0

Traveloka MY

21 Jun 2019 - 8 min read

‘Food hunting’ di Hat Yai: Itinerari 2H1M dengan bajet serendah RM300

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

Dalam kepelbagaian tempat menarik di Thailand, kali ini kami akan menceritakan tentang salah satu lokasi food hunting kegemaran rakyat Malaysia iaitu Hat Yai, bandar di selatan Thailand yang terletak di sempadan Padang Besar, Perlis. Selain menarik kunjungan ramai pelancong Muslim dengan bermacam pilihan hidangan yang halal dan lazat, Hat Yai juga sesuai untuk mereka yang ingin menikmati percutian ringkas pada hujung minggu bersama keluarga atau rakan-rakan kerana jaraknya yang dekat.

Jika anda merupakan seorang pencinta makanan yang masih belum pernah mengunjungi Hat Yai, sila sedar bahawa ini adalah sebuah panggilan untuk anda, kerana anda boleh menikmati pengembaraan makanan yang memuaskan di Hat Yai dengan hanya membelanjakan RM300! Tak percaya? 🤔

Perjalanan yang kami cadangkan bagi itinerari ringkas selama 2 hari 1 malam ini bermula dari Kuala Lumpur. Trip Hat Yai yang akan diceritakan ini adalah paling bersesuaian untuk 4 orang dalam satu kumpulan, dan lebih seronok kalau anda semua memang suka makan. Ikuti artikel ini untuk itinerari lebih lanjut:

Hari pertama

7.00 pagi (waktu Malaysia):

Bertolak dari Stesen KTM KL Sentral ke Padang Besar. Perjalanan mengambil masa sekitar 5 jam 30 minit menaiki kereta api KTM ETS (EG9222).

12.45 tengah hari:

Tiba di Stesen KTM Padang Besar dan melalui laluan pejalan kaki untuk melepasi check point sempadan imigresen Malaysia dan kemudiannya Thailand. Pastikan anda mengisi Kad Ketibaan Thailand (berwarna putih biru) bagi pelepasan masuk. Dari sini, tempah minivan sebagai pengangkutan anda ke pusat bandar Hat Yai melalui agen-agen di tingkat atas atau pemandu yang menawarkan perkhidmatan ini semasa anda sedang beratur. Cuba nasib untuk menawar harga dengan mereka kerana ada yang mengenakan bayaran serendah RM10 seorang bagi perjalanan terus ke pusat bandar Hat Yai.

12.30 petang (waktu Thailand):

Selepas melepasi proses imigresen, teruskan perjalanan menaiki minivan ke pusat bandar Hat Yai dalam lebih kurang sejam. Biasanya, pemandu minivan akan menunggu sehingga urusan imigresen anda selesai.

1.30 petang:

Tiba di pusat bandar Hat Yai. Jika anda berasa lapar, boleh mencari kedai runcit sekitar kawasan hotel dulu untuk snek atau makanan ringan. Pergi 7-Eleven pun dah cukup kerana ada pelbagai makanan dan minuman berlabel halal.

2.00 petang:

Daftar masuk hotel. Kami cadangkan anda menginap di Hotel S.C. Heritage yang terletak di Suansiri Road, Hat Yai Central. Penginapan ini berbaloi dan selesa untuk bermalam sementara. Satu bilik boleh memuatkan dua orang dan harga bilik bermula dari RM46.77 semalam. Memang saving!

2.30 petang:

Mulakan pengembaraan gastronomi anda di Khlong Hae Floating Market, satu-satunya pasar terapung di Hat Yai yang terletak kira-kira 10 minit dari Hotel S.C. Heritage. Anda boleh menaiki tuktuk untuk ke sini. Di pasar ini, anda boleh mencuba pelbagai makanan tempatan Thai seperti Pad Thai, Luk Chup (snek kacang hijau berbentuk buah dan sayuran), Khai Nok Krata (telur puyuh goreng Thai), Khai Jiao (sejenis telur dadar berinti makanan laut dan sayuran), puding kelapa dan ais krim kelapa. Semuanya dengan harga yang sangat berpatutan! Hidangan lengkap (minuman + makanan + snek/pencuci mulut) boleh dinikmati di sini dengan bajet THB 100 seorang. Pasar ini hanya dibuka dari Jumaat hingga Ahad.

4.00 petang:

Alang-alang berada di sini, anda boleh meneroka salah satu tempat tarikan popular Hat Yai yang percuma. Bertolak ke Hat Yai Municipal Park yang berhampiran menaiki tuktuk dalam perjalanan 4.5km. Di taman yang indah ini, anda boleh bersiar-siar untuk meneroka kebudayaan dan keagamaan di Thailand, sambil bergambar berlatar belakangkan pemandangan yang cantik.

Kredit: Facebook The Funky Mango

6.00 petang:

Puas berjalan, mungkin anda dah mula lapar. Tetapi sabar dan simpan selera anda untuk malam hari! Selepas menghayati keindahan pemandangan Hat Yai, teruskan perjalanan ke kafe The Funky Mango, kira-kira 10 minit menaiki tuktuk dari Hat Yai Municipal Park. Perjalanan anda ke Thailand tidak lengkap tanpa menikmati pulut mangga. Kedai ini popular dengan menu berasaskan mangga dan di sini anda boleh mencuba pulut mangga premium berharga THB 79 atau aiskrim mangga homemade yang menyegarkan berharga THB 39.

Kredit: Facebook Greenway Market

7.00 petang:

Bertolak ke Greenway Night Market yang terletak 3km dari kafe tadi. Pasar malam ini merupakan antara yang terbaru di Hat Yai dan ia mempunyai dua bahagian — Greenway Night Market untuk anda membeli-belah barangan seperti pakaian, aksesori, kosmetik, atau cenderahati, dan Greenway Food Station iaitu medan selera terbesar di bandar ini. Terdapat lebih daripada 1,000 jenis menu daripada makanan tempatan Thai hinggalah hidangan antarabangsa dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Port makan malam? Settle!

Kredit: Facebook Asean Night Bazaar Hat Yai

8.30 malam:

Dah kenyang, jom bersenam. Jalan kaki selama 8 minit ke ASEAN Night Bazaar yang terletak 600m dari Greenway Night Market. Bazar malam yang popular ini merupakan tempat tarikan yang perlu dikunjungi sekiranya anda berada di Hat Yai. Di tingkat bawah terdapat banyak gerai menjual pakaian dan aksesori (ada yang kata di sini lebih murah harganya berbanding Greenway), manakala di tingkat atas anda boleh mencari banyak makanan halal yang tidak kurang hebatnya. Ramai juga peniaga yang boleh bercakap Bahasa Melayu di sini. Bazar ini tutup sekitar jam 10.30 malam setiap hari.

Mesti cuba: Bihun tomyam, pelbagai snek jalanan tempatan seperti cucuk-cucuk (pastikan kedai Muslim), penkek pisang, dan Thai milk tea. Sediakan bajet sekitar THB 100 seorang.

10.00 malam: Pulang ke hotel menaiki tuktuk. Rehat dan bersedia untuk hari esok.

Nota: Waktu Thailand lewat satu jam berbanding waktu Malaysia.

Hari kedua

Kredit: Facebook Dim Sum Chabura Hat Yai

7.00 pagi (waktu Thailand):

Sarapan di Chabura Dim Sum yang dibuka seawal 6 pagi setiap hari. Dari hotel, anda boleh menaiki tuktuk ke sini dalam perjalanan 3 km. Restoran ini menawarkan pelbagai jenis dim sum halal yang enak dan murah. Harganya bermula dari THB 15 bagi dim sum bersaiz kecil dan THB 20 untuk dim sum bersaiz besar. Jika ada ahli dalam kumpulan anda yang kurang menggemari dim sum, mereka masih boleh menikmati menu tempatan Thai yang lain seperti tomyam dan somtam di sini.

8.30 pagi:

Masa untuk membeli-belah! Naik tuktuk ke Kim Yong Market. Pasar yang terkenal ini menawarkan pelbagai pilihan pakaian, aksesori, dan cenderahati yang murah. Anda boleh membeli snek tempatan dengan harga serendah THB 50 sepaket, atau sehelai baju-T dengan harga THB 100 di sini.

10.00 pagi:

Dari Kim Yong Market, anda boleh berjalan kaki dalam 650 m (kira-kira 8 minit) untuk pulang ke Hotel S.C. Heritage yang terletak dekat dengan pasar ini. Selepas mengemas beg, anda boleh terus mendaftar keluar hotel.

Kredit: Facebook Sorat Puncharoen

10.30 pagi:

Akhiri pengembaraan makanan anda di Restoran Kai Tod Decha untuk menikmati brunch sebelum pulang. Ia sangat terkenal dengan hidangan pulut ayam goreng, nasi Khao Mok (briyani ala Thai) dan teh ais berbuih Thai yang menyelerakan. Dengan berbelanja kurang daripada THB150 seorang, kami yakin anda akan berpuas hati.

11.30 tengah hari:

Menuju ke Stesen Bas Hat Yai. Dari sini, ambil minivan untuk ke KTM Padang Besar dengan harga THB 50 seorang.

12.30 tengah hari:

Tiba di imigresen Thailand dan selesaikan urusan pasport sebelum meneruskan perjalanan menaiki van ke Stesen KTM Padang Besar. Pastikan anda deal dengan pemandu tersebut untuk menghantar anda betul-betul di stesen tersebut.

2.00 petang (waktu Malaysia):

Bye-bye Hat Yai! Tiba di Stesen KTM Padang Besar. Tunggu kereta api anda untuk pulang.

2.20 petang:

Pulang menaiki kereta api KTM ETS ke Kuala Lumpur (EP9203).

8.05 malam:

Tiba di Stesen KL Sentral.

Nota: Waktu Thailand lewat satu jam berbanding waktu Malaysia.

Jadual perbelanjaan

Nota: Ini adalah kos anggaran bagi seorang jika anda mengembara dalam 4 orang sekumpulan.

1.
Tiket pergi balik menaiki kereta api KTM ETS (KL Sentral - Padang Besar) = RM152
2.
Minivan Padang Besar ke Hat Yai = RM10
3.
Penginapan di Hotel S.C. Heritage (2 orang sebilik) = RM23.40
4.
Tuktuk (anggaran THB20 – 40 seorang bagi setiap perjalanan ke tempat yang dinyatakan di atas) = Sediakan THB 200 (RM26.80) sebagai wang pengangkutan keseluruhan dalam bandar.
5.
Minivan Hat Yai ke Padang Besar = THB50 (RM6.70)
6.
Makanan dan beli-belah = THB550 (RM73.60)
7.
Kad sim DTAC (jika perlu, boleh dibeli di mana-mana cawangan DTAC Center) = THB 40 (RM5.40) untuk pelan Internet sehari

Jumlah = RM297.90*

*Kos anggaran dikira pada waktu dengan nilai mata wang RM1 = THB 7.47

Nota tambahan

Tempahan awal perlu dibuat untuk tiket kereta api KTM ETS, lebih-lebih lagi pada musim kemuncak atau cuti sekolah.
Sediakan kad kredit atau wang ekstra sebagai deposit hotel.
Anda juga boleh menukar Ringgit Malaysia ke Thai Baht semasa tiba di Hat Yai kerana terdapat pengurup wang berlesen di sekitar stesen kereta api dan pusat bandar.
Kos pengangkutan berbeza mengikut jenis (tuktuk/bas/teksi/kereta api).
Selain minivan, anda juga mempunyai pilihan menaiki kereta api dari sempadan Padang Besar untuk ke bandar Hat Yai dalam masa sejam (Kos = THB 50 sehala). Tetapi jadualnya agak terhad dan anda perlu beratur panjang untuk membeli tiket.
Jika anda inginkan lebih penerokaan, anda boleh menaiki kereta kabel dalam Hat Yai Municipal Park untuk melawat Patung Brahma di Lord Brahma Complex dengan harga THB200 seorang bagi tiket pergi balik.
Kad sim ada dijual dalam kereta api dengan harga THB200. Kami cadangkan anda beli di mana-mana DTAC Center yang terdapat di sekitar pusat bandar Hat Yai. Jika anda tidak mahu membeli kad sim, pastikan simpan peta offline siap-siap.
Jika anda ingin membeli makanan jalanan tetapi kurang pasti dengan status halal makanan itu, jangan segan untuk bertanya dengan peniaga tersebut.
Selamatkan dunia sambil mengembara! Bawa set sudu garfu dan straw besi anda sendiri untuk makan dengan lebih selesa ataupun shopper bag jika anda ingin membeli-belah dengan mudah.
Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2024 Traveloka. All rights reserved