Apakah memori yang terpahat dalam ingat anda? Adakah sewaktu anda cuba menaiki jet ski atau mungkin cuba makanan yang unik? Bagi saya, memori indah itu ialah ketika saya melancong ke Singapura.
Umur saya 12 tahun ketika itu dan sebagai seorang kanak-kanak, menjelajah ke Singapura membuatkan saya teruja. Lebih-lebih lagi apabila dapat menaiki kapal terbang dan mengembara sendirian buat kali pertama, tanpa ibu bapa kerana mereka tidak dapat ikut sama ketika itu.
Saya tinggal bersama mak cik saya di Singapura lebih kurang 30 hari. Beliau cukup baik kerana membawa saya berjalan-jalan sekitar tarikan pelancong di sana.
Walaupun Singapura adalah destinasi pelancong yang hebat, memori yang saya bawa sehingga ke hari ini bukanlah tentang tempat yang kami lawati tapi lebih kepada hari-hari yang telah menukar perspektif saya. Bagaimana perkara kecil yang telah membuat saya berhenti dan melihat. Serta cara saya mengendalikan ‘kejutan budaya’ itu lebih baik daripada sekarang.
Latar langit Singapura yang memukau berjaya menarik berjuta-juta pelancong setiap tahun.
Sama ada anda berjalan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Cangi, membeli-belah di Jalan Orchard, memandu sekitar Pusat Bandar atau sedang makan lewat malam di Marina Bay, Singapura menawarkan infrastruktur yang terancang dan moden.
Keindahan bandar ini bukan hanya pada bangunan pencakar langitnya tapi juga reka bentuknya yang unik. Sejak saya tinggal di Singapura selama sebulan, saya banyak meluangkan masa berjalan-jalan di kawasan tempat tinggal mak cik saya.
Tak kisahlah di mana anda tinggal, saya perasan sentiasa ada laman hijau di setiap kawasan perumahan, jalan raya yang bersih, rumah yang tersusun dan ada saja kedai makan di sekitarnya.
Penemuan ini membuat saya merasa hairan dan dalam masa yang sama kagum dengan Singapura.
Ketika anda berumur 12 tahun, loghat dianggap sebagai hebat. Ketika berada di Singapura, saya belajar sedikit sebanyak loghat Singlish dan ‘lah’. Agak melucukan bagaimana orang Singapura menggunakan perkataan ‘lah’ dalam setiap perbualan mereka. Sesiapa saja akan bertutur begitu. Seperti ‘Boleh lah’ ‘Macam mana lah?’ dan banyak lagi. Dalam sehari dua saja, saya sudah terbiasa dan mula bercakap seperti mereka.
Nak dijadikan cerita, saya cuba untuk berlatih loghat Singlish dan bercakap dengan jurujual di Hang Ten.
Bayangkanlah betapa malunya saya ketika dia ketawakan Singlish palsu saya ini selama 10 minit sebelum menepuk lembut kepala saya dan berjalan pergi. Sepanjang saya di dalam kedai itu, semua orang tersengih melihat saya.
Nampaknya, khabar angin cepat tersebar lah!
Pengangkutan awam di Singapura teratur dan baik membuatkan perjalanan ke mana saja lebih mudah.
Dalam beberapa tahun lalu, saya agak bertuah kerana dapat mengembara ke banyak tempat dengan bergantung penuh kepada teknologi untuk membantu saya mencari jalan.
Tapi, untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat pada tahun 2003 di Singapura, ketika saya tiada telefon bimbit, lain ceritanya
Setiap pagi ketika saya bersiap sedia untuk meninggalkan rumah dan menjelajah kota Asia yang hebat ini, mak cik saya akan melukis peta di atas sekeping kertas untuk menerangkan di mana untuk menaiki MRT, di mana saya patut belok ke kanan dan di mana saya patut berjalan terus.
Sekeping kertas inilah kawan baik saya ketika saya berasa gementar sambil mencari jalan dan tempat.
Sekarang ini, saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana saya dapat mencari jalan tanpa melihat peta pada skrin telefon bimbit saya. Mungkin salah satu pengajaran pertama yang saya belajar di Singapura - menjelajah mengajar anda untuk menjadi lebih berdikari dan mempercayai diri sendiri.
Pulau Sentosa ialah destinasi kegemaran saya ketika melawat Singapura.
Apa yang anda bayangkan jika seseorang kata, “Jom bercuti di pulau?” Matahari, pantai, berenang dan berkelah - kan?
Walaupun saya sudah dengar dan lihat gambar Pulau Sentosa Singapura, ia lebih indah daripada yang dikhabarkan.
Patung batu Merlion megah berdiri, pertunjukkan dolfin dan singa laut, akuarium sebesar lautan, muzium patung lilin yang mengimbau kenangan lampau dan pertunjukan lampu laser dan air membuatkan anda menjerit keseronokan; inilah antara tarikan di Pulau Sentosa yang pernah menjadi saat-saat indah pada zaman kanak-kanak saya.
Setiap langkah ini, saya kagum dengan usaha dan dedikasi yang dicurahkan oleh rakyat Singapura untuk mengekalkan tempat antara yang paling sibuk di Singapura.
Tidak seperti lokasi tumpuan pelancong yang lain, pulau ini bersih, mudah untuk diakses, menyediakan banyak tempat makan dan kawasan terbuka untuk anda relaks dan menikmati bunyi deruan ombak, membuatkan Pulau Sentosa ialah tempat kegemaran saya ketika melawat Singapura.
Dan tentulah, pulau ini semakin baik sekarang. Lihat tarikan terbaru - Resorts World Sentosa - dan pilihan hotel yang hebat untuk hujung minggu yang menyeronokkan!
Nasi Ayam - aka citarasa Singapura di atas satu pinggan.
Tanya siapa saja apakah hidangan terbaik yang mereka pernah cuba di Singapura dan kemungkinan besar anda akan dapat jawapan yang sama - Nasi Ayam.
Hidangan sederhana ini disegarkan dengan nasi enak yang dimasak dalam air rebusan ayam, bersama ayam kukus atau panggang, dan dihidangkan bersama dua sos penting (merah dan hijau) serta salad. Hidangan ini cukup sempurna, sihat dan enak!
Tentulah pada tahun 2003 saya tidak sedar tentang fakta ini. Apabila mak cik saya membawa saya ke kedai makan untuk merasai Nasi Ayam tempatan, saya menanti dengan penuh sabar dan teruja untuk staf restoran itu menghidangkan kari yang mana saya fikir itulah sebenarnya ‘Nasi Ayam’ yang asyik disebut-sebut.
Bayangkan betapa terkejutnya saya apabila TIADA KARI dihidangkan bersama nasi ayam itu!
Membesar dalam keluarga India kadangkala boleh mengubah jangkaan anda. Bagaimana saya boleh makan nasi kosong dengan hanya beberapa ketul ayam panggang saja? Saya tidak boleh terima ini semua!
Apa pun, saya sebenarnya menyukai Nasi Ayam dan sehingga ke hari ini, setiap kali saya makan hidangan ini, ia mengimbau kembali saat itu, ketika saya duduk di restoran dalam keadaan bingung dan tertanya-tanya bagaimana untuk makan nasi saya.
Taman Burung Jurong ialah tarikan pelancong yang menempatkan spesies burung dari serata dunia.
Bahagian yang paling seronok ketika melancong ialah dapat berkongsi pengalaman anda.
Setelah pulang dari Singapura, saya asyik menceritakan tentang Taman Burung Jurong dan Safari Malam selama berhari-hari. Berkongsi cerita kepada sesiapa saja tentang gambar burung kakaktua ditangan saya dan mencium ikan dolfin.
Sebaik saja sekolah dibuka, saya hadir ke kelas dengan memakai jam tangan baru dari Singapura dan bercerita tentang pusat membeli-belah besar yang telah saya kunjungi. Sehinggakan, kawan-kawan saya mula muak dengan cerita saya dan melarikan diri apabila terserempak dengan saya di koridor!
Satu-satunya impak positif tentu sekali mendapat markah tertinggi ketika kami disuruh menulis esei tentang ‘Percutian Musim Panas Saya’. Tiga muka surat sudah cukup menceritakan memori indah saya di Singapura.
Walaupun sekarang ini mengembara telah menjadi sebahagian daripada hidup saya, pengalaman pertama di luar negara masih dekat di hati saya.
Perjalanan itulah yang telah memperkenalkan saya dengan kehidupan yang wujud di luar norma harian dan mewujudkan perasaan ingin tahu dalam diri saya untuk meneroka lebih banyak keindahan dalam dunia yang kita diami kini.
Diterjemahkan oleh: Lina Khazali