Terengganu, Malaysia adalah merupakan sebuah negeri yang terkenal sebagai destinasi pelancongan di Malaysia. Memandangkan negeri ini terletak di sepanjang pantai Laut China Selatan, maka tidak hairanlah ia mempunyai pulau dan pantai yang indah.
Bukan itu sahaja, negeri ini juga memiliki kekayaan hutan hijau, warisan budaya, reka bentuk bangunan yang mengagumkan serta aneka makanan khas negeri yang wajib dicuba. Makanan laut di negeri ini juga murah-murah dan segar.
Terdapat pelbagai tempat menarik yang menjadi tarikan pelancong tempatan mahupun luar negara di negeri ini. Dari kawasan kampung, pantai, pulau sehinggalah masjid-masjidnya.
Sekiranya ini kali pertama anda bercadang untuk melancong ke Terengganu, anda boleh rujuk senarai lokasi menarik yang dikongsikan di bawah untuk menjadikan percutian anda di Terengganu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Berikut adalah beberapa destinasi dan tarikan yang popular di Terengganu:
Pantai yang popular ini adalah tempat yang ideal untuk anda merehatkan diri dan menikmati keindahan suasananya yang mendamaikan. Pantai ini menghadap ke arah Pulau Perhentian. Pasir putih dan air lautnya yang jernih menjadi tarikan utama pelancong mahupun penduduk tempatan untuk berkunjung ke sini.
Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat banyak aktiviti yang anda boleh lakukan bersama keluarga atau rakan-rakan. Contohnya seperti, berkelah, bermandi-manda, berkhemah, menaiki basikal elek (disewa), bermain layang-layang dan mengambil gambar berlatarbelakangkan keindahan pantai.
Selain itu, anda juga menikmati aneka jenis makanan yang dijual di sekitar pantai ini seperti makanan laut goreng, air kelapa, keropok lekor, dan sebagainya.
Dari segi kemudahan pula, pihak pengurusan yang menjaga pantai ini sememangnya layak dipuji. Terdapat kawasan meletak kereta yang luas, kawasan rehat, kemudahan rekreasi untuk kanak-kanak dan paling penting, tandas yang bersih dan selesa.
Waktu terbaik untuk pergi ke pantai ini adalah dalam pukul 5 sehingga 7 petang. Cuaca pun tidaklah panas sangat dan air laut tenang, sesuai untuk bermandi-manda.
Seperti yang dinyatakan di atas, Pulau Perhentian terletak hanya berhadapan dengan Pantai Air Tawar. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pulau ini setelah balik daripada Pantai Air Tawar, ataupun sebaliknya.
Untuk pengetahuan anda, Pulau Perhentian sebenarnya terdiri daripada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan juga Pulau Perhentian Kecil. Kedua-dua pulau ini mempunyai daya tarikan masing-masing dan pernah disenaraikan sebagai salah sebuah pulau yang terindah di dunia oleh CNN.
Perbezaannya ialah Pulau Perhentian Besar menawarkan suasana yang lebih privasi. Sekiranya anda ingin berehat dan inginkan suasana yang sepi tenang, anda boleh pilih untuk berkunjung ke sini.
Manakala Pulau Perhentian Kecil pula lebih meriah dengan pengunjung terutamanya di bahagian kawasan Pantai Panjang. Hal ini mungkin disebabkan oleh penginapan di Pulau Perhentian Kecil menawarkan harga yang lebih mesra poket untuk pengunjung yang mempunyai bajet terhad contohnya seperti Mimpi Perhentian, Bubu Resort, Alunan Resort dan beberapa lagi.
Kedua-dua pulau yang indah in juga merupakan destinasi popular untuk aktiviti snorkeling dan menyelam bagi melihat kepelbagaian hidupan marin serta terumbu karang. Anda memang wajib berkunjung ke sini apabila bercuti di Terengganu!
Muzium Negeri Terengganu yang terletak di daerah Kuala Terengganu ini adalah merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara. Ia dibuka pada hari Sabtu sehingga Khamis, bermula pukul 9 pagi - 5 petang.
Muzium yang mempunyai latar belakang dan tema yang unik ini adalah pilihan lokasi terbaik untuk anda mempelajari mengenai sejarah Negeri Terengganu dan juga kesenian & budaya tempatan. Terdapat 9 jenis galeri dan bilik pameran yang anda boleh lawati di dalam muzium ini. Anda boleh habiskan masa 1 jam lebih melawat satu persatu bahagian muzium ini.
Selain itu, rekaan seni bina muzium ini juga menjadi tarikan ramai pengunjung. Bangunan muzium ini mempunyai seni bina seperti istana pada zaman dulu dan seluruh bahagian muzium dinaikkan di atas tiang konkrit di atas taman landskap dan kolam. Terdapat juga ukiran halus pada dinding konkritnya. Menarik sangat!
Tasik Kenyir adalah salah satu destinasi popular untuk aktiviti memancing, berperahu dan sukan air. Biasanya kaki pancing akan menyewa rumah bot untuk ke lokasi lubuk ikan dan bermalam di dalam rumah bot tersebut.
Tasik Kenyir juga merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Ia terbina secara langsung hasil daripada pembinaan Empangan Kenyir. Hasil pembinaan empangan ini turut menghasilkan ratusan buah pulau kecil yang menarik untuk diterokai. Kedudukan tasik ini cukup menarik, ia bersempadankan 3 buah negeri pantai timur yang lain iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang anda boleh lakukan disini, antaranya ialah melawat pulau-pulau di sekitar, melawat santuari gajah, memerhati burung liar, meneroka gua dan bermandi manda di kawasan air terjun terdekat. Antara air terjun terdekat ialah Air Terjun Petuang, Air Terjun Leban, Air Terjun Saok dan sebagainya.
Jika anda berminat dengan rekreasi air, inilah tempatnya. Bermacam-macam aktiviti yang boleh dilakukan disini bersama keluarga dan juga rakan-rakan dengan penuh keseronokan.
Masjid Sultan Zainal Abidin juga dikenali sebagai Masjid Abidin atau Masjid Putih. Nama masjid ini adalah sempena nama Sultan Zainal Abidin II yang membina masjid ini pada tahun 1793.
Masjid ini merupakan salah satu masjid tertua di Terengganu dan terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Seni bina masjid ini adalah gabungan halus seni bina tradisional Terengganu, ditambah dengan seni bina Islam dan Kolonial.
Ia menjadi salah satu tumpuan pelancong yang utama di Terengganu dan dibuka bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari. Semua pengunjung tanpa mengira agama boleh berkunjung ke sini. Anda harus mematuhi peraturan masjid sebelum masuk terutamanya dari segi kod etika pemakaian.
Pada asalnya, masjid ini dibina dengan menggunakan kayu sahaja sebelum diubahsuai dengan binaan simen yang lebih kukuh pada tahun 1852. Masjid yang berusia lebih 200 tahun boleh memuatkan kira-kira 2,500 orang dalam satu sesi solat.
Di sekitar masjid ini mempunyai banyak penginapan berhampiran yang murah seperti Duyong Marina Resort.
Masjid yang cukup ikonik ini menjadi tarikan pengunjung untuk datang ke Terengganu. Ia dibuka setiap hari bermula 9 pagi sehingga 5 petang. Pengunjung boleh datang melawat di dalam masjid dan bersiar-siar di sekitarnya. Terdapat juga kemudahan bas disediakan dari Kuala Terengganu ke Taman Tamadun Islam, iaitu lokasi masjid ini terletak.
Keunikan masjid ini ialah, ia diperbuat sepenuhnya daripada besi, kaca dan kristal. Reka bentuknya yang cukup unik dan menarik menjadikannya antara masjid yang popular di seluruh negara.
Keindahan masjid ini semakin terserlah apabila bayangannya terpantul di permukaan Sungai Terengganu yang terletak bersebelahan masjid ini. Di tambah lagi apabila empat menara masjid ini memancarkan rona keemasan pada waktu siang. Apabila waktu malam hari, masjid ini seolah-olah terlihat seperti terapung di atas air kesan daripada pencahayaannya. Sangat memukau!
Sekiranya anda bercadang untuk melawat masjid ini, terdapat beberapa hotel bajet yang terletak berdekatan dengan masjid ini dan beberapa kawasan tarikan yang lain. Antaranya ialah Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu. Dengan harga bermula serendah RM160 semalam, anda boleh menginap dengan selesa dan pergi ke tempat tarikan di sekitar Terengganu dengan mudah.
Taman Tamadun Islam ialah sebuah taman yang menampilkan kegemilangan tamadun Islam sebagai temanya. Taman ini membawa konsep “Edutainment Park”. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu Zon A dan Zon B.
Zon A adalah bahagian yangi menawarkan banyak tarikan Islamik, termasuk Masjid Kristal. Masuk adalah percuma. Manakala, zon B pula menempatkan model miniatur bangunan-bangunan Islam yang terkenal di dunia seperti Masjidil Haram Mekah, Taj Mahal India, Istana Alhambra, Kota Lama Islam Aleppo, Kubah As Sakhrah dan macam-macam lagi. Bahagian ini memerlukan bayaran untuk masuk.
Selain menikmati pemandangan indah monumen, bersiar-siar, mengambil gambar, menjamu selera dan menikmati keindahan Masjid Kristal, pengunjung juga dapat mempelajari sesuatu mengenai kegemilangan Islam.
Sekiranya anda berminat mengenai budaya dan sejarah Muslim, ia adalah tempat yang ideal untuk anda lawati. Taman Tamadun Islam ini dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 10 pagi - 6 petang, dan pada hari Jumaat hingga Ahad, bermula pukul 9 pagi - 7 petang.
Chinatown adalah sebuah bandar kecil yang bersejarah dan menjadi tarikan terutamanya untuk pelancong yang ingin berminat mengenai sesuatu budaya. Terdapat beberapa restoran Cina, kedai dan kuil terletak di kawasan bandar ini. Bandar kecil ini wajib anda kunjungi apabila bercuti di Terengganu untuk merasai budaya Cina di negeri ini.
Menurut penduduk tempatan, Chinatown ini diasaskan oleh peniaga Cina dan ia merupakan salah satu penempatan Cina tertua di Malaysia. Memandangkan Chinatown terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Terengganu, ia sangat mudah untuk diakses. Setiap sudut bandar ini meriah dengan warna-warni dan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus.
Di sini, terdapat beberapa bangunan warisan yang bersejarah, kuil, seni jalanan, dan juga pelbagai pilihan makanan yang lazat. Anda juga boleh melihat rumah-rumah klasik orang Cina dan bangunan sederet dengan ciri khas tradisional China. Ia sememangnya lokasi yang disukai oleh para jurugambar untuk diabadikan di kamera mereka.
Banyak lagi sebenarnya destinasi menarik yang ada di Terengganu untuk anda lawati selain daripada senarai di atas. Anda boleh buat carian mengenainya di internet untuk panduan anda. Apa-apa pun, semoga senarai di atas memberi anda idea tempat menarik untuk dikunjungi apabila bercuti di negeri indah ini.
Anda boleh rancang perjalanan percutian anda berdasarkan lokasi tempat menarik tersebut untuk memudahkan pergerakan anda. Jangan lupa pastikan anda mengambil perhatian waktu beroperasi setiap lokasi tersebut bagi mengelakkan percutian anda terganggu.
Semoga bermanfaat!