0

Mas Bellboy

22 Sep 2023 - 7 min read

Panduan Pasar Malam di Cameron Highland

Mempunyai landskap yang menakjubkan, udara yang segara di samping iklim yang sejuk sepanjang tahun, Cameron Highland adalah merupakan salah satu destinasi percutian yang menjadi pilihan pelancong tempatan mahupun luar negara apabila datang ke Malaysia.

Bukan itu sahaja, di Cameron Highland ini juga terdapat pelbagai tarikan menarik yang menjadikannya lokasi tumpuan terutamanya pada waktu hujung minggu ataupun cuti umum. Bahkan pada hari biasa pun, kawasan sekitar Cameron Highland ini selalu sesak disebabkan oleh kunjungan orang luar.

Salah satu lokasi tarikan di sini yang wajib ada dalam ‘bucket list’ anda ialah berkunjung dan menikmati waktu malam di Pasar Malam Cameron Highland.

Pasar Malam Cameron Highland - Lokasi & Waktu Operasi

Pasar Malam Cameron Highland atau dikenali sebagai Pasar Malam Brincang/Golden Hills adalah merupakan satu-satunya pasar malam di kawasan peranginan ini.

Pasar malam ini sememangnya cukup terkenal dan rata-rata pelancong yang datang ke Cameron Highland pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke sini bagi mengisi ruang aktiviti malam mereka di Cameron Highland.

Untuk pengetahuan anda, lokasi pasar malam ini ialah berhadapan dengan Golden Hills Apartment. Ia betul-betul terletak di hadapan apartment ini, jadi memang mudah sangat untuk anda temui.

Pasar malam ini beroperasi pada setiap hari Jumaat dan Sabtu malam, bermula dari pukul 5 petang sehingga pukul 11 malam.

Walaubagaimanapun, lebih kurang pukul 3 petang macam tu pengunjung sudah mula memenuhi kawasan pasar malam tersebut. Terdapat juga penjual yang sudah bersiap sedia dengan jualan mereka.

Susun atur pasar malam ini agak teratur, jadi ia memudahkan pengunjung untuk mencari apa yang diinginkan.

Sedikit panduan ringkas buat yang kali pertama ke pasar malam ini, gerai-gerai yang berada di sebelah kawasan berdekatan flat polis kebanyakannya adalah gerai yang menjual buahan, sayuran, pokok bunga dan pasu serta gerai-gerai cenderahati.

Manakala, di kawasan berlawanannya pula ialah kawasan gerai-gerai menjual beraneka jenis makanan dan minuman yang menggiurkan.

Alamat: 12, Jalan Golden Hills 1, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang.

Waktu Operasi: 4PM -11PM (Jumaat & Sabtu)

Bagaimana Pula Dengan Tempat Parkir?

Daripada dulu sehinggalah sekarang, setiap kali pasar malam ini dibuka, ia pasti menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku. Lebih-lebih lagi apabila semakin banyak gerai dibuka dan pasar malam ini semakin menjadi tumpuan berbanding sebelumnya.

Untuk makluman anda, terdapat sebuah kawasan tempat letak kereta disediakan khusus untuk pengunjung. Kawasan tempat letak tersebut terletak lebih kurang 5 minit berjalan kaki ke kawasan pasar malam ini.

Biasanya terdapat polis bantuan yang akan menjaga lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan. Bayaran untuk letak kereta di kawasan tersebut hanyalah RM2 sahaja.

Pilihan Makanan

Tidak dinafikan lagi, pasar malam ini menawarkan pelbagai pilihan makanan tidak kiralah makanan berat, snek ringan, pemanis mulut mahupun sayuran dan buah-buahan segar. Tidak hairan lah ia menjadi salah satu tempat menarik di Cameron Highland yang sentiasa sesak dengan orang ramai.

Anda sangat disyorkan untuk datang lawal bagi mengelakkan kesesakan kerana semakin ramai pengunjung akan tiba sepanjang malam. Lagipun, pilihan makanan lebih banyak apabila anda datang awal.

Sekiranya anda tertanya-tanya pilihan makanan yang wajib dicuba di pasar malam ini, anda boleh rujuk senarai berikut:

1. Apam Balik

Apam balik adalah salah satu makanan tempatan yang sering menjadi pilihan pengunjung apabila datang ke pasar malam termasuklah pasar malam Golden Hills ini. Kalau pergi pasar malam mana-mana sekalipun, memang tak sah kalau tak beli apam balik.

Secara ringkasnya, apam balik adalah sejenis hidangan santai seperti lempeng (pancake) yang diisi dengan pelbagai jenis bahan untuk menambahkan lagi kesedapannya. Antara isian yang sering digunakan ialah jagung manis, kacang tanah, pisang, coklat, susu, keju dan lain-lain.

2. Makanan Laut Goreng

Makanan laut yang digoreng rangup juga merupakan menu yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung. Jadi, anda juga mesti mencubanya.

Antara pilihan makanan laut yang dijual ialah udang goreng, ketam goreng dan sotong goreng. Memang sesuai untuk dimakan sambil berjalan-jalan di kawasan sekitar pasar malam ini. Krup krap krup krap bunyinya!

3. Char Kway Teow

Walaupun di restoran biasa ada menjual menu makanan ini, namun rasanya tak sama apabila anda beli di pasar malam. Apalagi bila makan panas-panas terus sebaik sahaja penjualnya meletakkan di dalam bekas daripada kuali besarnya.

Untuk yang belum tahu, Char Kway Teow adalah sejenis makanan seperti mee goreng tetapi menggunakan mee yang lebar dan tipis. Biasanya ia dimasak bersama udang, taugeh, telur, sosej dan sebagainya.

Anda boleh beli lauk lain seperti nugget, bebola ayam/daging dan sebagainya untuk dimakan bersama Char Kway Teow ini.

4. Strawberi Celup Coklat

Tidak sahlah kunjungan anda ke pasar malam Cameron Highland sekiranya anda tidak mencuba strawberi celup coklat. Dengan kesegaran buah strawberi ditambah lagi dengan kemanisan coklat, memang padu rasanya.

Sebaiknya anda habiskannya sejurus membeli. Hal ini kerana, sekiranya anda simpan untuk dimakan di tempat penginapan, biasanya strawberi sudah lembik dan tidak sesedap yang anda jangkakan.

5. Jagung Manis

Di pasar malam Golden Hills, jagung manis adalah antara menu top yang dicari-cari oleh pengunjung. Anda boleh pilih nak jagung manis rebus ataupun bakar.

Seperti namanya, jagung ini mempunyai isi yang manis dan warna yang agak kuning pucat. Jagung yang dijual ini adalah hasil tanaman penduduk tempatan. Jadi, kesegarannya dan kualitinya memang terbaik!

6. Keledek

Selain jagung manis. anda juga wajih mencuba hidangan yang diperbuat daripada keledek seperti bebola keledek, keledek rebus dan keledek bakar.

Dengan suasana malam yang agak sejuk, memang seronok sangat dapat makan yang panas-panas ni. Ubi keledek yang dijual di pasar malam ini juga adalah merupakan hasil tanaman penduduk tempatan.

7. Roti Canai

Roti canai biasanya menjadi hidangan sarapan pagi untuk rakyat Malaysia. Namun, jangan hairan ia juga ada dijual di pasar malam Golden Hills ini. Hal ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai roti canai di malam hari terutamanya buat pelancong asing yang tidak berkesempatan untuk mencubanya lagi pada pagi hari.

Untuk menambahkan lagi kelazatannya, roti canai dimakan dengan cicahan kuah kari atau dhal. Walaupun hidangan ini nampak ringkas, tetapi rasanya memang sedap. Paling penting, mengenyangkan dan harganya pun murah.

8. Kelapa Laut Segar

Kelapa Laut Segar juga salah satu makanan unik yang dijual di pasar malam Golden Hills ini. Ia adalah sejenis buah daripada pokok palma. Air kelapa laut ini boleh diminum dan isinya dimakan begitu sahaja. Rasanya seperti buah kelapa yang biasa dan sangat menyegarkan!

9. Aiskrim Asap

Pernah cuba tak makan aiskrim asap? Sekiranya belum, anda boleh mencubanya di pasar malam ini. Aiskrim ini diperbuat dengan campuran nitrogen cair yang membolehkan asap keluar daripada mulut anda apabila memakannya.

Di pasar malam ini, aiskrim asap memang menjadi target kanak-kanak dan anak muda. Ramai yang sanggup beratur untuk mendapatkannya.

Pakaian & Cenderahati

Setelah puas memborong makanan, anda boleh teruskan lagi trip pasar malam anda dengan membeli-belah pakaian atau cenderahati.

Di pasar malam ini, terdapat gerai-gerai yang menjual pakaian atau barangan bertemakan Cameron Highland. Memang sesuai sangat untuk dijadikan kenangan diri sendiri ataupun dijadikan ole-ole untuk rakan-rakan mahupun ahli keluarga yang belum berkesempatan berkunjung ke sini.

Tambahan lagi, di pasar malam ini juga terdapat gerai-gerai khusus yang menjual barangan cenderahati seperti penggantung kunci, magnet peti sejuk, hiasan rumah dan pelbagai lagi.

Barangan lain seperti topi, patung, beg, permainan kanak-kanak dan seumpamanya juga turut ada dijual di sini.

Kemudahan Disediakan

Dari segi kemudahan pula, pasar malam ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung. Saban tahun, kemudahan-kemudahan ini dinaik taraf untuk memastikan ia memenuhi keperluan pengunjung.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, disebabkan kawasan sekitar pasar malam ini selalu dipenuhi oleh pengunjung sehingga menyebabkan kesesakan, sebuah kawasan letak kereta telah dibuka. Namun begitu, adakalanya kawasan meletak kereta ini juga penuh. Oleh itu, pastikan anda datang awal agar dapat meletak kereta di kawasan yang disediakan dengan baik.

Selain itu, kemudahan penting yang ada di pasar malam ini ialah tandas. Jadi anda tidak perlu risau untuk makan atau minum sepuasnya. Anda boleh temui tandas dengan mudah apabila berjalan di sekitar pasar malam ini.

Sekiranya anda datang awal dan tidak sempat menunaikan solat asar atau maghrib di tempat penginapan, usah risau. Di kawasan berdekatan pasar malam ini juga terdapat sebuah surau yang boleh anda gunakan untuk menunaikan solat.

Bagi memudahkan lagi pengunjung yang datang untuk menikmati makanan dan minuman di sini, terdapat kawasan yang menyediakan meja dan juga tempat duduk disediakan. Bolehlah pengunjung merehatkan kaki sebentar sambil menikmati makanan/minuman yang dibeli dengan santai.

Bukan itu sahaja, pasar malam ini juga mempunyai pencahayaan yang baik. Kebanyakan gerai menggunakan lampu yang dapat menerangi kawasan sekitar pasar malam ini termasuk bahagian pengunjung berjalan kaki.

Manakala sekiranya anda bercadang untuk mencari tempat penginapan yang berdekatan dengan pasar malam ini, anda boleh tempah hotel dengan harga yang berpatutan melalui laman web Traveloka seperti Cameron Golden Hills Resort, Hotel Lena @ Golden Hills, Cameron Homestay dan beberapa pilihan lagi.

Tips Semasa Berkunjung ke Pasar Malam Cameron Highland

Berikut ialah beberapa tips penting untuk anda yang ingin berkunjung ke pasar malam ini agar anda dapat merasai pengalaman yang terbaik.

Tips yang pertama dan terpenting adalah, sila lah datang awal. Lebih-lebih lagi apabila anda menginap agak jauh daripada pasar malam ini. Hal ini kerana anda mungkin akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang panjang menuju ke kawasan pasar malam ini.

Anda disarankan untuk datang atau bertolak daripada penginapan anda sebelum pukul 6 petang. Kebiasaannya pengunjung akan mulai ramai dan sesak pada pukul 6 ke atas.

Tips kedua ialah pemilihan pakaian. Pilih pakaian yang selesa dan sesuai. Perlu diingatkan, suasana di pasar malam ini agak sejuk lebih-lebih lagi apabila malam semakin pekat. Selain itu, anda boleh memakai selipar atau kasut yang sesuai. Elakkan sama sekali memakai kasut tinggi bagi perempuan. Percayalah, kaki anda akan lenguh walaupun memakai kasut yang rata apatah lagi bertumit tinggi!

Seterusnya, elakkan membawa barang berharga. Apabila berjalan di pasar malam, anda pasti boleh bayangkan betapa sesaknya ia dengan orang ramai yang berselisih bahu dengan anda.

Untuk memastikan keselamatan barangan anda, elakkan membawa barang yang berharga. Anda disarankan untuk membawa beg yang boleh diletakkan di bahagian hadapan serta mempunyai zip.

Satu lagi, penjual-penjual makanan yang ada di pasar malam ini terdiri daripada berbilang bangsa, kaum dan juga agama. Sekiranya anda seorang muslim, pastikan anda membeli makanan daripada penjual yang muslim bagi memastikan makanan yang dibeli benar-benar halal.

Jangan terpedaya dengan imej penjual mahupun jenis makanan/minuman yang dijual. Rajinkanlah bertanya dan memerhati.

Kesimpulan

Jadikan kunjungan anda ke pasar malam yang popular ini untuk memenuhi aktiviti malam di Cameron Highland anda. Ia pasti menjadi pengalaman yang tidak terlupakan sepanjang percutian anda di Cameron Highlands!

Jika anda ingin membuat tempahan penginapan, tiket penerbangan, dan aktiviti perjalanan, anda boleh mendapatkan harga terbaik dari Traveloka.

Teroka lagi idea-idea perjalanan yang lebih menginspirasi:

Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka. All rights reserved