Pernah teringin untuk tidur dalam istana seperti dalam filem Beauty and The Beast? Atau merasai pengalaman tidur dalam hotel ais, akuarium, tidur di atas katil tanpa bumbung dan hanya berdindingkan alam semula jadi serta banyak lagi pengalaman yang anda boleh rasai sendiri.
Semua ini tidak mustahil! Jom lihat 6 penginapan unik yang patut anda cuba!
Sumber: langleycastle.com
Istana yang wujud sejak kurun ke-14 ini telah diubah menjadi sebuah hotel yang cantik. Hiasan dalamannya bercirikan Zaman Pertengahan yang sungguh klasik seperti kembali ke masa lampau. Terletak di kawasan hutan Northumberland yang aman, anda boleh sampai ke sana dengan memandu selama 35 minit dari Newcastle. Harga penginapannya kira-kira RM450 semalam.
Suasana sekitar hotel sungguh aman dan kadangkala kesunyian itu hanya diganggu dengan bunyi burung merak; tetamu tetap di situ. Banyak aktiviti yang anda boleh lakukan, yang tiada cuma spa! Jika berpeluang, sebelum menginap di sini jangan lupa sewa baju ala kisah dalam novel Jane Austen. Bolehlah anda berangan seperti Beauty and The Beast nanti sambil mengambil gambar untuk Instagram anda!
Butiran lanjut: http://www.langleycastle.com/
Sumber: bubblesiceland
Ramai pengembara mahu ke Iceland untuk menyaksikan sendiri fenomenaAurora. Tapi tarikan popular lain diIceland ialah pengalaman tidur dalam gelembung jernih. Terletak tidak jauh dari bandar Reykjavik, anda perlu membuat tempahan secara atas talian dan lokasi sebenar akan diberitahu selepas itu. Harga semalam dari kira-kira RM400.
Penginapan ini juga menyediakan rumah berasingan dengan kemudahan bilik mandi, tandas dan dapur. Jika mahu menikmati kolam air panas pada musim sejuk, berdekatan lokasi ini terdapat kolam renang awam dan juga kolam air panas. Sangat berbaloi untuk mandi di sini kerana ia merupakan yang tertua di Iceland!
Lebih menarik lagi, penginapan ini berdekatan dengan ladang kuda. Kebanyakkan kuda di Iceland ialah kuda jenis Viking dan hanya boleh didapati di sini. Kalau mahu lihat Aurora, datang ke Iceland bermula dari bulan Ogos sehingga bulan April. Tarikan lain ialah midnight sun, muncul hanya ketika musim panas pada bulan Julai!
Anda tidak perlukan visa untuk ke Iceland. Ada banyak cara untuk ke Iceland antaranya transit di London kemudian menaiki kapal terbang kos rendah atau transit di Denmark atau Norway. Anda boleh periksa tambang penerbangan yang murah di Traveloka.
Butiran lanjut: https://www.buubble.com/
Sumber: Shutterstock.com
Sweden merupakan antara negara Scandinivia yang sememangnya terkenal dengan musim sejuk yang melampau dan salji tebal. Ini membolehkan hotel unik seperti hotel ais dibina di Sweden. Merupakan hotel pertama yang dibina menggunakan salji dan ais, IceHotel wujud pada tahun 1989 dan ia dibina setiap kali musim sejuk di Jukkasjärvi, sebuah perkampungan yang terletak di bulatan Artik.
Berita baik bermula dari pertengahan bulan November 2016, hotel ini memperkenalkan IceHotel 365, iaitu sebuah struktur hotel ais yang tetap dan boleh dilawati sepanjang tahun tanpa tak kira musim. Ia dilengkapi dengan sauna, bilik tidur mewah yang berkonsepkan seni, bar dan semuanya diukir oleh artis yang dilantik khas pihak hotel.
Cubalah menginap di sini jika anda mahukan cabaran dan tahan sejuk!
Butiran lanjut: http://www.icehotel.com/
Sumber: Shutterstock.com
Terletak di Atlanta, Amerika Syarikat, Aquarium Georgia merupakan akuarium kedua terbesar di dunia. Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa turut dibenarkan untuk merasai pengalaman bermalam di akuarium.
Akuarium ini menempatkan kira-kira 100,000 spesis hidupan laut. Malah pengunjung yang datang boleh memilih pakej dengan persembahan jazz, lawatan di sebalik takbir, dan banyak lagi! Cuma RM300 semalam, pengalaman unik seperti ini agak sukar untuk anda alami di tempat lain. Pengunjung yang ingin cuba tidur di sini dibenarkan paling lewat bangun jam 10 pagi kerana selepas itu ia dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Butiran lanjut: http://www.georgiaaquarium.org/
Sumber: Shutterstock.com
Hotel tanpa dinding dan berbumbungkan langit ini baru sahaja dibina pada bulan Julai yang lalu oleh beberapa orang artis kontemporari. Terletak di Safiental, Switzerland, tentunya pengalaman sebegini sungguh berbaloi. Walaupun tanpa dinding seolah-olah tidak banyak kos diperlukan untuk penginapan di sini, tapi harganya mencecah kira-kira RM1000 semalam.
Butiran lanjut: http://www.null-stern-hotel.ch/
Sumber: timecapsuleretreat.com
Tidur dalam paip pembentung? Dengar macam kurang selesa tapi sebenarnya bersih dan mempunyai pemandangan indah. Penginapan di Sungai Lembing, Pahang (akhirnya destinasi paling dekat dengan hati dan poket anda) ini terdiri daripada beberapa jenis penginapan termasuk yang diperbuat daripada paip pembentung. Setiap bilik kapsul memiliki katil bersaiz queen, penghawa dingin dan kemudahan lain. Sesuai bagi anda yang sukakan suasana hutan dan aktiviti lasak. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah melawat kawasan Sungai Lembing yang penuh dengan sejarah, BBQ pada malam hari (perlu buat tempahan) dan yang paling utama jangan lupa singgah di Air Terjun Pelangi yang popular itu! Harga untuk menginap di sini ialah dari RM139.
Butiran lanjut: https://timecapsuleretreat.com/
---
Itu dia penginapan unik lagi menarik untuk anda! Mengembaralah, tidak kisah apa juga gaya kembara anda! Backpacking, mewah atau bajet semuanya tentu memberi pengalaman tersendiri buat anda.
Selamat mengembara!