sikri, Baby Taj dan banyak lagi.
Menyaksikan matahari terbenam pada waktu senja di kawasan Taj Mahal merupakan pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Mehtab Bagh, merupakan salah satu spot terbaik untuk menikmati keindahan Taj Mahal pada waktu petang. Para pelancong dapat melihat Taj Mahal dari bahagian belakang merentasi Sungai Yamuna. Bayaran masuk ke Mehtab Bagh hanya 200 rupee (RM12).
Selain Mehtab Bagh, anda juga boleh ke menyaksikan matahari terbenam di Taj Mahal dari bahagian selatan Sungai Yamuna dengan menaiki perahu penduduk tempatan.
Salah satu info menarik tentang Taj Mahal, ia berubah warna mengikut cuaca dan suhu disebabkan seni binanya yang menggunakan marmar yang mampu meresap warna dan cahaya. Taj Mahal lebih berwarna putih cerah pada waktu awal pagi dan kuning keemasan pada waktu petang!
India mempunyai banyak kubu pertahanan yang telah dibina sejak ratusan tahun dahulu. Salah satunya ialah Kubu Agra yang terletak di kota lama Agra. Kubu ini dibina semasa zaman pemerintahan Mughal dan diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan UNESCO di Agra selain daripada Taj Mahal.
Waktu pagi adalah waktu yang sesuai untuk berkunjung ke Kubu Agra kerana tidak ramai pengunjung, cuaca tidak begitu panas dan juga senang untuk anda bergambar. Bayaran masuk untuk pelancong asing adalah sebanyak 500 rupee (RM30).
New Delhi merupakan ibu negara India dan sebuah kota yang sangat padat dan sibuk. Banyak tempat menarik yang boleh dilawat jika anda berada di Delhi.
Salah satunya ialah Jama Masjid yang terletak di kawasan kota lama Delhi. Anda boleh datang ke sini dengan menaiki Metro Delhi dan turun di Stesen Jama Masjid.
Masjid ini telah dibina oleh Shah Jahan semasa zaman pemerintahan beliau. Turut diinspirasikan oleh seni bina Mughal, Jama Masjid mempunyai 3 pintu utama dan 2 buah menara ikonik yang berfungsi sebagai tempat untuk melaungkan azan dan sebagai menara tinjau. Seni binanya juga mempunyai sedikit persamaan dengan Jama Masjid di Agra yang berdekatan dengan Taj Mahal seperti corak lantai dan bentuk kubah. Bayaran masuk untuk pelancong asing hanya 200 rupee (RM12).
Selesainya lawatan, anda harus singgah dan merasai hidangan asli diraja India di Restoran Karim yang terkenal di kota lama Delhi. Cuma berjalan kira-kira 5 minit dari Jama Masjid dan anda dapat merasai keenakan hidangan terkenal di restoran tersebut seperti Kurma Kambing, Ayam Mentega Berkrim, dan banyak lagi!
Qutb Minar merupakan salah sebuah monumen bersejarah lain yang terletak di selatan Delhi. Selain daripada menara setinggi 73 meter yang dibina pada tahun 1193 ini, kompleks Qutb Minar juga turut menempatkan sebuah masjid lama yang dipercayai tertua di India - Masjid Quwwat-ul-Islam dan makam Imam Zamin yang terkenal di sana. Ia juga diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan UNESCO di India.
Anda boleh menaiki Metro Delhi dan turun di Stesen Saket atau Stesen Qutab Minar dan perlu menaiki tuk-tuk untuk ke sini. Bayaran masuk untuk pelancong asing adalah 500 rupee (RM30) sahaja.
Sebenarnya, banyak lagi tempat yang boleh anda lawati kalau anda berada di Jaipur, Agra dan Delhi. Rancang perjalanan dengan teliti sebelum bercuti kerana pergerakan di India dari satu lokasi ke lokasi yang lain memakan masa yang agak lama.
Jadi, tunggu apalagi? Tempah hotel dan penerbangan di Traveloka untuk pengembaraan India versi anda yang tersendiri!
Ditulis oleh: Amirul Halim