Ya, pada musim panas 3 tahun yang lepas, saya nekad untuk mencipta sejarah untuk diri sendiri di negara unik dengan budaya ini. Berada selama 2 bulan di sana untuk belajar Bahasa Turki di Universiti Istanbul dan yang lebih menarik lagi, merasai suasana Ramadan dan Syawal cukup memenuhi jiwa saya.
Waktu subuh di musim panas adalah pada jam 3.30 pagi. Jadi, perlu bersahur pada pukul 2.30 pagi!
Setiap pagi akan ada sekumpulan penduduk yang bergendang sambil menyanyi nasyid ataupun lagu puisi, mengelilingi kawasan-kawasan perumahan untuk mengejutkan orang bangun sahur dan solat Subuh. Tradisi ini dinamakan ‘mesaharati’ dan telah diamalkan sejak era pemerintahan Uthmaniyyah lagi.
Waktu siang di bulan Ramadan di Turki begitu berbeza berbanding di Malaysia. Walaupun 99% rakyatnya adalah Muslim, tetapi larangan makan minum di khalayak ramai tidak ada di sana. Semua restoran beroperasi dan penuh seperti biasa. Memang pelik! Masakan tidak, pergi ke pasar raya, selamba saja perempuan bertudung makan minum di restoran.
Sumber: Egyptian Studio / Shutterstock.com
Paling tidak dapat dilupakan, semasa saya dan rakan serumah pergi ke pasar Sabtu di Bakırköy. Ada gerai-gerai menjual makanan dibuka untuk pelanggan. Malah para peniaga juga tidak segan minum sambil memanggil pelanggan datang. Sehingga saya hampir terlupa yang ketika itu bulan Ramadan.
Namun, walaupun begitu ceritanya, ada satu perkara yang saya kagumi. Masjid sentiasa dipenuhi oleh jemaah lelaki dan perempuan pada waktu solat fardu terutama Zuhur dan Asar.
Di Turki, ada begitu banyak taman yang cantik. Daripada sekecil-kecil taman permainan di kawasan perumahan, sehinggalah taman-taman yang besar, antaranya di Dataran Sultanahmet, di sekitar Masjid Biru dan Hagia Sophia.
Waktu Maghrib di musim panas masuk pada jam 8.30 malam. Jam 7.00 malam, langit masih cerah dan ketika inilah orang ramai berpusu-pusu. Bukan ke pasar Ramadan, tetapi ke taman-taman yang ada untuk berbuka puasa bersama keluarga masing-masing.
Sumber: Orang ramai berbuka puasa di Masjid Eyup Sultan / Prometheus72
Hampir setiap hari dalam bulan Ramadan saya dapat melihat suasana meriah ini di Turki. Taman-taman dipenuhi keluarga, daripada datuk dan nenek sehinggalah ke cucu yang masih bayi, membentang kain saprah di atas rumput, dan membawa periuk nasi, pinggan mangkuk, malah cerek dua tingkat yang digunakan untuk membancuh çay - teh wajib orang Turki. Mereka akan makan ramai-ramai dan ada yang terus sahaja solat Maghrib di atas rumput, kemudian sambung makan dan berbual-bual sehinggalah masuk waktu Isyak dan tarawih.
Ada juga di beberapa lokasi, syarikat-syarikat besar dan orang-orang dermawan yang menganjurkan majlis berbuka puasa percuma setiap hari. Selain itu, boleh juga berbuka puasa percuma di masjid-masjid seperti di kebanyakan masjid di seluruh dunia.
Di Turki, saya dapat merasai pengalaman solat tarawih berjemaah paling pantas! Lapan rakaat solat tarawih dan tiga rakaat solat witir selesai dalam masa setengah jam sahaja. Malah kebanyakan mereka juga mengamalkan solat tarawih dengan empat rakaat satu salam. Imam membaca surah al-Fatihah, ada yang dalam dua nafas, malah ada yang dalam satu nafas! Ayat surah lazim juga dibaca pendek-pendek.
Umat Islam menunaikan sembahyang tarawih di Masjid Tunahan.
Apa yang menyebabkan solat tarawih dilaksanakan dengan begitu laju di Turki?
Waktu Isyak di musim panas, bermula hampir jam 10.00 malam. Sekiranya semua masjid mengamalkan bacaan panjang, berkemungkinan jam 12.00 tengah malam pun solat tarawih belum selesai. Sedangkan, orang perlu sahur jam 2.30 pagi, dan perlu pergi kerja seperti hari-hari biasa juga esoknya.
Jadi, untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang bersolat tarawih di masjid dan memudahkan urusan ramai orang, mereka memendekkan tempoh solat jemaah. Dan yang bagusnya, pihak pentadbiran Istanbul memanjangkan perkhidmatan tramvay (tram) sehingga jam 1.00 pagi sepanjang Ramadan bagi membolehkan rakyatnya pergi tarawih di mana-mana masjid yang mereka mahu.
Sumber: Dmitry Birin / Shutterstock.com
Kita mungkin hanya ada masa lima ke enam jam sahaja sehari untuk makan. Namun, ini tidaklah bermakna kita perlu makan sebanyak-banyaknya dalam tempoh itu.
Kelebihan berpuasa ialah kita terlindung daripada kelaparan yang biasa. Apabila kita berniat untuk puasa, automatik otak kita bersedia untuk mengurangkan isyarat lapar kepada perut. Ini berbeza jika kita tidak makan tanpa berpuasa.
Semasa di Istanbul, saya berpuasa selama 18 jam sehari. Ini amalan saya setiap hari sepanjang Ramadan:
Alhamdulillah, tubuh terasa segar dan bertenaga kerana makan karbohidrat dan minum air dengan cukup, walaupun dalam musim panas.
My Home Sultanahmet Hotel
Pierlotti Cad No:35 Su...
Lihat harga
Masjid Sultan Ahmed atau Masjid Biru, Istanbul.
1 Syawal di Istanbul, amatlah ringkas dan sederhana. Pada paginya, orang ramai pergi ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri. Kemudian, pulang ke rumah menikmati makanan dan teruskan hidup seperti biasa. Cuti umum cuma sehari.
Mereka juga tiada juadah istimewa hari raya seperti di Malaysia. Menu hari raya mereka, sama sahaja dengan hidangan hari-hari yang lain.
Hanya yang berbeza sedikit, adanya orang bermain gendang dan menyanyi dari rumah ke rumah untuk meminta duit raya. Orang dewasa ya, bukan kanak-kanak.
Cuma kami pelajar Malaysia sahaja yang berpakaian cantik-cantik, naik bas beramai-ramai untuk berkunjung ke rumah pegawai-pegawai Malaysia yang menganjurkan rumah terbuka.
Turkey’s Season: Best & Worst Time to Visit Turkey
Best time to visit Tur...
Lihat harga
Pengalaman ini menambahkan satu lagi perspektif baru buat saya. Walaupun amalan dan sambutan Ramadan serta Syawal begitu berbeza antara Malaysia dengan Turki malah negara lain juga, namun yang menjadikannya satu ialah objektif ibadah itu sendiri iaitu meningkatkan takwa kepada Allah, dan keistimewaan ganjaran yang hanya dapat diraih selama sebulan dalam setahun.
Thu, 22 May 2025
Qatar Airways
Kuala Lumpur (KUL) to Istanbul (SAW)
Harga bermula dari RM 1,172.11
Tue, 13 May 2025
flynas
Madinah (MED) to Istanbul (SAW)
Harga bermula dari RM 401.35
Mon, 26 May 2025
Pegasus Airlines
Kayseri (ASR) to Istanbul (SAW)
Harga bermula dari RM 111.88