Catatan perjalanan: Menuju Annapurna

Traveloka MY
16 Feb 2019 - 6 min read

Nepal sememangnya terkenal dengan pelancongan kembara yang menjadi tumpuan para pelancong di seluruh dunia disebabkan oleh kedudukannya yang terletak di kawasan pergunungan Himalaya. Selain menempatkan gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest (8,848 meter) yang menjadi salah satu puncak impian para pencinta sukan ekstrem, Nepal juga turut menyajikan banyak lagi spot pendakian yang menarik. Salah satu spot pendakian terkenal yang menjadi tumpuan utama para pelancong jika singgah di Nepal ialah Annapurna Base Camp.

Annapurna Base Camp atau lebih dikenali sebagai ABC dalam kalangan pelancong setinggi 4,130 meter itu terletak di kawasan pergunungan Himalaya dan dikelilingi oleh beberapa gunung lain yang terkenal di Nepal seperti Gunung ‘suci’ Machapuchare dan Gunung Annapurna I (gunung ke sepuluh tertinggi di dunia!).

Waktu terbaik untuk mendaki ke Annapurna Base Camp adalah sekitar bulan September hingga November (musim luruh) atau pada bulan Mac hingga Mei (musim bunga). Bagi mereka yang mahu ke ABC, setiap pelancong harus menempuh perjalanan selama 6 jam menaiki bas dari Kathmandu menuju ke Pokhara yang menawarkan pemandangan menakjubkan di sepanjang perjalanan. Jangan risau, untuk mereka yang mahu jimat masa juga terdapat cara lain! Terdapat penerbangan sehala dari Kathmandu ke Pokhara yang hanya memakan masa kurang dari 2 jam.

Sebelum meneruskan pendakian ke ABC, jangan lupa beli kelengkapan mendaki dulu di pekan Pokhara. Banyak kedai-kedai terutamanya di sekitar Lakeside Road yang menawarkan kelengkapan lengkap untuk mendaki dengan harga yang sangat berpatutan untuk para pelancong. Bagi yang mahir dalam tawar-menawar, inilah masanya untuk gunakan kepakaran anda! Jika bernasib baik, anda dapat membeli kelengkapan pendakian yang berjenama dan berkualiti tinggi dengan harga murah.

Pendakian bermula

Pendakian ke ABC yang memakan masa selama 7 hari itu dimulakan dengan perjalanan berliku-liku selama 3 jam menaiki kenderaan pacuan empat roda dari pekan Pokhara menuju ke Naya Pul, sebuah desa di kaki pergunungan. Dari situ, perjalanan kebanyakan pendaki dimulakan. Tiada lagi laluan kenderaan apabila anda melepasi kawasan kampung tersebut. Jangan lupa untuk memakai topeng muka kerana trek sepanjang pendakian sedikit berdebu terutamanya di kawasan kampung.

Bagi mereka yang pertama kali ke ABC, jangan risau untuk bermalam di kawasan pergunungan, kerana di setiap tempat rehat menyediakan beberapa guest house yang turut menawarkan pakej makan dan minum, air panas untuk mandi, wi-fi dan tempat untuk mengecas barang elektrik dengan harga yang berpatutan.

(Tip: Keluar daripada zon selesa anda dan jangan lupa beramah-mesra dengan para pendaki lain dan masyarakat tempatan apabila anda berehat di mana-mana guest house!)

Rancanglah perjalanan anda beberapa hari sebelum memulakan pendakian. Terdapat beberapa cara dan tempat persinggahan yang boleh anda pilih, semuanya berdasarkan itinerari yang anda rancang. Jangan lupa, setiap guest house mempunyai kemudahan yang berbeza di setiap tempat persinggahan. Pilihlah dengan bijak!

Peta pendakian Annapurna Base Camp

Tip-tipmendaki Annapurna Base Camp

1. Bawa peralatan mendaki yang lengkap

Jika anda mendaki pada musim sejuk, bawa jaket secukupnya. Suhu di base camp boleh menjadi sangat sejuk. Buat senarai peralatan yang perlu dibawa untuk mengelakkan sebarang masalah ketika mendaki. Jangan lupa bawa ubat-ubatan untuk sebarang kecemasan, beg tidur yang sesuai, tisu basah yang banyak dan juga sediakan wang kecil kerana di kawasan kampung terdapat kedai-kedai yang menjual makanan dan minuman, serta bagi membayar air panas untuk mandi atau wifi di guest house yang anda singgah untuk berehat.

Peralatan yang lengkap dapat menjamin keselamatan dan keselesaan ketika mendaki.

2. Bistari! Bistari! (Perlahan-lahan dalam bahasa Nepal)

"Bistari bistari!"Anda akan selalu mendengar perkataan ini (selain daripada Namaste) ketika mendaki yang membawa maksud perlahan-lahan. Jangan paksa diri untuk terlalu laju mengikut langkah orang lain. Juga jangan terlampau perlahan. Ikut keselesaan anda sendiri ketika mendaki. Selalu periksa pernafasan dan pastikan anda sentiasa dalam keadaan yang sihat dan stabil. Jika berasa pening atau mengalami sebarang masalah sekalipun, beritahu pemandu arah anda secepat yang mungkin. Nikmati pemandangan alam sekitar dan beri masa untuk diri anda berehat dalam beberapa minit.

Kanak-kanak tempatan berjalan kaki sejauh kira-kira 2 kilometer menuju ke sekolah yang terletak di Ghandruk ceria menyapa ketika pendakian kami.

Turut berpeluang menyaksikan masyarakat kampung meraikan festival budaya mereka ketika berhenti rehat di desa Chhomrong.

3. Sentiasa berjalan secara berkumpulan

Jika anda pergi secara berkumpulan, pastikan setiap ahli kumpulan berjalan secara berpasangan. Hal ini penting supaya tidak ada yang tertinggal di belakang mahupun sesat. Sentiasa beri semangat dan motivasi kepada setiap ahli kumpulan supaya masing-masing berasa selamat dan tak mudah putus asa semasa mendaki. 😊

4. Dengar muzik kegemaran 🎶

Salah satu tips lain adalah dengan mendengar muzik ketika mendaki. Ramai para pendaki membawa pembesar suara ketika melakukan pendakian. Anda juga boleh memakai alat pendengar jika takut mengganggu pendaki lain. Muat turun lagu kegemaran anda kerana tiada signal di kawasan pedalaman. Selain dapat mengelakkan diri daripada merasa bosan, mendengar muzik ketika mendaki juga dapat membantu mengurangkan rasa penat dan lelah. ✨

5. Pakai backpack yang sesuai dan selesa

Pastikan backpack anda ketika mendaki tidak terlalu berat atau besar. Bawa peralatan yang secukupnya dan pastikan peralatan yang tidak digunakan dibawa oleh porter ataupun lebih dikenali sebagai ‘sherpa’ di Nepal. Bawa air mineral dan makanan ringan seperti biskut, gula-gula atau coklat untuk anda makan ketika berhenti rehat. Elakkan juga mendaki dalam keadaan perut yang kosong.

6. Bawa ‘bekal’ dari Malaysia

Kebanyakan guest house terdapat kedai makan yang menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan. Antara yang terkenal adalah seperti mi ramen, nasi goreng sayur dan juga ‘Momo’, sejenis makanan tradisional masyarakat Nepal yang kelihatan seperti Dim Sum. Kebanyakan mereka disana vegetarian, jadi jangan risau atau was-was untuk makan. Rugi sudah datang beribu batu, tapi tak merasa makanan tempatan. Bawalah sambal goreng atau apa-apa snek kegemaran dari Malaysia untuk menambah selera ketika makan. Boleh juga kongsi bersama para pendaki lain dan masyarakat tempatan di sana. Oh ya, jika bernasib baik, anda dapat berjumpa dengan rakyat Nepal yang pandai berbahasa Melayu! Hal ini kerana mereka pernah bermastautin mencari rezeki di Malaysia untuk beberapa tahun sebelum kembali pulang ke sini.

Sarapan pagi sebelum menyambung pendakian di Chhomrong Guest House.

Di Annapurna Base Camp

Pendakian yang dilakukan pada pertengahan bulan Disember tahun 2018 yang lalu merekodkan suhu yang sangat rendah di base camp iaitu sekitar -18 darjah Celcius. Pakai tisu basah ketika mahu membersihkan diri kerana air di kawasan pergunungan sangat sejuk. Sentiasa berwaspada dengan tahap kesihatan diri lebih-lebih lagi jika anda tidak biasa berada dalam cuaca yang terlampau sejuk. Namun begitu, sentiasa ambil peluang untuk menikmati keindahan pemandangan di sekeliling sambil ditemani secawan teh panas. ☕

Masyarakat tempatan mengisi masa terluang bersama dengan bermain kad.

Dari kawasan base camp, anda dapat melihat dengan sangat jelas gunung-ganang yang mengelilingi kawasan guest house tersebut. Jangan lepaskan peluang untuk mengambil gambar wallpaper-worthy. Berjalan sedikit ke kawasan sanktuari yang menempatkan tugu peringatan para pendaki yang telah meninggal dunia ketika mendaki Gunung Annapurna. Sediakan juga power bank ekstra, kerana bateri peranti elektronik tidak akan bertahan lama di kawasan yang terlalu sejuk.

Jangan lupa abadikan kenangan di papan tanda terkenal ini setibanya anda di atas. (Kredit - @ihsansinsun)

Ekspedisi selama 8 hari mendaki Annapurna Base Camp sememangnya sangat sukar untuk dilupakan, ditambah lagi dengan pemandangan gunung-ganang dilitupi salji yang memukau mata, memaut hati. Pelbagai suka dan duka dihadapi sepanjang berada di sana terlalu berharga bagi saya. Ribuan tangga kaki melangkah, ratusan sapaan ‘namaste’ di sepanjang perjalanan dan dingin malam yang menusuk tulang-temulang sememangnya hal yang selalu mengukir senyum bila dikenang semula. Jadi, anda bila lagi? Cabar diri anda dan lihatlah betapa megahnya Annapurna dengan mata sendiri. Tempah penerbangan atau hotel ke Nepal dengan Traveloka dan kongsikan cerita anda pula dengan kami!

p/s: Traveloka dulu, baru panjat gunung! ⛰

Gambar-gambar yang dilampirkan adalah hak milik @amrlhlm kecuali dinyatakan.

Ditulis oleh: Amirul Halim

Hotel
Tiket Penerbangan
Things to Do
Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2025 Traveloka. All rights reserved