Lebih lanjut tentang hotel di Romania
Romania adalah sebuah negara berdaulat, yang terletak di tenggara Eropah. Ia berada di persimpangan antara Eropah Tengah, Timur dan juga Tenggara. Negara ini dikelilingi oleh beberapa buah negara dengan Ukraine yang terletak di utara dan Bulgaria di selatan dengan Moldova dan Hungaria yang terletak di bahagian timur dan barat Romania. Pantai di Romania yang terletak di tenggara negara, menghadap ke Laut Hitam.
Tinggalan manusia yang tertua telah dijumpai di Pestera cu Oase, atau lebih dikenali sebagai ‘Gua Tulang’, yang terletak di daerah Caras-Severin di barat daya Romania. Tulang manusia yang dijumpai ini adalah berkarbon tarikh dari 40 ribu tahun yang lalu. Tulang manusia ini juga dikenali sebagai satu Homosapiens tertua di Eropah. Tamadun Eropah paling awal juga terletak di Romania dan ia bermula semasa Zaman Neolitik. Tamadun ini terletak di Cucuteni, di timur laut Romania dan dikenali dengan nama budaya Cucuteni-Trypillia.
Seperti kebanyakan tamadun di dunia, semuanya bermula di delta dan sungai. Di Romania, ia bermula di sungai Danube dan Dniester. Dua tempat ini telah didiami oleh bangsa Thracian, termasuk Dacian dan Getae. Orang Thracians adalah sekumpulan manusia dari suku Indo-Eropah yang mendiami di kawasan besar Timur dan Tenggara Eropah. Orang Thracians di sungai Danube dan Dniester ini bekomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sama tetapi mereka mempunyai perbezaan agama.
Kerajaan Dacian di bawah Kaisar Trajan diserang oleh Empayar Rom pada tahun 101-106 Masihi. Hampir setengah dari kerajaan Dacian menjadi wilayah Empayar Rom setelah serangan tersebut. Kawasan yang menjadi milik Empayar Rom ini yang dikenali sebagai 'Dacia Felix'. Pemerintahan Rom berlangsung selama 165 tahun dan pada masa ini, Dacia Felix telah terintegrasi sepenuhnya ke dalam kerajaan Rom. Tentera Rom telah menarik diri, keluar dari Dacia sekitar tahun 271 Masihi dan kawasan itu kemudian diserang dan diduduki oleh pelbagai orang.
Semasa Zaman Pertengahan, orang Romania ini hidup dalam tiga kawasan yang mempunyai raja mereka sendiri. Kawasan-kawasan ini adalah di Wallachia, Moldavia dan Transylvania. Wilayah Romania yang bebas telah wujud sejak abad ke-9 di Transylvabia tetapi pada abad ke-11, kawasan Transylvania telah menjadi sebahagian otonom Kerajaan Hungaria. Di Wallachia dan Moldavia, terdapat banyak negeri kecil yang mempunyai tahap kemerdekaan yang berbeza. Pada abad ke-14, negeri-negeri ini muncul untuk melawan ancaman Empayar Uthmaniyyah. Apabila Empayar Uthmaniyyah Berjaya menawan dan mengintegrasikan semenanjung Balkan dan kebanyakan dari kawasan Hungaria pada 1541, Wallachia, Moldavia dan Transylvania masih dapat mengekalkan autonomi dalaman secara separa atau penuh. Ini berlangsung sehingga pertengahan abad ke-19 kecuali Transylvania yang telah berakhir pada tahun 1711.
Pada tahun 1600, ketiga-tiga kawasan pemerintahan ini diperintah oleh putera Wallachia, Michael the Brave. Beliau telah dianggap sebagai pelopor kepada Romania moden. Beliau juga menjadi pemangkin untuk mencapai sebuah negara Romania. Tema-tema nasionalis menjadi prinsip semasa pemberontakan Wallachia pada tahun 1821 dan revolusi di Wallachia dan Moldavia pada tahun 1848. Revolusi ini telah gagal dan tidak semua Kuasa Besar di dunia menyokong rakyat Romania untuk bersatu dan secara rasmi mempunyai sebuha negara. Ini telah membawa kepada Perang Krimea di mana selepas Wallachia dan Moldavia mengundi Alexandru Ioan Cuza sebagai pemimpin mereka pada tahun 1859. Pada 1877-1878, Romania telah membantu Rusia semasa Perang Russo-Turki. Setelah berakhirnya perang, Romania akhirnya diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka oleh Empayar Uthmaniyyah dan Kuasa Besar oleh Perjanjian San Stefano dan Perjanjian Berlin. Kerajaan Romania baru lahir.
Romania telah menggunakan bendera triwarna yang telah digunakan di Wallachia dan Paris semasa revolusi 1848. Bendera itu mempunyai warna-warna mendatar biru-kuning-merah tetapi ketika ia digunakan secara rasmi sebagai bendera negara Romania, ia mempunyai susunan warna secara menegak. Romania mendirikan ibu negaranya di Bucharest, di bahagian tenggara negara.
Bahasa rasmi Romania adalah bahasa Romania. Ia dituturkan oleh 24-26 juta orang pada hari ini dan merupakan bahasa asli kepada negara Romania dan Moldova. Bahasa Romania juga salah satu bahasa rasmi Kesatuan Eropah.
Romania adalah negara sekular dan oleh itu ia tidak mempunyai sebarang agama rasmi negara di negaranya. Rakyat Romania adalah salah satu negara yang paling beragama dalam Kesatuan Eropah dan majoritinya, kira-kira 80% penduduk adalah orang Kristen Ortodoks. Terdapat kira-kira 11% orang di Romania yang menganut agama Kristian lain seperti Protestan dan Katolik. Selebihnya rakyat dibahagikan kepada peratus kecil ateis dan beberapa agama lain termasuk Islam dan Yahudi.
Bagaimana untuk ke Sana?
Menaiki Kapal Terbang
Cara paling mudah untuk melancong ke Romania adalah dengan mengambil penerbangan. Tiket pergi pulang dari Kuala Lumpur ke Bucharest, Romania bermula dari RM 3,100. Tidak ada penerbangan terus ke Bucharest dan bergantung kepada operator penerbangan persinggahan boleh berada di di Doha, Dubai dan mana-mana negara lain berhampiran. Penerbangan itu, tidak termasuk masa persinggahan, akan mengambil masa kira-kira 14 jam.
Seorang pemegang pasport Malaysia perlu mendapatkan visa pelancong sebelum melancong ke Romania. Visa pelancong ini hanya membenarkan para pelancong untuk tinggal di Romania selama 15 hari, maksimum. Permohonan visa boleh dibuat di Kedutaan Romania yang terletak di Kuala Lumpur. Permohonan akan mengambil masa 3 hingga 7 hari untuk disiapkan.
Menaiki Bas
Lapangan Terbang Antarabangsa Bucharest Henri Coanda mempunyai satu perkhidmatan bas ekspres ke dua buah stesen keretapi di Bucharest; stesen Gara de Nord dan Gara Basarab. Perkhidmatan bas ekspres juga melayani 783 laluan ke pusat bandar.
Menaiki Teksi
Pelancong boleh menempah teksi di Bucharest Henri Coanda International Aiport dengan hanya menggunakan sistem skrin sentuh yang terdapat di terminal ketibaan. Sistem ini dibina untuk menghalang teksi yang tidak berdaftar atau teksi yang tidak mendapat kebenaran untuk memasuki lapangan terbang dan mengenakan harga yang sanat mahal kepada para penumpang.
Apa yang Ingin Dilakukan di Sana?
Istana Bran
Istana Bran adalah sebuah monumen kebangsaan dan mercu tanda di Romania. Ia adalah sebuah istana yang terletak di antara sempadan Transylvania dan Wallachia, berhampiran dengan Bran. Istana Bran lebih dikenali sebagai 'Istana Dracula,' dengan legenda Dracula dikait rapatkan dengan istana ini walaupun tiada bukti bahawa pengarang cerita Dracula ini mengetahui apa-apa mengenai istana ini. Lagenda ini dikaitkan kepada Istana Bran dan beberapa buah istana lain disekitarnya kerana Vlad the Impaler, seorang voivode (gabenor) Wallachia. Vlad the Impaler ini dikatakan sebagai sorang Dracula kerana dia seorang yang sangat kejam. Pada hari ini, Istana Bran adalah sebuah muzium yang telah didedikasikan untuk mempamerkan koleksi seni dan perabot Ratu Marie, Ratu terakhir Romania. Bahagian dalam istana dibuka untuk pelancong untuk meneroka sendiri atau dengan menggunakan pemandu pelancong yang terdapat di situ. Di bahagian bawah bukit tempat istana ini terletak, terdapat sebuah taman di mana sebuah muzium terbuka kecil dibina. Tempat ini mengadakan pameran tentang struktur para petani tradisional di Romania seperti kotej dan lumbung dari seluruh negara. Istana Bran dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 4 petang, kecuali pada hari Isnin di mana ia dibuka lebih lewat pada pukul 12 tengah hari. Istana ini terletak di utara Bucharest, kira-kira tiga jam jauhnya dari pusat bandar Bucharest.
Tasik Balea
Ini adalah sebuah tasik glasier yang diukir ke dalam batu-batu yang kasar di Pergunungan Fagaras, kira-kira 2,000 meter di atas paras laut, di Romania bahagian tengah. Tasik Balea adalah sebuah tempat yang sangat sesuai untuk bukan sahaja bersiar-siar tetapi juga untuk mendaki, berbasikal dan juga bermain ski. Terdapat beberapa laluan mendaki bermula dari Tasik Balea yang mengarah ke puncak gunung dan lembah. Puncak tertinggi di kawasan tersebut, pada 2,544 meter tinggi adalah Moldoveanu dan pendakian itu akan mengambil kira-kira sembilan jam untuk diselesaikankan. Bagi mereka yang mencari jalan yang lebih pendek, puncak tertinggi kedua, Negoiu berada pada paras 2535 meter hanya akan mengambil masa kira-kira lima jam. Tasik Balea adalah empat jam jauhnya dari ibu kota Romania.
Di mana Tempat Penginapan di Sana?
JW Marriott Bucharest Grand Hotel
JW Marriott Bucharest Grand Hotel adalah sebuah hotel mewah yang terletak di tengah-tengah Bucharest. Ia adalah tempat yang sangat bagus untuk menginap ketika berjalanan di Bucharest. Hotel mewah ini menawarkan empat jenis bilik, bermula dari harga serendah RM 508 untuk sebuah bilik Deluxe hingga RM 750 untuk bilik Eksekutifnya di tingkat Eksekutif. Suite Junior pula bermula pada lebih dari RM 1,400 untuk satu malam dan bilik paling eksklusifnya, Suite, adalah berharga pada RM 1590 untuk satu malam. Bilik-bilik di JW Marriott Bucharest Grand Hotel adalah luas, dengan menjanjikan satu penginapan yang paling selesa untuk para tetamu. Para kakitangan hotel memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu, sehingga menjanjikan pengalaman hotel terbaik yang boleh dijumpai di tengah-tengah kesibukan bandar Bucharest. JW Marriott Bucharest Grand Hotel terletak hanya 10 minit dari pusat bandar Bucharest.
Ibis Bucharest Gara de Nord
Ini adalah sebuah hotel yang sangat sesuai untuk mereka yang mempunyai tetapan bajet kecil tetapi masih tidak mahu berkompromi dengan keselesaan semasa dalam percutian ke negara Romania. Hotel Ibis Bucharest ini terletak hanya lima belas minit dari pusat bandar Bucharest dan juga berhampiran dengan stesen keretapi Gara de Nord. Stesen keretapi Gara de Nord ini terletak berhadapan dengan hotel Ibis Bucharest sehingga menjadikan salah satu poin tambahan untuk tinggal di hotel ini. Hotel ini menawarkan biliknya dari serendah RM 225 satu malam, untuk sebuah biliknya yang paling asas iaitu bilik Standard sehingga RM 445 untuk satu malam bagi Suite Comfort, bilik terbesar dan paling mahal di hotel Ibis Bucharest. Ibis Bucharest adalah tempat terbaik untuk mendapatkan sebuah bilik dengan harga yang sangat berpatutan di Bucharest, dengan penginapan yang selesa dan lokasi strategiknya, berdekatan dengan perkhidmatan pengangkutan awam.






























