Popular Area | Lumut, Pangkor |
Popular Hotel | Damai Laut Escape by Perfect Host, Pangkor Laut Resort - Small Luxury Hotels of the World |
Popular Landmark | Teluk Batik Beach, Damai Laut Golf And Country Club |
Manjung merupakan sebuah daerah yang terletak di bahagian selatan Negeri Perak. Ianya juga menempatkan markas Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut. Bandar Seri Manjung merupakan pusat Bandar bagi daerah ini dan menempatkan pejabat-pejabat kerajaan seperti pejabat Majlis Perbandaran, Pejabat Pendaftaran Negara dan lain-lain. Bandar kecil lain merangkumi Lumut, Sitiawan, Ayer Tawau, Pantai Remis dan Beruas. Kebanyakan penduduk disini terlibat dalam sektor pertanian, perkhidmatan dan perkilangan. Daerah Manjung telah menjadi destinasi utama pelancongan di Negeri Perak kerana kedudukan Pulau Pangkor dan Teluk Batik yang berada di didalam Daerah ini.
Anda boleh menaiki penerbangan Malindo Air atau Firefly dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh. Dari lapangan terbang, anda boleh menaiki teksi atau bas terus ke Manjung.
Sekiranya anda ingin menaiki bas, terdapat perkhidmatan bas disediakan oleh Plusliner, Sri Maju Ekspress, Sepakat Liner Ekspress dan Ekspress Kesatuan ke Manjung. Anda boleh menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur terus ke stesen bas Manjung yang akan membawa anda dengan perjalanan yang selamat dan selesa dengan harga tambang yang berpatutan.
Sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara Selatan yang akan mengambil masa perjalanan selama 3 jam untuk tiba ke Manjung.
Perkhidmatan keretapi elektrik ETS KL ke KTM Ipoh beroperasi setiap hari dan merupakan perjalanan yang paling cepat untuk tiba di Ipoh dari Kuala Lumpur. Setibanya anda di Ipoh, anda boleh menaiki teksi terus ke Manjung yang akan mengambil masa perjalanan selama 1 jam 25 minit.
Pulau Pangkor merupakan pulau yang tercantik di Manjung untuk anda lawati kerana keindahan pemandangan dan kedamaian suasananya. Nama pulau ini berasal dari perkataan Thailand iaitu ‘Pang Ko’ yang bermaksud pulau cantik. Pulau Pangkor terkenal dengan keindahan pantai-pantainya seperti Teluk Nipah, Teluk Batu Karang dan Pasir Giam yang boleh dihubungi ke Pulau Giam dengan berjalan kaki ketika air surut. Pulau Pangkor merupakan pulau peranginan yang terkenal dengan pelbagai tarikan dan aktiviti untuk para pengunjungnya.
Teluk Batik merupakan pantai yang terkenal di Manjung. Ianya mempunyai air laut yang bersih dan pantai yang panjang sesuai untuk aktiviti perkelahan seisi keluarga. Terdapat ramai pelancong yang berkunjung ke sini terutamanya pada hujung minggu. Bulan Oktober dan November merupakan masa yang paling sesuai untuk berkunjung ke Pantai Teluk Batik kerana terdapat acara sukan pantai yang dianjurkan di Teluk Batik.
Kubu Belanda merupakan destinasi bersejarah yang mesti anda lawati di Pulau Pangkor yang menawarkan anda dengan latarbelakang yang indah sesuai untuk bergambar kenangan. Kubu ini telah dibina pada tahunn 1670 oleh penjajah Belanda. Anda boleh melawat kubu ini secara sendiri atau dengan jurupandu teksi. Terdapat kedai cenderamata di dalam kubu tersebut untuk anda beli dan bawa balik sebagai kenangan.
Muzium Beruas merupakan sebuah muzium kecil yang terletak di Bandar Beruas, Manjung. Anda boleh melihat koleksi artifaks dari Kerajaan DiRaja Hindu Gangga Negara di Daerah Manjung pada kurun ke-2 sehingga kurun ke-11 selepas masehi. Muzium Beruas menghimpunkan lebih kurang 300 artifaks dari Kerajaan Gangga Negara yang dijumpai hasil dari kerja penggalian yang dilakukan pada Tahun 1991.
Kuil Tua Pek Kong yang telah berusia lebih dari 100 tahun ini terletak di Pasir Panjang telah menjadi terkenal sebagai salah satu produk pelancongan di Daerah Manjung. Ianya terkenal kerana mempunyai patung berhala Buddha yang besar serta deretan patung berhala berwarna putih yang besar. Kuil Tua Pek Kong telah menjadi salah satu produk pelancongan yang terkenal dan pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengunjunginya.
Pangkor Laut Resort merupakan sebuah resort mewah bertaraf 5 bintang yang sesuai anda jadikan sebagai pilihan penginapan anda ketika berkunjung ke Manjung. Spa Village yang telah memenangi pelbagai anugerah ini merupakan produk yang mesti anda lawati di resort ini kerana ianya menawarkan pelbagai pakej rawatan kesihatan antarabangsa yang terdapat di rantau Asia. Resort ini merupakan pilihan tepat buat pasangan yang mencari destinasi untuk berbulan madu ataupun percutian yang romantik.
Hotel Sfera terletak di Manjung yang direkacipta khusus untuk pengunjung yang ingin bercuti atau bekerja. Hotel bertaraf 4 bintang ini menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang hebat kepada para pengunjungnya. Dari hotel ini, anda boleh melawati pelbagai destinasi utama pelancongan yang terdapat disekitarnya.