Bukan mudah untuk menyukai bandar Jakarta. Ia sebuah bandar yang kelam-kabut, bercita-cita tinggi, pentingkan diri, tercemar dan bising. Malah golongan kaya mendapati begitu sukar untuk mengatasi masalah ini.
Di sini, semua orang mempunyai pelbagai jenis penderitaan. Anda boleh mendengar rungutan yang diungkapkan setiap saat sama ada melalui kata-kata makian atau bunyi hon yang sama agresifnya.
Namun, tiada sesiapa yang meninggalkan bandar ini.
Hakikatnya, ia menjadi semakin sesak. Hari ini, Greater Jakarta ialah rumah kepada lebih 30 juta orang, yang menjadikannya kawasan urban paling ramai penduduknya di Asia Tenggara dan merupakan yang kedua paling ramai di dunia, di bawah kedudukan Tokyo dan hampir sama dengan seluruh populasi di Malaysia.
Ibu negerinya padat dengan ‘pulau’ blok pejabat yang bercahaya, pusat membeli-belah yang diperbuat daripada marmar dan kondominum yang tinggi. Walau bagaimanapun, tatkala pencakar langit yang agresif ini menjulang tinggi dan dengan keyakinan sebagai isyarat kemakmuran negara, ia juga seakan-akan penghinaan yang melampau kepada golongan bawahan.
Ya, di sebalik kemodenan urbannya, kita masih boleh menemui pemandangan seperti lelaki tua yang memberikan perkhidmatan menjahit di atas basikalnya, atau terusan air yang dipenuhi antara pondok setinggan.
Namun, pergaulan antara golongan atasan dan bawahan ini yang membentuk paradoks metropolitan yang mempesonakan. Cara mereka membandingkan antara satu sama lain yang menjadikan bandar Jakarta sangat sukar untuk ditolak dan itulah yang menjadikannya tempat yang saya anggap sebagai sebuah rumah.
Tatkala amat mudah untuk tertarik dengan kecanggihan Jakarta yang sudah biasa diperkatakan, saya menjemput anda untuk melihat Jakarta daripada perspektif yang berbeza―untuk melihat lebih daripada sekadar golongan wanitanya yang ternyata menawan dan menghargai Jakarta untuk perkara yang sukar ditafsirkan, melalui lorongnya yang bersimpang-siur dan teriakan yang menarik perhatian daripada peniaga makanan jalanan.
Setelah lebih daripada 25 tahun saya hidup dengan perspektif yang bersilih ganti dalam fikiran, ini merupakan lima cara yang saya gemari untuk melihat Jakarta.
Rakyat Jakarta ialah orang yang tidak akan menerima jawapan ‘tidak’―walaupun jika ia datang daripada kerajaan (terutamanya jika ia datang daripada kerajaan!). Dengan kesungguhan dan kreativiti mereka, rakyat Jakarta mempunyai cara untuk mengubah jatuh bangun bandar itu menjadi suatu kebaikan. Jakarta ialah sebuah bandar yang mana undang-undang kerajaan dianggap sebagai peluang berbanding peraturan untuk dipatuhi.
Suatu ketika, kerajaan itu membuat peraturan yang setiap kereta mesti mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang penumpang dalam usahanya untuk mengurangkan kesesakan trafik. Namun, dalam masa beberapa hari, laluan pejalan kaki dipenuhi dengan penganggur yang menawarkan diri sebagai joki atau penumpang tambahan yang mengikut peraturan tiga-dalam-satu yang dikuat kuasakan.
Ataupun, jika anda tertanya-tanya tentang ruang yang aneh pada pembahagi jalan yang bersaiz sebesar tayar motosikal, ia dilakukan oleh penduduk tempatan supaya sesiapa yang “mengetahuinya” masih boleh melakukan pusingan-U pada bila-bila masa. Contoh-contoh daya cipta yang mudah inilah yang menonjolkan kreativiti rakyat Jakarta.
Di Jakarta, setiap inci ruang merupakan suatu peluang―dan saya maksudkan perkara ini secara agak literal. Prinsip asasnya ialah tiada tanah yang terbazir.
Tidak kiralah betapa kecilnya ruang itu, ia pasti berfaedah. Anda boleh menemui banyak warung, iaitu kedai runcit 1×2 yang digandakan menjadi tempat untuk tidur, atau restoran pop-up yang dibina daripada kain tarpaulin dan batang buluh di setiap laluan pejalan kaki di Jakarta. Kadang kala, peniaga hanya meletakkan barangan mereka di laluan pejalan kaki atau jambatan pejalan kaki dengan harapan untuk menarik perhatian orang yang lalu-lalang.
Bersiar-siarlah di sekitar Kota Tua dan anda akan menemui laluan pejalan kaki yang dipenuhi dengan peniaga sedemikian yang menyebabkan kesesakan kerana orang ramai berhenti dan membeli barang.
Sumber: GeorginaCaptures / Shutterstock.com
Peluang juga muncul apabila matahari terbenam antara pencakar langit yang bercahaya. Jalan yang kosong pada waktu siang boleh bertukar dengan ajaib menjadi pasar dengan beratus-ratus kedai pop-up pada waktu malam.
Pada waktu siang, kawasan Blok M Square mempunyai pusat membeli-belah yang biasa. Namun, apabila anda menjelajah kawasan itu pada waktu malam, ruang pintu masuknya bertukar menjadi pasar malam dan zon menurunkan penumpang kini dipenuhi dengan vendor makanan jalanan yang menawarkan semua jenis makanan daripada bubur nasi hinggalah kepada gudeg (hidangan Jawa tradisional yang diperbuat daripada buah nangka muda yang direbus dengan gula kabung dan santan).
Malah, koridor bas yang sempit pun boleh digunakan sebagai tempat konsert untuk ahli muzik jalanan.
Di Jakarta, anda boleh menemui kecantikan di kebanyakan tempat yang tidak disangka-sangka. Jika anda tahu bila, di mana, dan cara untuk melihatnya, anda akan terkejut apabila mengetahui bahawa bandar ini dipenuhi dengan khazanah tersembunyi.
Anda boleh memasuki jalan di belakang Pasar Baru yang rumit dan mencari hidangan mi yang terbaik di bandar, atau melintas jalan di bawah jejambat dan menemui sebuah masjid di sebelah bawah yang tersembunyi di sebalik pemandangan hijau yang mengelilinginya.
Anda rasa ingin menikmati kopi ais klasik yang paling halus? Anda tidak akan menemuinya di kafe hipster, sebaliknya anda akan menemuinya di kedai sederhana yang tersembunyi di lorong Glodok, yang hanya dikenali sebagai Kopi Es Tak Kie.
Ambil sedikit masa untuk menjelajah Pasar Mayestik, iaitu sebuah pusat membeli-belah di Jakarta Selatan, iaitu tempat anda boleh membeli hampir kesemua barangan daripada cenderamata perkahwinan hingga kepada ubat herba eksotik.
Pergi ke bahagian belakang pasar dan temui kedai Toko Maju. Walaupun kedai itu mungkin kelihatan kecil, lama dan berhabuk dari luar, anda jangan tertipu dengan keadaan pintu masuknya. Masuk ke dalam dan tiba-tiba anda akan mendapati diri anda seolah-olah berada di dunia lain.
Kedai unik ini dipenuhi dengan beribu-ribu susunan butang, reben, manik, tali, fabrik dan benang daripada pelbagai warna, tekstur, bentuk dan saiz. Malah, selepas anda keluar dari kedai ini, anda akan berasa terkejut apabila mendapati diri anda sudah berada di bahagian pasar yang cukup berbeza.
Setiap perjalanan ulang-alik di Jakarta ialah suatu pertempuran. Orang ramai sentiasa berlumba-lumba untuk pergi ke destinasi mereka yang seterusnya, terutamanya penunggang motosikal yang sering bergaduh untuk berada di barisan depan setelah lampu isyarat trafik memaksa mereka menghentikan perlumbaan.
Tapi di sini, sejurus selepas pertempuran tersebut dan di tengah-tengah kesesakan trafik yang mengecewakan ini, berlaku perubahan yang mengharukan―dengan isyarat anggukan, sebuah senyuman antara penunggang motosikal, atau perbualan yang ringkas tentang apa yang berlaku pada hari itu.
Ia hampir bercanggah dengan keadaan kelam-kabut yang berlaku beberapa saat sebelum itu. Walau apapun, nikmatilah ia sementara lampu isyarat merah berakhir kerana setelah lampu isyarat bertukar hijau, ia akan digantikan dengan bunyi hon yang yang membingitkan dari setiap arah.
Ia bergantung pada pendapat masing-masing.
Sumber: Artush / Shutterstock.com
Jika anda berasa letih selepas hari sukar yang panjang dan anda melalui lintasan pejalan kaki Sarinah pada waktu malam, bersedia untuk dihiburkan dengan nada lembut daripada tiupan saksofon pengamin jalanan bernama Luki Giri Purnama, yang memainkan senarai lagu termasuk muzik Dave Koz dan Kenny G.
Ataupun jika anda berada di persimpangan antara Radio Dalam, Haji Nawi, dan Pondok Indah, Fathoni, yang juga peniup saksofon jalanan yang turut boleh menenangkan jiwa anda.
Bandar yang menyebabkan kelelahan mempunyai penawarnya sendiri untuk masyarakatnya.
Ya, kebanyakan daripada kita pasti tahu bahawa Jakarta boleh menawarkan pelbagai tempat aktiviti malam yang berprofil tinggi kepada anda. Namun, jika anda berminat untuk menikmati keindahan sebenar Jakarta pada waktu malam, Saya cadangkan anda pergi ke kelab malam dan bersiar-siar di jalanan.
Bersiar-siarlah pada waktu tengah malam di Jalan Surabaya, Menteng. Ia merupakan jalan yang sibuk dengan pasar antik pada waktu siang dan sebaik sahaja matahari terbenam, kedai ditutup dan jalan menjadi sunyi. Kemudian, jalan itu akan dipenuhi dengan mentol cahaya kuning malap yang menenangkan hati.
Jika anda mahu terus melakukan aktiviti pada waktu malam, anda boleh mencari tarikan tempatan dengan berkunjung ke pasar di sekitar Kebayoran atau Palmerah. Ini merupakan salah sebuah jalan yang berubah menjadi pasar pada waktu malam.
Anda akan menemui trak memunggah beberapa bungkusan buah-buahan dan sayur-sayuran serta peniaga meletakkan barangan mereka di bawah cahaya kuning yang malap―ya, saya sangat menyukai mentol cahaya kuning yang malap.
Ataupun, jika anda ingin menikmati sesuatu yang manis, cuba pergi ke Pasar Senen atau Blok M Square, yang memiliki Pasar Kue Subuh yang dibuka setiap hari jam 4:00 pagi. Di sana, anda akan menemui banyak snek dan kuih tradisional daripada lemper hingga roti yang pasti memenuhi citarasa anda.
_____
Ini hanya sepintas lalu tentang perkara yang saya tahu dan gemari di Jakarta. Saya dapati yang keadaan kelam-kabut itu yang menjadikan bandar ini bertenaga dan hidup. Setelah anda boleh menerima suasananya, Jakarta akan mengajar anda bahawa bukan semua perkara dalam kehidupan boleh dikawal dan anda akan mempelajari cara untuk melepaskan sesuatu.
Sementara keadaan di Singapura mungkin seperti menghirup udara segar selepas semuanya berjalan lancar dan semua orang mematuhi peraturan, Jakarta memberikan keterujaan dan kejutan.
Terlalu banyak perkara untuk dialami dan juga untuk dipelajari. Ia kucar-kacir dan tidak dapat diduga, tetapi begitu juga dengan kehidupan dan itulah yang menjadikannya sungguh menarik.
Diterjemahkan oleh:Murni Jamaludin