#KeselamatanNo.1: Jaga-Jaga Dengan Scam & Elak Sebelum Terkena

Traveloka MY
25 Mar 2017 - Bacaan 7 minit

Tak kisahlah seberapa banyak pun pengalaman anda sebagai pengembara, anda pasti akan terjumpa si penipu yang menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

Dari dikenakan tambang teksi yang terlampau mahal sehinggakan menerima wang palsu di pasar tempatan, penipuan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuklah anda!

Tapi jangan jadikan ini penghalang untuk anda menikmati percutian yang menyeronokkan! Berterima kasihlah kepada internet, kerana kini ada blog dan laman web yang menyebarkan pelbagai maklumat tentang scam ketika bercuti. Anda juga boleh bertanya kepada pengembara yang pernah mengalaminya.

Walaupun si penipu ini menggunakan banyak taktik, ada beberapa taktik yang biasa digunakan oleh mereka. Teruskan membaca untuk berjaga-jaga.

Pemandu teksi anda berpura-pura sesat

Taxi

Sumber: Shutterstock.com

Ada pemandu teksi yang berpura-pura sesat untuk dapat duit lebih. Mereka memandu tanpa GPS, dan setuju membawa anda ke destinasi yang dituju tapi tidak lama selepas itu, pemandu itu beritahu anda yang dia tersesat.

Ketika saya di Bangkok, pemandu saya berkeras yang GPS saya tersalah. Saya dapat lihat di skrin telefonnya yang dia memandu di kawasan yang sama selama 15 minit. Gila betul! Kemudian, dia mengadu yang dia tak dapat mencari hostel saya dan menyuruh saya berjalan sendiri ke hostel dan ketika itu jam 4 pagi. Saya tak ada pilihan lain selain berjalan. Ya, dia juga mengambil tambang!

Pernah terjadi, seorang kawan Singapura yang tidak pandai bercakap Vietnam dan bekerja di Bandar Ho Chi Minh. Kawan saya bertengkar dengan pemandu teksi kerana pemandu itu dengan sengaja terlepas jalan untuk melalui jalan yang agak jauh walaupun kawan saya berulang kali menyuruh dia melalui jalan yang betul.

Sebenarnya, ada sahaja pemandu yang kurang fasih dengan sesuatu jalan (dan tak semestinya dia menipu). Gunakan gerak hati anda dan belajar untuk mengecam si penipu ini.

Bagaimana untuk mengelak:

Sebelum menaiki teksi, pastikan ia bermeter. Beritahu dengan jelas kepada pemandu, arah yang dituju. Tulis nombor plat pemandu – dan juga nombor khidmat pelanggan yang ada di tingkap teksi. Anda boleh buat aduan kemudian, jika anda rasa caj yang dikenakan tidak adil.

Penduduk tempatan yang ‘terlebih mesra’ di mesin ATM

ATM

Sumber: Shutterstock.com

Jika ada sesiapa yang cuba menghampiri anda di mesin ATM dan meyakinkan anda cara untuk mengelak fi bank tempatan, abaikan dia. Besar kemungkinan orang itu cuba mencuri nombor pin, dengan menggunakan alat penipuan.

Alat penipuan digunakan oleh penjenayah untuk mencuri data daripada kad ATM menggunakan jalur magnet yang boleh ditemui pada belakang kad anda. Masalah yang dihadapi oleh seluruh dunia ini tak patut dipandang ringan.

Bagaimana untuk mengelak:

Jangan benarkan sesiapa berdiri dekat dengan anda ketika anda menggunakan mesin ATM. Gunakan tangan anda untuk menghalang orang lain daripada melihat nombor pin anda. Segera meninggalkan mesin ATM jika ada seseorang yang cuba menghampiri anda secara agresif.

Peminta sedekah kanak-kanak

coins

Sumber: Shutterstock.com

Ketika anda mengembara, tentu anda perasan betapa ramainya peminta sedekah kanak-kanak yang mengemis di jalan-jalan sibuk di sesetengah kawasan. Manila ialah negara pertama yang saya lihat terlalu banyak peminta sedekah kanak-kanak di jalanan. Agak sedih melihat mereka menagih wang. Saya pernah memberi sedekah kepada kanak-kanak yang sangat pandai memujuk. Saya tak dapat menahan diri daripada memberikan sedikit wang dengan niat untuk menolong.

Tak lama selepas itu, lebih ramai kanak-kanak yang datang. Sekumpulan pengemis kanak-kanak mula menghampiri dan mengikut saya ke mana saja.

Kanak-kanak ini dikawal oleh “seseorang”, dan orang ramai diingatkan untuk tidak memberi wang kepada mereka kerana anda hanya menyokong sindiket ini dan menambahkan masalah yang sedia ada. Anda juga terdedah kepada penyeluk saku.

Bagaimana untuk mengelak:

Menolong ialah sifat semula jadi manusia. Tetapi, pengemis kanak-kanak tidak akan dapat sesen pun daripada wang yang mereka terima. Untuk membantu mereka, berikan makanan, pakaian atau alat tulis.

Polis olok-olok

police

Sumber: Shutterstock.com

Ada penipu yang cukup bijak menipu sehinggakan sanggup memakai pakaian polis.

Penipu ini akan mengada-adakan pelbagai cerita, seperti menyuruh mangsa menyerahkan dompet mereka, dengan alasan untuk mencari duit palsu yang telah digunakan secara meluas di kawasan itu. Malangnya, dompet itu akan diserahkan kembali tetapi tanpa wang di dalamnya.

Penipu berpakaian polis ini mungkin berada di mana-mana. Ada yang akan meminta pasport anda dan beritahu pasport anda ada masalah, kemudian meminta denda. Itu semua tipu! Jangan terperdaya.

Bagaimana untuk mengelak:

Jangan panik. Tanya soalan, dan beritahu mereka yang anda perlu memastikan identiti mereka dengan menghubungi polis tempatan terlebih dahulu. Ingat peraturan ini: Jangan sesekali beri dompet atau pasport anda kepada orang lain.

*Ada sesetengah kes, hotel mungkin meminta paspot ketika check-in. Berikan salinan fotokopi, bukannya pasport anda.

Mengambil gambar di tempat yang sibuk

selfie

Sumber: Shutterstock.com

Di mana anda berada, mungkin ada saja orang tempatan yang teruja untuk mengambil gambar bersama anda. Memanglah mengambil gambar bersama ramai orang tempatan menyeronokkan dan sesuatu yang boleh diingati, tapi kalau ada penyeluk saku dikalangan mereka, alamatnya mimpi ngerilah anda.

Bagaimana untuk mengelak:

Jika boleh, elak tempat yang terlalu sesak, tapi jika anda terpaksa, pastikan anda jaga barangan peribadi anda. Ada ketikanya anda akan percayakan orang asing memegang gajet anda, untuk mengambil gambar, tapi ia bergantung pada situasi. Anda perlu menganalisa keadaan sekeliling dan orang yang berinteraksi dengan anda. Sebaliknya anda boleh meminta pengembara lain untuk mengambil gambar anda.

Tiket tiruan

bus

Sumber: Shutterstock.com

Penipu tahu pengembara selalunya cuba untuk mendapatkan tawaran terbaik untuk segalanya, termasuklah harga untuk bas, kereta api, penerbangan ataupun acara tempatan. Jadi, si penipu ini cuba untuk menawarkan tiket murah dan kadang kala cuba memberitahu mereka yang mereka tidak perlu lagi beratur panjang dengan cara membeli tiket yang sedikit mahal.

Ada pemandu teksi yang memberitahu mereka ada kawan daripada agensi pelancongan yang menjual tiket murah. Malangnya, tiket yang dijual itu hanya tiket palsu.

Bagaimana untuk mengelak:

Jangan beli tiket di jalanan daripada orang yang tidak dikenali. Beli tiket anda di pejabat tiket tempatan atau laman web yang asli. Banyak syarikat yang memaparkan akaun media sosial mereka di laman web, jadi pastikan anda memeriksa dahulu untuk memastikan kesahihannya.

Bas lewat malam

bus

Sumber: Shutterstock.com

Ramai yang melaporkan mereka kehilangan barang peribadi mereka ketika menaiki penerbangan/bas lewat malam. Barang peribadi anda mungkin tidak selamat walaupun anda menyimpannya di bahagian penyimpanan beg. Jadi, sentiasa kunci beg anda. Jika anda ada bawa beg galas bersama anda di dalam bas, pastikan anda menguncinya juga.

Ramai pengembara kehilangan beg mereka ketika menaiki bas lewat malam kerana mereka tertidur. Perkara yang sama terjadi kepada kawan saya ketika dia mengembara ke Indonesia. Ketika dia tidur, pencuri itu berjaya mencuri semua barang berharganya dan menggantikannya dengan batu-batu. Dia hanya sedar telah dirompak ketika sampai di rumah tetamu.

Bagaimana untuk mengelak:

Jangan dedahkan barangan berharga anda di khalayak ramai. Sama ada ia perjalanan yang singkat atau panjang, sentiasa kunci beg anda. Sentiasa berjaga-jaga walaupun anda menaiki penerbangan, bas dan kereta api VIP sekalipun.

Panggilan palsu dari hotel

phone call

Sumber: Shutterstock.com

Saya tak pernah kena lagi (harap-harapnya tak!), tapi ini sesuatu yang sentiasa perlu diingati. Penipuan ini dilakukan pada tengah malam yang menyamar sebagai kaunter hadapan hotel, dan mereka selalunya akan meminta maklumat kredit kad si mangsa.

Kenapa penipuan ini berkesan? Sebab ada yang separuh sedar kerana mengantuk dan tanpa disedari, mereka memberi maklumat mereka dengan mudah.

Setelah penipu itu mendapat maklumat yang diperlukan, mereka akan membuat salinan kad, dan akan mencuri kad si mangsa kemudian.

Bagaimana untuk mengelak:

Jangan layan panggilan lewat malam. Jika ada sebarang kecemasan, anda akan dimaklumkan, dan panggilan telefon bukanlah cara sesuai yang selalunya dilakukan oleh pihak hotel. Ingat apa yang bank anda beritahu? Jangan berikan maklumat bank melalui telefon.

Pakaian hilang ketika mendobi

laundry

Sumber: Shutterstock.com

Menghantar pakaian anda ke kedai dobi mungkin agak mahal dan berisiko. Pakaian anda mungkin hilang, dan yang anda dapat hanyalah permohonan maaf yang selalunya tidak ikhlas. Semuanya hanya tipu helah si penipu kedai dobi yang akan membawa anda ke kedai untuk membeli baju baru, untuk mendapat komisen daripada kedai tersebut. Licik, tapi ini pernah berlaku!

Bagaimana untuk mengelak:

Sentiasa simpan resit anda. Jika kedai dobi menghilangkan baju anda, minta mereka bayar ganti rugi. Atau lebih baik, jangan hantar apa-apa yang mahal ke kedai dobi. Basuh sahaja sendiri.

Tahi burung di baju anda

bird

Sumber: Shutterstock.com

Ketika sedang berjalan-jalan, ada orang yang tidak dikenali datang dan berkata, “Maafkan saya, ada tahi burung pada baju awak.” Ketika anda sedang sibuk memeriksa, orang itu akan cuba membersihkan kotoran itu untuk anda. Pelik pula, si penipu ada tisu dan botol air tersedia untuk membantu. Dan dalam sekelip mata, barang berharga anda hilang begitu saja.

Bagaimana untuk mengelak:

Beritahu si penipu itu yang anda boleh membersihkannya sendiri dan segera beredar. Ini helah yang tak masuk akal, tetapi ada saja pengembara yang terperdaya.

Saya mahu berlatih bahasa Inggeris saya

Chanwit Whanset

Source: Shutterstock.com/ Chanwit Whanset Shutterstock, Inc.

Ini banyak berlaku di Asia, dan saya juga pernah terkena. Ada yang benar-benar mahu berlatih bahasa Inggeris dengan anda, seperti pelajar di Bandar Ho Chi Minh yang saya jumpa, dan ada juga yang hanya mahu mengambil kesempatan terhadap anda.

Ketika saya di Siem Reap, saya dan kawan dihampiri oleh orang tempatan di kuil Angkor. Mereka ramah dan menyertai kami menjelajah kawasan kuil sambil menceritakan kisah mereka dan memberitahu perkara menarik tentang tarikan di situ. Rupa-rupanya kisah budaya menarik itu ada harganya. USD5.

Bagaimana untuk mengelak:

Jika seseorang menawarkan untuk membawa anda melihat sekeliling atau untuk berlatih bahasa Inggeris dengan anda, cakap saja ‘Tidak’. Beritahu mereka anda boleh cari jalan sendiri dengan buku panduan yang ada pada anda, atau anda sudah tahu destinasinya. Jika anda memilih untuk memberi sedikit wang, beri jumlah yang anda mampu untuk beri.

---

Tak ramai yang suka penipu. Tak kira sebaik mana pun kita cuba untuk mengelak daripada mereka, mereka sentiasa cuba untuk mencari jalan. Apa yang boleh anda lakukan hanyalah sentiasa belajar untuk menjaga diri anda.

Jika anda pernah terkena, belajar dari kesilapan anda, kerana anda boleh juga menyelamatkan orang lain dengan pengalaman anda atau berkongsi artikel ini dengan kawan dan keluarga anda!

Ingat pesan kami dan selamat bercuti!

Diterjemahkan oleh: Lina Khazali

Hotel
Tiket Penerbangan
Things to Do
Sentiasa Ketahui Maklumat Terkini
Langgani surat berita kami untuk lebih banyak cadangan perjalanan & gaya hidup serta promosi yang menarik.
Langgan

Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2025 Traveloka. All rights reserved