Temui sesuatu yang baru di Kota Bharu

Kota Bharu bukan hanya sekadar persinggahan ke Pulau Perhentian atau Thailand. Malah, bandar ini berbaloi untuk dijelajahi kerana kepelbagaian makanan dan warisannya yang terpelihara. Masih kukuh mengekalkan identiti budayanya, ibu negeri Kelantan ini juga memainkan peranan penting dalam sejarah masyarakat Melayu. 

Jika anda mahu cuti-cuti di destinasi yang kurang sesak dengan pelancong, ayuh ke Kota Bharu. Sertakan perniagaan-perniagaan yang kami cadangkan ini dalam itinerari anda!

Baca lebih lanjut tentang tempat-tempat ini di bawah!

Restoran Nasi Ulam Cikgu
Tentang Restoran Nasi Ulam Cikgu - Kalau ke Kota Bharu, mencuba makanan asli Kelantan yang digemari oleh orang tempatan mesti ada dalam rancangan anda. Pemilik restoran ini yang pernah menjadi cikgu ekonomi telah memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan lebih 20 tahun yang lalu di bandar Kubang Kerian. Kini, restoran ini telah berkembang menjadi restoran terkenal di Kampung Kraftangan, dan juga memiliki beberapa francais di Kelantan dan Kuala Lumpur.
Mahu pesan apa di sini? - Restoran layan diri ini membolehkan anda untuk memilih bermacam ulam-ulaman untuk Nasi Ulam anda. Kami cadangkan anda untuk mencuba Ikan Keli Goreng Berempah, Asam Pedas Ikan Patin dan Ikan Singgang. Tambah Budu atau Sambal Belacan untuk rasa yang lebih oomph!
Alamat: Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, 15300 Kota Bharu, Kelantan
Waktu operasi*: Sabtu – Khamis, 10.30 pagi – 4.45 petang. Ditutup pada setiap Jumaat.
Wayang Pak Dain
Tentang Wayang Pak Dain - Menggunakan nama samaran Pak Dain, Muhammad Dain Othman merupakan Tok Dalang yang bertapak di Kota Bharu dan telah mendalami seni tradisional wayang kulit Kelantan sejak tahun 80-an lagi. Pak Dain juga merupakan pengasas Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan yang ditubuhkan pada tahun 2008. Galeri ini mempamerkan hasil perjuangannya dalam bidang ini menerusi pelbagai koleksi dan dokumentasi tentang wayang kulit.
Mahu lakukan apa di sini? - Selain pameran pelbagai boneka , galeri ini juga mengadakan pertunjukan wayang kulit dan bengkel membuat boneka. Di sini juga terdapat kedai cenderahati yang menjual boneka tradisional yang dihasilkan oleh Pak Dain sendiri.
Alamat: No. 5, Simpang 3 Morak, 16040 Wakaf Bharu, Kelantan
Nota: Sila membuat tempahan lebih awal sebelum anda berkunjung ke sini.
Tiny Elephant
Tentang Tiny Elephant - Kini, bandar Kota Bharu dipenuhi banyak kafe-kafe hipster yang menarik. Jika anda mahu mencuba makanan selain makanan asli Pantai Timur, cuba ais krim artisan di Tiny Elephant. Kafe mesra muslim ini menyediakan snek lazat, pastri dan pilihan minuman yang banyak seperti smoothie segar, teh boba hinggalah kopi cold brew.
Mahu pesan yang mana? - Pilih menu kegemaran ramai pelanggan di sini iaitu Singature Matcha dan Callebaut Chocolate Hazelnut. Satu lagi pencuci mulut yang kami syorkan adalah Buttermilk Waffle, yang didatangkan dengan ais krim perisa pilihan anda.
Alamat: No. 1122, T/B, Jalan Tengku Petra Semarak,15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu operasi*: Isnin – Ahad, 7.30 pagi – 11.30 malam

*Waktu operasi mungkin berbeza semasa PKP

Mahu lihat lebih banyak cadangan perniagaan tempatan yang menarik? Lawati akaun media sosial rasmi kami Facebook, Instagram atau Twitter hari ini.


Traveloka Sdn Bhd (No. Pendaftaran 201501003122), Tingkat 14 Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Copyright © 2025 Traveloka. All rights reserved